Friday, October 16, 2020

Amal Kebaikan Dibahagi-Bahagikan Sebagaimana Rezeki*

*

Abdullah bin Abdul Aziz Al-Umari, beliau merupakan seorang ahli ibadah, telah menulis kepada Imam Malik dan menggesanya untuk mengasingkan diri, membanyakkan beramal dan meninggalkan majlis ilmu.

Imam Malik menulis jawapan balas kepada beliau. Kata Imam Malik:

إن الله عز وجل قسم الأعمال كما قسم الأرزاق 
Sesungguhnya Allah telah membahagi-bahagikan amalan sebagaimana Dia membahagikan rezeki.

فرب رجل فتح له في الصلاة ولم يفتح له في الصوم
Boleh jadi ada seseorang yang dibukakan pintunya untuk mendirikan solat, dan tidak dibukakan pula untuknya pintu puasa.

وآخر فتح له في الصدقة ولم يفتح له في الصيام
Yang lain pula, dibukakan untuknya pintu sedekah, tetapi tidak pula dibukakan untuknya pintu puasa.

وآخر فتح له في الجهاد ولم يفتح له في الصلاة 
Ada yang lain pula dibukakan untuknya pintu jihad, akan tetapi tidak dibuka untuknya pintu solat.

ونشر العلم وتعليمه من أفضل أعمال البر 
Menyebarkan dan mengajarkan ilmu merupakan antara amalan kebaikan yang paling afdhal, 

وقد رضيت بما فتح الله لي فيه من ذلك
dan aku telah redha dengan apa yang Allah bukakan untuk ku.

وما أظن ما أنا فيه بدون ما أنت فيه وأرجو أن يكون كلانا على خير 
Tidaklah aku merasakan kita sama. Akan tetapi aku berharap kita berdua berada di atas kebaikan.

ويجب على كل واحد منا أن يرضى بما قسم له
Hendaklah setiap orang daripada kita redha dengan apa yang telah Allah bahagikan kepada kita.
[Ibn Abdil Barr, At-Tamhid, 7:185].

Perkataan ini Imam Ibn Abdil Barr sebutkan ketika menghuraikan hadis berikut:

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ
Daripada Abu Hurairah radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

 ‏"‏ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ فِي الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ
Sesiapa yang menginfaqkan dua pasang barang di jalan Allah, dia akan dipanggil di syurga nanti "Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan",

 فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ
Sesiapa yang banyak mendirikan solat, akan dipanggil di pintu solat.

 وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ 
Sesiapa yang berjihad, akan dipanggil di pintu jihad.

وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ
Sesiapa yang banyak bersedekah, akan dipanggil di pintu sedekah.

 وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ ‏"‏
Sesiapa yang banyak berpuasa, akan dipanggil di pintu rayyan.

 ‏.‏ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ يُدْعَى مِنْ هَذِهِ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأَبْوَابِ كُلِّهَا
Abu Bakar al-Siddiq berkata: Ya Rasulullah, adakah memang seseorang itu akan dipanggil daripada salah satu pintu-pintu ini? Adakah ada yang akan dipanggil di semua pintu.

 قَالَ ‏"‏ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ ‏"‏ ‏.
Baginda menjawab: Ya, dan aku berharap engkau menjadi daripada kalangan mereka.
[Muwatta' Malik, Kitab al-Jihad, no: 1009].

Imam Ibn Abdil Barr menyatakan:

وفيه أن أعمال البر لا يفتح في الأغلب للإنسان الواحد في جميعها وأن من فتح له في شيء منها حرم غيرها في الأغلب وأنه قد تفتح في جميعها للقليل من الناس وأن أبا بكر الصديق رضي الله عنه من ذلك القليل
Hadis ini menunjukkan bahawa kebiasaannya, pintu kebaikan tidaklah dibuka kesemuanya untuk seorang insan. Biasanya sesiapa yang dibuka untuknya sesuatu kebaikan, dia terhalang pula daripada pintu kebaikan yang lain. Terbukanya semua pintu kebaikan untuk seorang manusia hanya berlaku kepada sedikit sahaja manusia, dan Abu Bakar adalah daripada kalangan yang sedikit itu. [Ibn Abdil Barr, At-Tamhid, 7:184-185].

Dr. Umar Muqbil meletakkan hal ini dalam asas kehidupan yang ke 48.

Beliau menyatakan bahawa antara kesilapan yang berlaku di zaman kini adalah sebahagian orang suka meremehkan amal kebaikan orang lain, dan menganggap apa yang dia buat itu lebih utama.

Beliau jua menyebutkan bahawa antara kesilapan yang berlaku ialah seseorang tidak memerhatikan di manakah potensi dirinya sehingga dia menyibukkan diri dengan sesuatu yang diluar kemampuannya, sedangkan potensi dirinya adalah di tempat lain. Jalan untuk berkhidmat kepada Islam sangat banyak, perkara penting sangat pelbagai, oleh itu seseorang perlu memilih jalan mengikut kemampuan dirinya. [Lihat قواعد قرآنية - 50 قاعدة قرآنية في النفس والحياة, 295]

#MMMR

No comments:

Post a Comment