Monday, November 22, 2021

Didoakan Malaikat Orang Yang Ziarah Pesakit



Amalan menziarahi orang sakit merupakan sebahagian daripada tuntutan Muslim terhadap sesama Muslim. Ia adalah tanda ukhuwah dan kasih sayang sesama Muslim.

Terdapat banyak hikmah dan kelebihan menziarahi pesakit antaranya ia dapat mengukuhkan tali persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, sentiasa ingat kepada Allah SWT, mendatangkan keinsafan kepada diri kita, ingat kepada kematian dan seterusnya mendorong kita untuk bertaubat. 

Dalam suasana COVID-19 yang masih melanda, menziarahi pesakit sama ada kerabat, rakan sejawat mahupun jiran tetangga agak terhad. Namun dengan adanya kemudahan teknologi seperti telefon bimbit sewajarnya tidak menghalang kita untuk bertanya khabar mereka yang sakit sama ada melalui ahli keluarga terdekat mahupun pesakit sendiri jika keadaan mengizinkan. Boleh sahaja menghantar pesanan melalui mesej berbentuk doa, pengharapan serta simpati kepada pesakit mahupun ahli keluarga terdekat.

Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit iaitu didoakan kebaikan oleh Malaikat. Rasulullah SAW bersabda:

فَقَالَ عَلِيٌّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَعُودُ مُسْلِمًا غُدْوَةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ وَإِنْ عَادَهُ عَشِيَّةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ

Saidina Ali berkata; 'Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang muslim itu apabila beliau menziarahi sahabatnya pada waktu awal pagi kecuali 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah petang dan jika beliau menziarahi saudaranya pada waktu petang maka 70000 para malaikat akan mendoakan kebaikan kepadanya sehinggalah keesokan pagi, dan dia akan memperoleh buah-buahan yang dipetik dari syurga.” (HR Tirmizi No: 891) Status: Hadis Hasan

Di samping itu, mereka yang menziarahi orang sakit seolah-olah berada dalam sebuah dari taman syurga. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا
 
Daripada Abu Asma’ Ar Rahabi dari Tsauban maula Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW baginda bersabda: “Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya yang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: ‘Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.’ (HR Muslim No: 4660) Status: Hadis Sahih
 
Jangan lupa apabila kita menziarahi pesakit untuk mendoakan mereka. Antara doa yang boleh kita baca:

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Hilangkanlah penyakitnya wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit. (HR Bukhari No: 5243)

Beruntunglah mereka yang menziarahi orang sakit kerana didoakan kebaikan oleh para Malaikat.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments:

Post a Comment