Wednesday, September 3, 2025

Nabi Yusuf alaihissalam .coretan wardah lutfi

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد
Usai baca Yang Berhutang 2.0, terus teringat transkrip lama surah Yusuf oleh Ustaz Nouman Ali Khan, yang saya taip tahun 2016 dulu. 

Ada ya, sesetengah hamba Allah yang jadi sebahagian daripada perancangan besar Allah SWT. Ujian yang menimpa individu tertentu, tujuannya untuk menyelamatkan kelompok manusia yang lebih besar. 

Jemput baca, agak panjang juga. 
----

"Surah Yusuf sangat unik, kerana keseluruhan surah hanya berkisar tentang satu cerita sahaja. Surah lain mengandungi pelbagai cerita; tidak dengan yang ini. Dari mula hingga akhir, ceritanya adalah tentang Yusuf a.s dan adik beradiknya -  mengikut kronologi pula tu. 

Ada riwayat yang sangat menarik tentang surah ini.

Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah ﷺ dan bertanya baginda; ayat apa yang patut dibaca? Lalu baginda menjawab, surah yang bermula dengan الۤرۚ.

Kenapa Rasulullah ﷺ cadangkan begitu? 

Lelaki ini mengadu akan dirinya yang sudah semakin tua, namun hati dan lidahnya sungguh keras dan zalim terhadap manusia lain. Hatinya sudah tidak sensitif dan lunak. 

Penting untuk kita tahu kisah di sebalik ini, supaya kita lebih faham bahawa; SURAH YUSUF MEMPUNYAI IMPAK YANG SANGAT BESAR UNTUK MELEMBUTKAN HATI ORANG YANG MEMBACANYA.

Setiap kali saya menggali surah ini, setiap kali itu juga saya 'terjumpa' ilmu baru yang tersirat. Sesuatu yang tak pernah saya terfikir pun. 

Misalnya, tentang cara Allah SWT menggambarkan keunggulan diri-Nya. Unik, tetapi sangat unggul. 

Kita mulakan dengan gambaran keseluruhan surah.

Kisah seorang budak lelaki yang sangat disayangi ayah dan menyebabkan adik beradik yang lain cemburu. Kesan perasaan sedemikian memaksa mereka membuat perancangan menculik adik mereka sendiri, lalu dicampakkan ke dalam perigi. 

Dari situ, anak tersebut dikeluarkan oleh rombongan pedagang yang singgah lantas mereka menjualnya untuk dijadikan hamba. Di tengah² cerita, dia menjadi pembantu di istana orang kaya Mesir.

Kisah ini sungguh menganggu jiwa. Kalau adalah berita sebegini di kaca televisyen, sudah tentu kita tak sanggup mendengarnya. Anak yang terpisah daripada ayah tersayang, dan terpaksa pula menjadi abdi di usia yang sangat muda. Beratnya emosi ayah, tak dapat nak dibayangkan. 

Namun Allah SWT menyebut; 

 ...وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰۤ أَمۡرِهِۦ
"Dan Allah berkuasa terhadap urusannya .." (Yusuf, 12:21); satu-satunya tempat di dalam al-Quran yang mana Allah SWT menyebut sifat-Nya sebegini. 

ALLAH SWT MENDOMINASI DAN MENGUASAI SEGALA URUSAN. 

Apa yang berlaku kepada Yusuf a.s, Dia-lah yang menjaga dan mengawal kesemuanya. 

Terus kita rasa hendak bertanya. 

DI MANAKAH TUHAN SEMASA SEORANG KANAK KANAK TAK BERDAYA DICULIK, DIBUANG KE PERIGI LALU DIJUAL PULA? 

Di mana Tuhan itu ketika kanak kanak malang yang membesar menjadi remaja kacak, difitnah dan dihumban ke dalam penjara untuk kesalahan orang lain? 

Namun Allah SWT menyebut diri-Nya,"Ghalib", Tuhan yang kuasa-Nya melangkaui segala.

Kemudian Allah SWT seimbangkan pula dengan mengatakan; Allah itu Maha Lembut dan 'subtle' dalam apa juga yang dilakukan-Nya. 

Allah SWT amat² berkuasa, namun CARA DIA MENGENDALIKAN DAN MEYELESAIKAN SESUATU URUSAN, SEOLAH-OLAH DIA TIDAK ADA. 

Itu yang dimaksudkan dengan 'subtle'. Latif dalam bahasa Arab bukan sahaja bermaksud lembut, tetapi juga kita tak perasan pun akan kehadiran campur tangan Tuhan dalam sesuatu urusan. Tahu tahu dah selesai sahaja dengan elok. (Patutlah orang rekomen amalan zikir "Ya Latif")

Perancangan-Nya sentiasa berjalan dengan tersusun dan penuh misteri tanpa kita mengetahuinya. 

Kita pun rajin nak tanya lagi. 

Bagaimana nak tahu dan faham Allah SWT sedang menghulurkan bantuan, andai semuanya rahsia belaka? Di sinilah Allah SWT memperkenalkan dua lagi nama-Nya.

"Alimun Hakim". Kuasa yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana. Ya lah. Kekadang ada sesetengah manusia yang berkuasa, tapi tak bijak pula. 

Allah SWT itu Tuhan yang Menguasai, Menyelesaikan urusan, dan Maha Bijaksana.

Allah SWT tahu pertemuan semula Yusuf a.s dan adik beradiknya. Allah SWT tahu kisah ini akan menjadi mesej berharga untuk Rasul terakhir yang akan dihantar ke dunia. 

Kisah Yusuf a.s yang dibuang adik beradiknya ini, diturunkan kepada Rasulullah ﷺ di kala Baginda dibuang kaumnya semasa di Mekah. Tenanglah Baginda apabila menerima khabar cerita sedih yang berakhir dengan bahagia. 

Berbalik pada kisah surah Yusuf. 

Siapakah dalam cerita ini yang paling menanggung seksa agaknya? Ya. Ayah Yusuf a.s, Nabi Yaakub a.s.. 

Di awal cerita semasa Yusuf a.s. menceritakan tentang mimpinya, Nabi Yaakub a.s. berbunga- bunga hati mendengarnya, lantas baginda menyebut Allah itu "Alimun Hakim". 

Hatinya penuh dengan harapan terhadap anak kesayangan. 

Tiba tiba anak itu hilang. Hendak menambah duka cerita lagi, anaknya Bunyamin pula ditangkap setelah beberapa lama sewaktu mereka sedang kesempitan hidup. 

Namun apa kata Nabi Yaakub a.s.? Tetaplah baginda menyebut; Allah itu "Alimun Hakim". Baginda sedih dan pilu, namun baginda yakin Allah Maha Tahu tentang apa yang sedang dilakukan-Nya. Diserahkan penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan atas keyakinan itu. 

Cuba fikir sekejap. Andainya Yusuf a.s. tidak dipenjarakan, apakah yang akan terjadi? 

Kemarau besar akan berlaku, dan Mesir langsung tidak akan bersedia menghadapi keadaan itu. Bukankah kemarau tersebut dapat dikendalikan dengan baik hasil daripada cadangan Yusuf a.s yang sedang di dalam penjara? 

Ratusan ribu manusia akan mati kelaparan, jika Yusuf a.s. tidak lalui perjalanan hidup sedemikian. Adik beradik Yusuf juga sama, akan mati juga kerana kemarau itu. 

Kemudian Nabi Yusuf a.s. membawa keluarganya untuk tinggal bersama di Mesir, dan bermulalah era keturunan Israil di Mesir, yang bersambung dengan saga Nabi Musa a.s. pula."

Allahuakbar.

Ustaz Nouman Ali Khan

Tuesday, August 26, 2025

Pasangan terkutuk by Aqilah nor

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Bila Allah Sendiri Turun Kutukan

Seorang manusia yang Allah namakan secara khusus untuk dikutuk dalam Al-Quran ialah,
Abu Lahab.

Dan bukan dia saja.
Allah juga turun azab khas untuk isterinya, Ummu Jamil.

Siapa mereka berdua?

Jangan bayang mereka ni orang biasa.
Mereka ni power couple paling berpengaruh di Mekah waktu itu.

Abu Lahab,
Jutawan, politikus, selebriti.

Ummu Jamil,
wanita bangsawan, dari Bani Umayyah, adik kepada Abu Sufyan.

Mereka bukan saja popular, 
tapi menjadi simbol status, keturunan, kekayaan, dan kecantikan.
Bayangkan influencer kelas A versi Quraisy.

Abu Lahab bukan nama sebenar. 
Itu nickname.

“Lahab” bermaksud api yang menyala merah
Digelar begitu sebab dia ada kulit kemerah-merahan, tampan dan menarik.
Dalam budaya Arab, nama sebegini simbol pujian dan ketampanan.
Kiranya kalau dia ada di zaman sekarang,
Mungkin menjadi selebriti pujaan ramai.

Nama sebenar dia?

 ‘Abdul ‘Uzza,
hamba kepada berhala Uzza.
Tapi Allah tak mahu pun sebut nama yang penuh syirik tu.

Sama macam Abu Jahl. 
Nama sebenar dia Abu Hakam (Bapa Kebijaksanaan),
tapi Allah gelar dia Abu Jahl (Bapa Kebodohan).
Kerana bila lawan kebenaran, 
semua pangkat dan nama dibogelkan.

.

Apa Kaitannya Dengan Surah Sebelum Ini?

Dalam Surah Al-Nasr, Allah umumkan,
Bila kemenangan Allah datang, 
manusia akan masuk Islam beramai-ramai.

Waktu Islam  naik. Waktu Fathu Makkah.

Tapi,
akan ada juga yang tak mahu tunduk walau semua orang sekeliling dah tunduk.

Surah Al-Nasr: Kemuncak kemenangan.
Surah Al-Masad: Kejatuhan manusia paling hina dalam sejarah.

Dua surah ni macam kontras.
Satu surah penuh kegembiraan
Satu surah penuh kemurkaan

Abu Lahab ada peluang jadi sahabat Nabi SAW.
Dia ada peluang jadi keluarga terhormat di sisi Allah.
Tapi dia pilih jadi musuh nombor satu Islam.

Malah, dalam satu majlis terbuka Rasulullah panggil Quraisy berkumpul di Bukit Safa,
baginda SAW bertanya:

“Kalau aku kata di balik bukit ni ada tentera nak serang, kamu percaya?”
Semua jawab:
“Ya, kami tak pernah dengar kamu berbohong.”

Tapi Abu Lahab jawab,
“Binasalah kamu, adakah kerana ini kau panggil kami datang?!”

Dan Allah jawab balik.
تَبَّتْ يَدَا أَبِى لَهَبٍ
Binasalah tangan Abu Lahab!

Ayat itu diturunkan di hadapan dia sendiri.

Tapi dia tak insaf.
Dia malah balas dengan cercaan dan ejekan.

.

Ummu Jamil si Ratu Fitnah

Isteri dia pula, Ummu Jamil, 
bukan sekadar diam.
Dia sokong, hasut, dan cipta syair sindiran terhadap Rasulullah.

Dia pegang kalung emas dan bersumpah,
“Demi Lata dan ‘Uzza, aku akan belanjakan harta ni untuk perangi Muhammad!”

Wanita Quraisy biasa simpan barang kemas di rumah.
Tapi dia?
Pakai dan pamer keliling kota,
nak tunjuk “aku kaya, aku bangsawan, siapa nak lawan aku?”

Dan Allah jawab balik,
“Di lehernya akan ada tali sabut neraka.”

Perhiasan dunia yang dia banggakan ditukar jadi penghinaan akhirat.

.

Kenapa Allah Turunkan Surah Ni?

Sebab Abu Lahab dan isterinya bukan sekadar tolak Islam.
Mereka gunakan segala pengaruh, harta, dan kata-kata untuk
Hina Rasulullah
Hasut masyarakat
Rosakkan reputasi dakwah
Menyebar api fitnah dan cercaan

Mereka tak lawan dengan hujah. 
Mereka lawan dengan ejekan.

Dan Allah sendiri turun gelanggang untuk jawab.

.

Kalau zaman sekarang kita ada keyboard warrior, penyebar fitnah, pembenci agama.
Maka ketahuilah, fenomena tu bukan baru.

Dan Allah sendiri dah tunjuk.
“Tak perlu jawab. Aku sendiri akan jawab.”

#NotaTadabbur
#TadabburAlMasad
#TadabburJuz30

Wednesday, August 20, 2025

Siri parenting by ustazah zahidah

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Saya melihat, adanya keperluan untuk kita mula mewujudkan siri parenting untuk single parent; baik ibu atau bapa.

Single parent ini ada banyak kategori.

Ada kategori menjadi single akibat kematian, ada yang akibat ketiadaan persefahaman, ada yang akibat perbezaan akidah, ada yang akibat isu tanggungjawab, ada yang akibat isu kewangan dan sebagainya.

Setiap kategori; MENDATANGKAN cabaran yang berbeza. Setiap JENIS BEKAS PASANGAN, mencorak hubungan komunikasi/interaksi yang berbeza dan meninggalkan kesan yang turut berbeza kepada ibu/bapa dan anak-anak yang berkaitan.

Saya secara peribadi melihat; wujudnya kursus parenting yang benar-benar fokus kepada golongan ini akan memberi banyak kebaikan dalam membina resilience, growth dan maturity pihak-pihak yang terlibat.

Tambahan, dalam konteks sosiologi dan psikologi keluarga; anak-anak dari keluarga single parent terdedah menjadi kelompok yang lebih “teruji” daripada segi kestabilan emosi, pengurusan identiti diri dan isu kebergantungan (attachment). 

Kajian mendedahkan; dengan ASUHAN, KESEDARAN dan STRATEGI yang betul, anak-anak ini mampu membina daya tahan yang jauh lebih tinggi daripada kanak-kanak/remaja seusia mereka. 

Ya, ada banyak kajian tentang “UPAYA RESILIENCE” anak-anak ini yang menyokong bahawa mereka punyai tahap ketahanan diri yang jauh lebih baik berbanding anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran biasa. 

Tetapi itulah, mereka punyai tahap KETAHANAN lebih tinggi TAK BERMAKNA mereka tidak lalui ‘painful meoment’ atau tidak bermakna kita boleh neutralise-kan painful moment mereka membesar dengan single parent. 

Makna kata, kita suka anak-anak ini membesar dengan jiwa juara, jiwa empowered, jiwa survivor. 

Tapi, kita sebolehnya taknak inflict more pain ke atas mereka hanya kerana KEJAHILAN IBU/BAPA single ini tadi dalam mengurus konflik dan kehidupan mereka. Ini pointnya. 

Jika anda ingat, saya pernah tulis analogi; 

Ada anak yang membesar dengan mengetahui bahawa “air panas itu mencederakan” melalui ajaran/didikan/pendedahan dari ibubapa. 

Dan, ada juga anak-anak yang membesar dan mengetahui bahawa “air panas itu mencederakan” dengan pengalaman pahit dan menyakitkan di saat air panas itu tersimbah atas badan mereka; imprinted dalam memory dan nervous system mereka sebagai BUKAN SEKADAR PENGETAHUAN, tetapi PENGALAMAN yang turut membawa erti kesakitan, kesedihan, pengabaian dan sebagainya. 

Apapun.. 
Anak-anak dari single parent berupaya menjadi anak yang ABOVE average jika kena gayanya, dalam masa yang sama berpotensi menjadi anak yang BELOW average jika salah gayanya. Ianya tidak rumit untuk difahami dan dirungkaikan, asalkan kita ada platform yang telus untuk membincangkan tentang hal ini.

Kursus ini bukan sekadar support ibu/bapa single ini, tetapi lebih penting untuk kita MEMBANTU MEMBANGUNKAN anak-anak mereka, melindungi anak mereka daripada kerosakan emosi, daripada tumbesaran yang terbantut asbab ibubapa single yang tidak aware tentang cabaran dan corak kehidupan yang sedang diperjalankan ke atas mereka.

Single parenting perlukan "kemahiran khas dan EKSTRA" yang tidak sama dengan pasangan berkahwin yang stabil atau berfungsi, antaranya termasuk dalam aspek; 

1. Urus komunikasi dengan bekas pasangan walaupun hubungan peribadi retak dan banyak luka-luka yang belum sembuh dan masih berdarah. 

2. Mewujudkan persekitaran sokongan (extended family, sekolah, komuniti) supaya anak tak merasa asing. 

3. Bina emosi yang sihat agar anak tidak terbeban dengan trauma ibu bapa. Ini kritikal. Banyak perceraian bukan sekadar memutuskan ikatan suami isteri; tetapi membuatkan si ibu KERING KASIH SAYANG sebab trauma, dan membesarkan anak2 dalam survival mode dan tekanan tinggi. 

4. Fahami hak-hak undang-undang Syariah dan Sivil supaya anak tidak menjadi mangsa perebutan, penafian nafkah atau manipulasi kuasa. Benda ni kadang berlanjutan sampai berpuluh tahun berkahwin. Jika tahu hak dari segi undang-undang, banyak risiko boleh diminimakan. 

5. Clearify peranan ibu/bapa yang seimbang tanpa memindahkan luka perkahwinan kepada bahu anak. 

6. Co-parenting dengan narcissist. Ini pun antara perkara penting untuk disentuh. 

Banyak lagi sebenarya topik yang kritikal disentuh untuk menyantuni cabaran golongan ini.  

Kita bukan nak galakkan komuniti single parent. Tapi berhadapanlah dengan isu secara matang dan realistik. 

Kita taknak sambung kitaran. Kita nak putuskan kitaran ini. 
Kerosakan pasangan pada hari ini dalam membina hubungan sihat tidak sedikit adalah dari KESILAPAN DIDIKAN IBUBAPA mereka di masa lampau. 

Jadi, bila single parent ini DAH HADAP sendiri keburukan dari kesilapan salah didik mertua terhadap anak mereka; mereka akan jadi golongan yang berupaya paling faham dan bersunggung-sungguh dalam memutuskan rantaian kejahilan ini. Saya maksudkan kenyataan ni dalam kes-kes mangsa perceraian pasangan yang dipersiakan yang terpaksa terima akibat bercerai sebab pasangan tak berfungsi. 

Memang ada banyak tips parenting di luar sana. 
Tapi tak semuanya praktikal untuk golongan ini. Maka di situlah sedikit adjustment perlu dibuat agar pendedahan kepada ilmu parenting ini benar-benar bersifat empowering dan membangunkan kesemua mereka yang terlibat.

Jika tak, kita bimbang akan muncul “generasi yang hilang”  anak-anak yang terperangkap dalam konflik yang KEMBALI MEMBANGUNKAN konflik tersebut dalam rumahtangga mereka. 

Bukan sedikit yang ulangi kesilapan ini. Mereka belajar kegagalan dan mereka sambung kegagalan tersebut dengan anak orang lain pula. Ini kita tidak mahu. Maka, ibubapa single parent perlu tampil bertanggungjawab hentikan kesilapan ini sebaik yang boleh. 

Allahualam.
Sharifah Zahidah
21 Ogos 2025
Relationship & Family Consultant
#sebelumsenja