Saturday, August 2, 2025

REZEKI YANG DATANG DARI LANGIT, BUKAN DARI ALGORITMA by Dr.azura hashim

Bismillah.
REZEKI YANG DATANG DARI LANGIT, BUKAN DARI ALGORITMA

Pagi ini saya teringat. Ada satu cerita seseorang ni. Dia macam ni: 

Beliau adalah antara client sesi coaching saya 
Dia tidak buat marketing gila-gila. 
Tidak beriklan sana sini. 
Tidak muncul di live TikTok setiap hari pun.

Dia tak pandai TikTok.
Tak reti Canva. 
Tak tahu pun guna komputer 
Tak ada website. Tak buat sale campaign pun.

Dia hanya tahu satu perkara, buat kerja.

Tapi MasyaAllah, SubhanAllah...

Sale dia sekali masuk berbelas ribu, 
puluh ribu 
seolah-olah rezeki itu mencari dia, 
bukan dia yang kejar.

Tiada tekanan menjual, tiada kejar-kejar closing.

Tapi…
Ada satu perasaan yang masih menghantuinya.

“Saya rasa insecure… sebab saya ni berniaga dari rumah kampung je… Jaga pakcik, mak ayah yang, anak-anak saya, anak buah… dan juga ada anak-anak yatim di kawasan ini…”

Tapi hakikatnya, dia sedang berada dalam kebun rezeki yang Allah pilihkan untuknya.

 
Saya teringat satu perkongsian dalam kelas Usuluddin tahun lepas.

Ustaz bertanya:

"Apa yang mendatangkan rezeki?"

Lalu beliau kupas begini:

1. Salah satu jalan rezeki ialah datang bersama pakej tanggungjawab.

Lebih banyak tanggungjawab = lebih banyak pakej rezeki.

2. Formula rezeki: Perbanyakkan tanggungjawab.
Rezeki akan bertambah dari sudut yang kita tak jangka.

3. Teruskan usaha, sambil fikir apa tanggungjawab yang boleh ditambah.

Dan saya lihat… wanita ini sedang hidup dalam falsafah rezeki itu.

Ustaz menyebut: 

"Rezeki kadangkala tidak datang dari usaha yang besar, tapi dari tanggungjawab yang besar."

"Nak rezeki yang luas? Perluas siapa yang kamu tanggung."

Dan saya melihat wanita ini
Dalam lelah dia bertahan, dalam penat dia terus memberi,
Allah beri rezeki tanpa dia perlu meminta.

.
.
Dan ini mengingatkan saya teringat ayat Al-Quran dari Surah Al-Baqarah ayat 2–3:

"Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; ia petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa,"

"iaitu (ٱلَّذِينَ) orang-orang yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka."
(Al-Baqarah: 2–3)

Inilah ciri mereka yang mendapat petunjuk:

✅ Yang beriman tanpa melihat
✅ Yang menjaga solat
✅ Yang memberi dari rezeki, walau sedikit

Peringatan buat diri saya:

Rezeki itu bukan milik saya.
Ia bukan hasil strategi saya, bukan kekuatan saya, bukan jumlah iklan saya.

Rezeki adalah hak mutlak Allah.
Dia yang membuka pintu.
Dia yang mengatur jumlah.
Dia yang memilih siapa yang menerima
dan untuk apa rezeki itu diberi.

 “Apa yang Allah kehendaki pasti berlaku, dan apa yang tidak Dia kehendaki pasti tak akan berlaku.”

Tindakan untuk saya dan kita semua: 

1. Lazimi sedekah.
Tidak perlu tunggu kaya. Setiap pemberian adalah tanda percaya bahawa Allah akan gantikan, dalam bentuk yang Dia tahu terbaik.

2. Kurangkan membanding. Tambah yakin.
Bila kita tahu rezeki datang dari langit, kita tak sibuk membanding tanah orang.

3. Teruskan memberi. Walau diam.
Kita tak perlu viral untuk bernilai. Kadang rezeki terbesar datang melalui tangan yang tak pernah disebut.

Mungkin hari ini kita terlalu sibuk cari how to close sale,
Tapi lupa untuk cari how to stay close to Ar-Razzaq.

“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan lindungilah kami dari azab api neraka.” (Surah Al-Baqarah: 201)

Kerana rezeki yang sebenar
bukan hanya yang mengalir masuk ke akaun
tetapi yang mengalir masuk ke dalam hati dan membawa kita lebih dekat kepada Allah.

Dan rezeki paling mahal
bukan masuk bank account 
tapi masuk hati dengan rasa cukup.

Allah Ar-Razzaq…
Yang mengirimkan rezeki dari arah yang tak disangka

Dan semoga setiap tanggungjawab yang kita pikul hari ini, menjadi sebab rezeki yang barakah… dan jalan ke syurga esok hari, insyaAllah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera

#DrAzuraHashim

No comments:

Post a Comment