Wednesday, February 5, 2025

Tadabbur Kalamullah 7 Syaaban 1446H☆



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا یَسۡخَرۡ قَوۡمࣱ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰۤ أَن یَكُونُوا۟ خَیۡرࣰا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَاۤءࣱ مِّن نِّسَاۤءٍ عَسَىٰۤ أَن یَكُنَّ خَیۡرࣰا مِّنۡهُنَّۖ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka..." [Surah al-Ḥujurat 11]

#Syeikh Muhammad Abdur Rauf al-Munawi rahimahullah berkata:

فينبغي للإنسان أن لا يحتقر أحدًا؛ فربما كان المحتقَر أطهرُ قلبًا، وأزكى عملًا، وأخلص نية، فإنَّ احتقار عباد الله يورث الخسران، ويورث الذُّل والهوان

"Sepatutnya seseorang itu tidak merendahkan sesiapapun, ini kerana boleh jadi orang yang dianggap rendah itu lebih bersih hatinya, lebih suci amalnya, dan lebih ikhlas niatnya, kerana sesungguhnya merendahkan hamba-hamba Allah akan mengakibatkan kerugian dan mewariskan kerendahan dan kehinaan" (Lihat: Faidhul Qadir)

#Oleh itu, jangan sesekali gemar atau memiliki perangai suka meremeh atau merendahkan orang lain. Jika kita suka merendahkan orang yang ada melakukan dosa, atau kita suka mentertawakan orang lain yang bersalah, maka peringatan Rasulullah saw dibawah ini wajar dijadikan renungan bersama.

#Sayidina Muaz bin Jabal r.a berkata, Rasulullah saw bersabda:

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ

"Sesiapa yang memalukan saudaranya yang melakukan dosa, dia tidak mati sehingga dia juga melakukan dosa yang sama" (HR at-Tirmizi)

#Berkata Syeikh Mubarakfuri rahimahullah: "Orang yang suka mengejek orang lain yang melakukan dosa, dalam keadaan dia perasan dirinya bagus, maka dicabut hidayah daripada dirinya sehingga dia sendiri mahu melakukan maksiat tersebut" (Tuhfah al-Ahwazi)

#Hadis ini mendidik kita berkaitan adab sopan atau akhlak mulia iaitu seseorang itu boleh memberi nasihat tetapi jangan sekali-kali memiliki niat atau perasaan merendahkan orang lain.

#Diriwayatkan daripada Wathilah bin al-Asqa r.a:

لَا تُظْهِرْ الشَّمَاتَةَ لِأَخِيكَ فَيَرْحَمَهُ اللَّهُ وَيَبْتَلِيكَ

"Janganlah kamu berasa senang atas bencana yang menimpa saudaramu, kerana siapa tahu Allah swt kemudian hari memberinya rahmat dan sebaliknya menguji kamu" (Jami' Tirmizi)

#Jika kita melihat orang yang insaf dan ingin bertaubat kepada Allah, ketahuilah Allah sedang bersamanya. Allah swt bersama dengannya dengan syarat dia menyesal atau hatinya tersentuh untuk insaf. Sebesar manapun dosa seseorang, pintu rahmat Allah swt sentiasa terbuka selebar-lebarnya untuk dia bertaubat. Maka orang berdosa yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat, jauh lebih mulia daripada orang beriman yang sombong dan berbangga dengan amalnya (riyak dan ujub).

Oleh itu, jangan sesekali sibuk mencari salah dan silap orang lain untuk menghina, meremeh dan memperlekehkannya. Lebih baik kita sedar diri masing-masing akan kekurangan kita lalu membaikinya dan bersifat tawadhuk serta mendoakan keampunan untuk saudara kita yang berdosa

🐊Ust naim

@quotephotovideo 📚📚📚

No comments:

Post a Comment