Monday, November 1, 2021

Sebaik-Baik Manusia (6)


Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang terbaik?

Satu daripada kriteria orang yang terbaik adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain.  Hadis Rasulullah SAW:

عَنِ جابر، رَضِيَ الله عَنْهُمَا، قَالَ : قال رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya: Daripada Jabir radhiyallau ‘anhuma dia bercerita bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” Hadis Hasan di dalam Sahihul Jami’ (no: 3289).

Berdasarkan hadis di atas, orang yang dimuliakan Allah SWT ialah mereka yang sentiasa berbuat kebaikan sehingga memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya.
Semakin banyak manfaat yang boleh kita berikan, bermakna semakin baik pula kedudukan kita di sisi Allah SWT mahupun di sisi manusia.

Cuba lihat diri kita ketika ini adakah kita memberi manfaat kepada orang lain atau sebaliknya? Cuba sesekali kita bertanya kepada ahli keluarga kita, tanya pada sahabat handai kita, pada jiran tetangga!.

Manfaat bukan saja terhad kepada pemberian wang ringgit atau barangan tapi boleh juga dengan pertolongan tenaga, masa, perkongsian ilmu dan lain-lain yang boleh memberi kebaikan dan kebahagiaan kepada orang lain.

Bergantung kepada kemampuan masing-masing. Setiap orang boleh memberikan manfaat kepada orang lain dalam pelbagai aspek. 

Jika kita memberi manfaat kepada orang lain nescaya manfaat akan kembali kepada kita. Firman Allah SWT:

إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا ۚ 

Maksudnya: Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri  (Al-Isra Ayat 7)

Orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain akan menjadi orang terbaik kerana beliau menjadi orang paling dicintai Allah SWT. Rasulullah SAW  bersabda:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.  (HR Tabrani didalam Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139)

Rasulullah SAW mengutamakan amalan yang memberikan manfaat kepada orang lain yang memerlukan bantuan daripada beriktikaf sebulan penuh di Masjid Nabawi. Baginda SAW bersabda:

لَأَنْ أمشيَ مع أخٍ لي في حاجةٍ أحَبُّ إليَّ مِن أنْ أعتكِفَ في هذا المسجِدِ يعني مسجِدَ المدينةِ شهرًا

Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid nabawi selama sebulan.  (HR Tabrani di dalam Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139)

Bermanfaat apabila orang lain mendapat kebaikan daripada usaha kita. 

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments:

Post a Comment