Wednesday, July 16, 2025

Keliru by ustazah marhamah rosli

Ramai mula keliru.

Apabila berlaku banyak perbalahan di media sosial..

Ada yang kata: "Cukup dengan zikir dan taubat."

Ada pula yang tegas menyebut: "Perlu faham psikologi manusia. Kena pergi terapi. Bukan hanya sekadar zikir."

Saya tidak mahu ulas panjang tentang isu program yang sedang menjadi kontroversi.. 
Namun sebagai pemerhati kecil di pinggir ruang media sosial ini, saya percaya.. apabila kita ingin membantu mereka yang sedang diuji dengan kesakitan jiwa dan emosi, batas agama tetap perlu dijaga.. 

Kerana dalam Islam, niat yang baik tidak pernah menghalalkan cara ❤️

Cuma..
Bagaimana ulasan bijak pandai akhirnya membuatkan ramai yang menjauh.
Bukan hanya daripada ilmu..
Tapi juga dari Tuhan.. 

Bukan kerana mereka benci agama,
tapi kerana agama disampaikan dengan cara yang menghakimi..
Keras, tajam dan merasa diri lebih suci..

Saya juga pernah hampir salah faham tentang agama.. Dan hampir membuatkan saya menjauh.. 

Bukan sebab saya tidak cintakan Allah.
Tapi kerana ketika saya sedang bertatih untuk bangkit dari depresi.. saya disergah dengan ayat..

"Kalau kau betul ada iman, takkan kau murung. Orang beriman takkan rasa sedih lama-lama."

"macam tiada iman sudah kau ni. Kuatlah sikit" 

"tiada guna kau sekolah agama dari kecil, kalau benda begini pun tidak boleh redha"

😭😭😭

Saya diam. Tapi hati saya koyak.
Saya fikir saya pendosa besar.
Saya sangka Allah marah dan tidak mahu tengok saya lagi.

Saya salah.

Kini saya mula faham.. 
Bukan semata-mata kerana iman saya yang lemah.. tapi cara orang menegur yang tidak menyembuhkan.. 
Bukan Allah yang menjauh, tapi manusia yang menyekat jalan pulang itu dengan lisan mereka.. 

Kerana itulah hari ini saya menulis.. 
Untuk sesiapa yang pernah terluka..
Dan untuk sesiapa yang mungkin tanpa sedar sedang melukakan.. 💔

Ramai kata self-care itu ajaran barat yang sesat semata-mata.. 

Self care : Penjagaan diri, pemulihan diri, rawatan kendiri, pengurusan emosi. Lebih kurang begitu lah bila diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia..

Jom kita ambil tahu serba sedikit..

1. Apa itu Self-Care versi Barat/New Age Movement?

New Age/Western Self-Care yang bermasalah biasanya berakar dari ideologi:

Individualisme mutlak : Let go semua orang, yang penting aku bahagia.

Hedonisme self-care : spa, shopping, cuti dan escape dari tanggungjawab.

Spiritualiti kabur : zikir diganti dengan 'affirmation semata-mata', Tuhan diganti dengan 'Universe'.

Energi kosmik : percaya bulat2 pada chakra, malaikat penjaga bukan dari fahaman Islam, meditasi terpisah dari ibadah.

Contoh ayat yang kita perlu hati-hati:

"You are your own healer." 
"Claim your divine power."
"Lepaskan semua, cari ketenangan dalam semesta." 

Inilah yang patut kita tegur. Ia menjerumus kepada fahaman sekular dan spiritual liberal yang menyesatkan.

Apa pula Self-Care dalam Islam dan Al-Quran?

Self-care menurut Islam bukan tentang melupakan tanggungjawab, tapi menjaga amanah tubuh dan jiwa agar dapat terus beribadah dengan lebih kuat dan tenang. Walau apapun cabaran dan ujian.. Tidak menzalimi diri dengan respon emosi yang melampau dan berlebihan.. 

Saya suka berkongsi kisah, di saat Nabi Musa a.s. terlalu letih dan trauma dikejar Firaun, Nabi Musa tidak terus menyampaikan dakwah. Sebaliknya, Nabi Musa duduk berteduh dan berkata:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan apa jua kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku."
(Surah Al-Qasas, 28:24)

Lalu Allah datangkan rehat, makanan, tempat tinggal dan akhirnya jodoh.. 
Bukan suruh terus kerja dakwah dalam keadaan lara dan lapar.. 

Self-care adalah ibadah bila diniatkan untuk memulihkan tenaga agar kita boleh terus taat.
Ia bukan bentuk kelalaian.

Bila kita telusuri pula kisah Nabi Yunus a.s..

Self-care ini bermula dengan keberanian mengaku lelah.. 
dan memilih untuk berundur seketika, bukan kerana semata-mata lemah.. (QS 4 : 28)
tetapi kerana mahu kembali kuat, dengan cara yang diredhai Allah..
Dengan cara melihat hanya Allah memiliki segala kekuatan dan keteguhan (QS 51 : 56)

Itulah yang berlaku kepada Nabi Yunus a.s.nabi Yunus pernah berasa terlalu letih, kecewa dan ingin menjauh dari kaumnya.. 
bukan kerana baginda putus asa terhadap dakwah.. 
tapi kerana emosi yang keletihan, jiwa yang tersinggung dan semangat yang hampir padam.

Dalam istilah psikologi hari ini, kita panggil itu sebagai emotional burnout.

Allah rakamkan dalam Surah As-Saffat, 37:139–144:

"Sesungguhnya Yunus benar-benar termasuk dalam kalangan rasul-rasul.
(Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan. Lalu ia ikut diundi dan termasuk orang yang kalah. Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan dia tercela. Kalau sekiranya dia tidak termasuk orang yang banyak bertasbih, nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu sampai hari berbangkit."

Dan apa yang baginda lakukan dalam kegelapan itu?

Nabi Yunus tidak mempersoalkan takdir.. Tidak menyalahkan sesiapa.. 

Sebaliknya Nabi Yunus menghadap Allah,
dengan kalimah yang sampai hari ini menjadi penawar hati hamba-hambaNya yang rasa berdosa:

"La ilaha illa Anta, subhanaka, inni kuntu minaz-zalimin."
(Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim.)
(Surah Al-Anbiya’: 87)

Inilah bentuk radikal self-honesty; kejujuran kepada diri dan Tuhan.
Dan spiritual surrender;  menyerahkan segala urusan, sambil mengaku kelemahan tanpa berdalih.

Dan Allah tidak menghukum Nabi Yunus. Allah menyembuhkan.

“Lalu Kami lemparkan dia ke tanah lapang sedang ia dalam keadaan sakit.
Dan Kami tumbuhkan untuknya sebatang pohon dari jenis labu.”
(Surah As-Saffat, 37:145–146)

Pohon labu itu bukan sekadar tumbuhan.
Ia adalah isyarat kasih sayang Allah dalam bentuk yang sangat praktikal.

Ulama tafsir menjelaskan:
Daun labu itu besar dan lembut, melindungi tubuh baginda yang luka.

Pokok itu juga tidak digemari lalat, memberikan ruang untuk tenang dan pulih.

Inilah bentuk self-care jasmani yang diberikan langsung oleh Allah.

Apa yang kita pelajari dari kisah ini?

1. Nabi Yunus a.s. menyendiri untuk pulih, bukan untuk lari.
Bukan semua retreat itu tanda kelemahan. Kadangkala, itu tanda seseorang masih mahu bangkit, cuma perlukan ruang untuk bernafas.

2. Zikir dalam sunyi itu adalah terapi rOhani.
Ia bukan sekadar lafaz di bibir. Ia adalah terapi pengakuan dan penghentian ego, yang membuka pintu penyembuhan sebenar.

3. Rehat, teduhan dan penjagaan fizikal juga penting.
Allah tidak arahkan Nabi Yunus terus kembali berdakwah.
Sebaliknya, Allah penuhi keperluan tubuh dan emosinya dahulu. Baru setelah itu, Nabi Yunus kembali berperanan sebagai rasul.

Self-care dalam Islam adalah menjaga amanah diri agar kita tidak rebah ketika menggalas beban ummah.
Agar kita dapat sujud dengan lebih tenang.
Agar kita kembali berdiri dengan lebih kuat.

Nabi Musa a.s. berehat dan berdoa di bawah pohon selepas trauma.
Nabi Yunus a.s. menyendiri dalam gelap dan berzikir untuk pulih dari tekanan.
Mereka tidak dikutuk Allah. Mereka dimuliakan, kerana jujur dengan keletihan mereka.

Maka.. 
Janganlah kita hanya seru orang kembali kepada Allah tanpa tunjuk jalannya.

Ada yang kata:
"Tidak perlu terapi. Cukup kembali kepada Allah." 

Tapi.. bagaimana mahu kembali kepada Allah kalau yang menyebut nama-Nya adalah lidah yang menghakimi?
Bagaimana mahu rasa dekat dengan Tuhan bila hati masih trauma dengan manusia yang kononnya mewakili-Nya?

Bukankah Nabi SAW ada bersabda:

"Tidaklah kasih sayang dicabut, melainkan daripada hati orang yang celaka."
(HR Abu Daud)

Dan bukankah al-Rahman itu Dia?
Maka mengapa bukan rahmah yang kita hulurkan dulu?

Terapi, ubat dan rehat bukan bukti kurang iman. Ia bukti kita jujur mahu sembuh.

Jika kita percaya bahawa segala penyakit datang dari Allah,
maka kita juga wajib percaya bahawa ikhtiar adalah sunnatullah.

Bukankah Nabi SAW bersabda:

"Berubatlah kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan Dia juga menurunkan ubatnya."
(HR Abu Daud)

Dan dalam al-Quran juga Allah berfirman:

"Janganlah kamu membunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang terhadap kamu."
(Surah An-Nisa’, 4:29)

Lalu apakah bukan zalim bila kita halang 'pesakit' dari berubat?
Apakah bukan menyalahi kasih sayang Allah bila kita biar dia terus larut dalam sakit tanpa bimbingan?

Dan buat yang menegur keras sambil membawa ayat-ayat al-Quran.. 

Benar, al-Quran adalah cahaya.
Tetapi bila cahaya itu tidak diiringi hikmah,
ia bukan menyembuhkan, malah boleh menyilaukan jiwa yang sedang mencari..

Bayangkan seseorang baru bangun dari tidur dalam bilik gelap.. 
Jika tiba-tiba lampu bilik dinyalakan, mata akan silau, sakit, dan spontan dia akan pejam mata atau berpaling.

Tetapi jika lampu itu dinyalakan perlahan-lahan, mata akan mula menyesuaikan diri, dan penglihatan akan pulih secara semula jadi.

Begitulah hati manusia.
Jika kita bawa al-Quran tanpa kelembutan, tanpa memahami kondisi jiwa mereka, cahaya itu tetap mulia, tetapi pendekatan kita membuatkan ia 'menyilaukan'. 

Perigatan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat yang saya hormati.. Al-Quran bukan senjata untuk menembak sesat orang lain.

Jom kita renung firman Allah:
“Katakanlah : Mahukah Aku khabarkan kepada kamu tentang orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya? Iaitu orang yang sia-sia usahanya dalam kehidupan dunia sedang mereka menyangka bahawa mereka telah melakukan yang sebaik-baiknya.”
(Surah Al-Kahfi, 18:103–104)

Ilmu tanpa tawadhu’ itu ujian.
Dan merasa diri suci ketika berdakwah adalah tanda riya’ yang terselindung.

Jangan tunggu diri atau keluarga diuji baru tercari-cari ilmu ini.

Sakit pada jiwa, mental health issue itu bukan trend. Ia kenyataan.
Dan yang paling malang ialah bila orang soleh menolak ilmu yang menyelamatkan.

Jangan tunggu anak sendiri murung, isteri sendiri menangis diam-diam, atau pelajar sendiri mencederakan diri.. baru kita percaya ilmu psikologi dan self-care itu penting.
Sedangkan Islam sendiri sudah lama ajar tentang mengenal nafsu, menyucikan hati dan menjaga fitrah diri.

Mari kita bina semula jambatan antara ilmu syariah dan ilmu jiwa.

Kita tidak perlu memilih satu.
Kita perlukan taubat dan juga ubat.
Kita perlukan zikir dan juga psikoterapi.
Kita perlukan rohani dan juga ilmu saintifik.

Syariatullah dan Sunnatullah..
Kedua-duanya kita perlukan..
Dan Allah lah yang menentukan hasil kepada ikhtiar kita..

Peganglah ini.. Agar kita tidak patah sebelah sayap bila diuji.

Buat para pemandiri dan semua yang sedang bergelut.. 
Saya faham apa yang sahabt semua rasa.
Dan saya berdoa, semoga Allah datangkan manusia yang tidak hanya pandai menasihati, tapi juga tahu bagaimana mendengar.

Semoga dengan ilmu, kita jadi lebih berhikmah. Dengan empati, kita jadi lebih dekat dengan sunnah. Dan dengan kesedaran, kita jadi lebih sihat untuk kembali berkhidmat kepada agama.

Jika tulisan ini menyentuh hati sahabat, silakan kongsi.. 

Moga jadi ruang untuk kita saling memahami,
bukan saling menghukum.

Hari ini.. Sempena usia saya memasuki angka 4.. Doakan saya semoga saya menjadi asbab kebaikan untuk semua orang ❤️❤️🤲🤲

Belajar dari ujian,
Marhamah Rosli
17/07/2025

1 comment:

  1. keep going sis..termasuk dalam blog ni..awalnya mencari tulisan berkenaan samiri moden..

    ReplyDelete