Monday, November 1, 2021

Sebaik-Baik Manusia (10)



Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang terbaik?

Satu daripada kriteria Muslim paling baik ialah orang lain merasa selamat dari keburukan lisan dan tangannya. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي الْخَيْرِ أَنَّهُ سَمِعَ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا إِنَّ رَجُلًا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْمُسْلِمِينَ خَيْرٌ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu al-Khair bahawa dia mendengar Abdullah bin Amru bin al-Ash keduanya berkata, "Sesungguhnya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah SAW, "Muslim bagaimana yang paling baik?" Baginda menjawab: "Seorang Muslim yang orang lain merasa selamat dari keburukan lisan dan tangannya." (HR Muslim No: 57)

Muslim yang paling baik itu bergantung pada kemampuannya menjaga lisan dan tangannya. Penting untuk menjaga lisan dan tangan ini kerana lisan diibaratkan pisau yang apabila salah menggunakannya akan melukai ramai orang.

Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian, fitnah dan berita palsu yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dll. Apa yang dilakukan itu lebih menyakiti saudaranya.

Allah memperingatkan bahawa terdapat malaikat yang mencatat setiap ucapan manusia, yang baik mahupun yang buruk. Allah Ta'ala berfirman,

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

"Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir." (Qaaf: 18)

Perlu diingat bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis atau yang diperbuat, akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا 

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra; Ayat 36)

Muslim yang paling utama adalah mereka yang sentiasa menjaga lisan dan tangan dari melakukan kezaliman ke atas orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Imam al-Khaththabi mengulas hadis ini menyatakan, kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

Jadilah Muslim yang utama dan terbaik dengan menjaga lisan dan tangan daripada menyakiti dan menzalimi orang lain termasuk menulis juga mentularkan sesuatu yang buruk di media sosial.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments:

Post a Comment