Wednesday, November 24, 2021

Kalimah مَا شَاءَ ٱللَّهُ (MA SYAA ALLAH) Ertinya : Apa Yang Allah Kehendaki




Kalimah ini diucapkan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangnya. 

"MasyaAllah, hebatnya dia dapat 20 A1 dalam SPM"

Ungkapan “Masyaallah” diperuntukkan ketika seseorang menyaksikan sesuatu yang indah, menakjubkan, atau yang luar biasa, maka seseorang dianjurkan untuk mengucapkan “Masyaallah”. Ia berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَلَوۡلَآ إِذۡ دَخَلۡتَ جَنَّتَكَ قُلۡتَ مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ إِن تَرَنِ أَنَا۠ أَقَلَّ مِنكَ مَالٗا وَوَلَدٗا ٣٩

“Dan mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “maasyaallaah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan.” (QS. Al-Kahfi: 39).

Ayat di atas memberikan gambaran bahawa ketika seseorang melihat sesuatu yang menakjubkan seperti kebun yang indah, rumah yang cantik, bayi yang comel maka ungkapan yang tepat adalah masyaallah.

Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa sebahagian ulama salaf berkata: “Barangsiapa yang merasa kagum pada sesuatu, misalnya keadaan dirinya sendiri, hartanya atau anaknya, maka hendaklah ia berkata: “Masyaallah, la haula wala quwwata illa billah“. 
Rasulullah SAW menjelaskan:

 ما أَنْعَم اللهُ تعالى على عَبدٍ نعمةً مِن أهلٍ ومالٍ وولدٍ فيقول: “ما شاء اللّهُ لا قُوَّةَ إلَّا بالله” فيرى فيه آفةً دُونَ المَوتِ 

“Tidaklah Allah memberi nikmat kepada seorang hamba, baik berupa keluarga, harta atau pun anak, lalu ia mengucap: “Masyaallah, la quwwata illa billah” melainkan orang tersebut tidak akan mendapatkan musibah apa pun kecuali kematian”, (HR. Abu Ya’la dalam musnadnya dan Al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dari Anas ibn Malik RA). 

Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa ucapan “masyaallah la quwwata illa billah” untuk sesuatu yang menakjubkan pada diri, anak dan harta kita sendiri.

Disebutkan pula bahawa ketika imam Malik memasuki rumah, beliau mengucapkan masyaallah, ketika ditanya beliau mengatakan bahawa yang dilakukannya sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 39.

Kalimah MasyaAllah seringkali digandingkan dengan laa quwwata illa billah (tidak ada kekuatan kecuali dengan kehendak Allah) sebagaimana dalam surah al-Kahfi di atas, menunjukkan bahawa segala sesuatu jika sudah dikehandaki oleh Allah pasti akan terjadi kerana tidak ada kekuatan kecuali atas kehendak Allah.

Daripada Abdillah bin Amir bin Rabiah, bahawa Nabi SAW bersabda,

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

Apabila kalian melihat ada sesuatu yang mengagumkan pada saudaranya atau dirinya atau hartanya, hendaknya dia mendoakan keberkatan untuknya. Kerana serangan ain (penyakit ain) itu benar. (HR. Ahmad 15700, Bukhari dalam at-Tarikh 2/9 dan disahihkan Syuaib al-Arnauth).

Apabila kita melihat kelebihan nikmat yang ada pada seseorang seperti melihat bayi atau kanak-kanak yang comel, maka ucapkan kalimah:

  مَا شَاء اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ  
kerana ia boleh menghindari seseorang mendapat penyakit "ain" atau sumpahan mata.

Di samping bacaan di atas, kita dianjurkan untuk mendoakan keberkatan untuknya dengan mengucapkan, بَارَكَ اللهُ فِيْكَ  semoga Allah memberkati mu.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments:

Post a Comment