catatan usrah dan lain2-semoga bermanafaat. Sila kembangkan ilmu dengan merujuk kepada sumber-sumber yang soheh.Ya Allah ,berilah taufik dan hidayahmu kepadaku dan pembaca blog ini untuk menjadi hamba-hamba mu yang soleh. Yang redho dan diredhoi engkau ya allah. Amin. nota- semua gambar adalah dari google.
Wednesday, March 11, 2020
Rendahkan ego, maafkan orang"
Jaminan untuk mendapatkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat, juga bergantung kepada pilihan kita yang keempat, iaitu bagaimana kita menjaga hubungan silaturahim.
Orang yang menjaga hubungannya dengan Allah, akan disayangi Allah dan hidupnya akan bahagia di dunia dan di akhirat. Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang dan disenangi orang di sekelilingnya.
Dengan ketakwaan juga, seseorang itu mendapat ketenangan, dan orang yang tenang sahaja dapat menenangkan orang. Orang yang tenang mudah memenangi hati orang, dan hubungan silaturahim mudah terjalin.
Dalam kehidupan ini, kita amat perlu menjaga hubungan kita sesama manusia, melalui ikatan silaturahim.
Tidak kira apa bangsa dan keturunan kita, apa status pencapaian akademik dan pangkat kita, dan apa pun agama kita, menjaga silaturahim diwajibkan oleh Islam. Dalam buku saya, Mata Akal Mata Hati, dalam bab tujuh, Celik Mata Reset Minda Orang yang Tenang saya catatkan, “Kebanyakan kita inginkan ketenangan, tetapi kita tidak menenangkan orang. Kita hendak bahagia, tetapi kita tidak bahagiakan orang. Demikian jugalah, kita hendak kebebasan, tetapi kita mengongkong orang.” Ingatlah formula “ADA – BERI – DAPAT” yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran “Reset Minda”. Maknanya, hanya orang yang “ADA” ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan dalam dirinya yang dapat “BERI” ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan kepada orang lain. Akhirnya kita akan “DAPAT” respons
kehidupan yang positif hasil daripada tindakan positif yang kita “ADA” dan yang kita telah “BERI”. Hubungan silaturahim ini akan terjalin baik apabila jiwa kita bersih.
Kita tidak akan membersihkan jiwa kita selagi kita hanya melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang, adalah apabila kita sibuk melihat kesilapan diri dan sibuk melihat kebaikan orang lain, hingga kita tidak sempat hendak melihat keburukan orang.
Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri, tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang, dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
No comments:
Post a Comment