Wednesday, June 25, 2025

Titik terendah itu bukan musibah. Tapi jemputan lembut dari Allah untuk pulang.by Hafsah Mardhiah


Ada orang…
Jatuh teruk dalam bisnes.
Modal hangus. Nama baik tercalar.
Dulu disanjung, sekarang dicemuh.

Ada orang…
Gagal dalam perkahwinan.
Hati yang dulu yakin akan bahagia selamanya.
Tiba-tiba dikhianati, ditinggalkan dan diceraikan.

Ada orang…
Hilang kerja.
Dulu sibuk, dihormati.
Hari ini duduk termenung, rasa tak berguna.

Ada orang…
Ditimpa hutang bertimpa-timpa.
Telefon disekat. Surat saman datang.
Tidur pun tak lena. Makan pun tak rasa.

Ada orang…
Sihatnya diragut tiba-tiba.
Doktor sahkan penyakit kronik.
Langkah jadi perlahan. Mata jadi sayu.
.

Dan pada waktu itu…
Kita rasa ini titik paling rendah dalam hidup.

Hancur.
Malunya tak terungkap.
Letihnya tak mampu dijelaskan.
Rasa diri kosong. Gagal. Tak ada nilai.

Tapi di sebalik semua itu,
ada satu perkara yang selalu kita lupa.

Bagaimana kalau semua itu bukan untuk menyeksa. Tapi untuk menyelamatkan?

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”

(Al-Baqarah 2:155)

.

Setiap orang dijemput pulang dengan cara yang berbeza.

Ada yang dipanggil lembut.
Melalui kejayaan, zuriat, dan kemanisan hidup.
Untuk menguji syukur.

Tapi ada juga…
yang dipanggil dengan cara yang perit.
Melalui kehilangan, kegagalan dan air mata.

“Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?”

(At-Taubah 9:126)

Maka jika hari ini hidup kita terasa berat,
kerja tak menjadi, perkahwinan tak bahagia,
poket kosong, hutang makin banyak, badan makin lemah...

Mungkin itu bukan petanda Allah murka.

Tapi itu cara Allah kata:
“Sudah sampai masanya kau pulang pada-Ku.”
.

Jangan tunggu hidup sempurna baru nak cari Tuhan.

Kadang, sujud paling jujur adalah waktu kita di titik terendah.

Sebab masa itu, kita tak ada apa lagi nak bersandar, kecuali Dia.

Jangan malu kalau kau sedang jatuh.
Jangan rasa kotor bila kau cuba kembali.

Titik terendah bukan tempat berakhir.
Tapi tempat bermula,
untuk kenal siapa diri kita,
dan kenal siapa Tuhan yang tak pernah berhenti menunggu.

❤️❤️❤️

No comments:

Post a Comment