Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman al-Hakim memasuki pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dengan berjalan dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sebahagian orang pun berkata, "Lihat orang tua yang tidak bertimbang rasa itu, dia naik himar sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu menyuruh anaknya pula yang menunggangi himar tersebut. Melihat yang demikian, maka sebahagian orang di pasar itu berkata pula, "Lihat si anak, sedap menaiki himar, sedangkan orang tuanya berjalan kaki, sungguh kurang adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar bersama-sama dengan anaknya. Kemudian apabila dilihat oleh orang ramai, ada yang berkata, "Lihat dua beranak itu, sanggup menaiki seekor himar berdua, mereka telah menyiksa himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, sambal berjalan dengan memegang tali himar. Kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang tu sanggup berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dinaiki."
Dalam perjalanan dua beranak itu pulang ke rumah, Luqman al-Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Ada sahaja orang yang tidak bersetuju terhadap orang lain. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesatu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, carilah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara iaitu :
Pertama, tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya.
Kedua, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdaya orang).
Ketiga, hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya).
Lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
Sesuailah dengan firman Allah SWT :
يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنُوا اجتَنِبوا كَثيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ ۖ وَلا تَجَسَّسوا وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا فَكَرِهتُموهُ ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ
“Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat ayat 12)
Marilah kita mengambil iktibar dari kisah Luqman al-Hakim. Akan ada sahaja manusia yang tidak bersetuju dengan apa yang kita lakukan walaupun betul. Sebahagian manusia suka berprasangka buruk. Bersabarlah dengan prasangka manusia lain.
Jauhilah daripada mengumpat dan berprasangka buruk kepada saudara kita yang lain. Segeralah kita kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya.
#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah
No comments:
Post a Comment