Saturday, December 10, 2022

Didoakan Malaikat Kerana Menuntut Ilmu dan Mengajarkannya

Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah yang mulia dan tidak pernah melakukan perkara yang dilarang oleh-Nya.

Beruntunglah orang yang mendapat keberkatan dan doa dari para malaikat yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Para penuntut ilmu antara golongan yang beruntung kerana mendapat naungan sayap malaikat. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Daripada Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan." (Sunan Ibnu Majah No: 222)  Status: Hasan Sahih

Malah orang yang belajar dan mengajarkan ilmu diberikan keutamaan dengan dipermudahkan jalan ke syurga, dinaungi malaikat dan didoakan oleh makhluk di langit dan di bumi termasuk para malaikat.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Daripada Abu Darda "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar." (Sunan Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Berusahalah menjadi mereka yang sentiasa belajar dan menyampaikan ilmu yang bermanfaat kepada orang lain dengan pelbagai saluran dan ruang.

Orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Orang yang berada di majlis ilmu untuk menuntut ilmu, akan sentiasa dinaungi sayap Malaikat dan didoakan agar dicucuri rahmat.

Orang yang berada di majlis ilmu untuk tujuan menuntut ilmu, nescaya akan didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada di dalam air.

Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).

Para ilmuan adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).

Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripada harta yang diwariskan oleh para Nabi.

Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya ‘copy paste’.Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan mempermudahkan kita jalan ke syurga.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments:

Post a Comment