Sunday, October 3, 2021

Sebaik-Baik Manusia (2)


Adakah kita tergolong dalam kalangan sebaik-baik manusia?

Pelbagai kriteria dan ciri boleh kita sebut yang menunjukkan seseorang itu terbaik. 

Rasulullah SAW menyebutkan sebaik-baik manusia dalam hadis baginda.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا

Daripada Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian.” (HR Tirmizi No: 1898) Status: Hadis Sahih

Rasulullah SAW di utus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sebaik-baik kita ialah yang paling baik akhlaknya sama ada akhlaknya sebagai hamba kepada Allah dalam beribadat juga akhlaknya sesama makhluk dalam hubungan sesama manusia.

Baiknya akhlak adalah salah satu tanda sempurnanya keimanan seseorang. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ إِيْمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya”. (HR Tirmidzi no 1162)

Baiknya akhlak seseorang adalah penyebab mendapat kecintaan dari Rasulullah SAW dan paling dekat dengan baginda di hari kiamat. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّيْ مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَحَاسِنَكُمْ أَخْلَاقًا

“Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan yang paling dekat denganku tempatnya pada hari kiamat adalah yang terbaik akhlaknya diantara kalian” (HR Tirmidzi no. 2018)

Orang yang berakhlak baik adalah orang yang paling dicintai oleh Allah. Diriwayatkan dari Usamah bin Syariik bahawa para shahabat bertanya kepada Nabi SAW:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَبُّ عِبَادِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

“Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah hamba yang paling dicintai oleh Allah? Baginda SAW menjawab: yang paling baik akhlaknya”.(HR Thabrani no. 471)

Akhlak baik adalah amalan yang akan memasukkan seorang hamba ke syurga. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثَرُ مَا يَلِجُ بِهِ الْإِنْسَانُ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ وَأَكْثَرُ مَا يَلِجُ بِهِ الْإِنْسَانُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ  وَحُسْنُ الْخُلُقِ

“Perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka adalah al-ajwafan, iaitu mulut dan kemaluan. Sedangkan perkara yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam syurga adalah taqwa kepada Allah dan baiknya akhlak”. (HR Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad no. 289)

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: