Monday, June 23, 2025

kisah imam bukhari

Jika semalam kak bett bawakan kisah perjuangan seorang ayah kepada Imam Al Ghazali, hari ini kita telusuri pula kisah Imam Al Bukhari, seorang ulama' hadith yang dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.

Ustazah Zai menitipkan pesan buat ibu-ibu tunggal yang mendengar agar tidak patah semangat untuk membesarkan anak-anak dalam suasana agama.

Walaupun kelak ibu ayah terpaksa 'pergi' dahulu, duhai anak...kamu ada Allah yang sentiasa memelihara dan mengawasi.

Kisah Imam Al Bukhari ini unik sedikit sahabat-sahabat. Imam Bukhari kehilangan ayahandanya ketika baru berusia 2 tahun, dan ketika usianya 4 tahun, dia telah mengalami kebutaan kekal.

Maka, tinggallah ibunya sendirian menguruskan Imam Bukhari yang masih kecil.

Ujian yang bertimpa-timpa itu tidak melemahkan semangat ibu Imam Al Bukhari untuk membesarkan dan memberi kepadanya pendidikan Al Quran.

Ketika ayah Imam Al Bukhari masih hidup, ibu dan ayahnya bersepakat untuk memastikan anak mereka mencapai cita-cita tinggi, dan bermanfaat buat umat sejagat. Walaupun akhirnya bersendiri, ibu Imam Al Bukhari tidak menguburkan impiannya bersama suami.

Lalu, Imam Al Bukhari pun meneruskan pengajian Al Qurannya di madrasah daerah tempat tinggalnya. Dalam masa yang sama, si ibu tidak putus-putus berdoa untuk anaknya yang buta ini.

Suatu hari, guru Imam Al Bukhari membaca Surah Qaf dan menguji anak-anak muridnya, apakah ada yang mampu menghafal dengan sekali pendengaran sahaja?

Ternyata, anak muridnya yang buta itu mengangkat tangan dan berkata dengan jujur, "Saya sudah menghafalnya di dalam jiwa saya".

Setelah mendengarkan hafalan Imam Al Bukhari, beliau menyedari akan potensi dan kecerdasan anak ini. Guru ini yakin bahawa Al Quran itu ada jaminan untuk mudah dihafal, namun tidak bagi hadith.

Dengan keyakinan yang ada, guru Imam Al Bukhari memerintahkannya untuk belajar hadith.

Pulang ke rumah, Imam Al Bukhari menceritakan apa yang berlaku, dan membuatkan hati ibunya gembira dan bangga. Dengan penuh kasih sayang, anak itu dipeluknya bahagia.

"Ibu, sekarang saya mahu belajar hadith,"

"Nak, supaya tidak letih, hafalkan Al Quran dahulu, barulah hadith,"

Begitulah sahabat, ada ketika, kehendak anak-anak sedikit berbeza dengan kehendak ibu bapa. Tetapi Ustazah Zai berpesan, jika anak-anak memilih perkara yang baik, berilah dorongan.

Ada ibu bapa yang risau, jika anak-anak belajar agama, seolah-olahnya masa hadapan tidak terjamin, rezeki tidak semewah yang lain. Kerisauan seperti ini adalah pelik, kata ustazah. Bukan tidak ada, memang ada!

Baiklah, kembali kepada kisah Imam Al Bukhari, beliau tetap tegas dalam pendiriannya untuk menghafal hadith, dan kembali pulang ke kamarnya dalam keadaan teraba-raba dalam dunianya yang gelap.

Si ibu yang memerhatikan lalu menghamparkan sejadahnya, dan berdoa kepada Allah,

"Ya Allah, Yang Maha Melihat tanpa batas, yang tidak memiliki batas dalam kuasaMu, semua mengatakan anakku tidak dapat melihat. Engkaulah Yang Maha Melihat dan tiada batas dalam ketetapanMu. Ya Allah, kembalikanlah penglihatan anakku,"

Kak bett bila baca doa ibu Imam Al Bukhari ni kan, jadi bercampur-campur segala rasa. Wahai diri, tiada yang mustahil di sisi Allah. Tugasmu adalah melakukan apa yang perlu, dan berdoalah sebagai tanda pengharapan.

Asbab banyaknya tangisan dan doa si ibu kepada anak ini, Allah mengembalikan semula penglihatan sang anak.

Menurut kitab Siyar Alam Nubala, ibunya kedatangan Nabi Ibrahim A.S dalam mimpi, dan baginda mengkhabarkan akan penglihatan anak yang sudah pulih.

Dikatakan Imam Al Bukhari kembali melihat apabila sedang mengulang hafalan Surah Qaf, dan ketika itu, ibunya sedang berdoa.

Sahabat, tiada yang mustahil di sisi Allah. Bak kata Ustazah, tugas kita adalah nak buat sebanyak-banyaknya kebaikan. Bukan tugas kita membalas cakap-cakap orang, tetapi mengusahakan kebaikan di pihak kita.

Semoga kita dapat mengikut sedikit sebanyak resmi ibu Imam Al Bukhari, tidak lemah dengan pandangan manusia, dan tinggi harapannya kepada pencipta, untuk menjadikan sang anak seorang yang berbakti buat ummah.

Inilah kisah Imam Al Bukhari, yang kitabnya menjadi rujukan dalam hadith, setelah Al Quran.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment