Saya membesar waktu zaman kegemilangan mereka. Termasuklah KRU dan Feminin. Memang menjadi kegilaan remaja waktu itu.
Jadi saya faham bila mereka yang umur lebih kurang saya sangat teruja bila KRU adakan konsert .
Memang ramai yang pergi konsert mereka tempohari, termasuklah kenalan saya di Facebook ini.
Cuma saya rasa sangat sedih.
Saat umat islam dibedil dengan bom kita semua masih lagi hidup dalam mindset nak berhibur.
Adakah kalian langsung tidak terkesan apa yang sedang berlaku terhadap umat Islam di seluruh dunia?
Adakah kalian merasakan kita semua hanya mampu berdoa, bantu dari segi kewangan, selebihnya meneruskan kehidupan kita seperti biasa?
.
.
.
Hari ini saya istighfar sungguh bila nampak berita ini.
Alhamdulillah imej mereka pun sudah berbeza sekarang. Masing-masing sudah berkeluarga dan dah bergelar ibu.
Cuma saya rasa saya perlu bersuara agar kalian menjauhkan diri jika ada keinginan untuk berhibur dengan cara begini.
Hari ini dunia semakin tenat.
Jika tak mampu mengubah dunia ke arah kebaikan, jangan biarkan dunia mengubah diri kita ke arah keburukan.
Saya anggarkan mereka, dan siapa saja yang membesar dengan hiburan hiburan begini sudah menghampiri, mencecah usia 40 tahun, atau mungkin lebih lagi.
Tahukah kalian, usia 40 tahun adalah usia penentu?
Ada apa dengan angka 40?
Sangat penting usia 40 tahun ini sehingga Allah memang rakamkan secara khusus usia 40 tahun ini dalam al-Quran.
Usia 40 tahun ini ibaratnya sebelah kaki kita sudah masuk dalam liang kubur.
Usia 40 tahun ini dipandang oleh ramai Ulama sebagai usia penentu baik buruknya kesudahan hidup manusia.
Jika pada usia ini manusia memilih jalan yang baik, maka baiklah kesudahannya. Jika buruk , maka buruklah kesudahannya.
Usia 40 tahun ni adalah titik penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Perasan atau tidak, waktu usia 35 tahun ke 40 tahun ini adalah umur dimana kebanyakan kita akan diberi ujian yang sangat berat.
Ujian kehilangan orang tua
Ujian keluarga, (dengan ibu ayah, adik beradik)
Ujian dengan pasangan( pergaduhan, penceraian)
Ujian kewangan
Ujian anak-anak
Ujian kesihatan
Pelbagai jenis lagi ujian berat.
Yang pastinya Allah sedang memanggil kita pulang untuk bertaubat kepadaNya.
Allah sedang mempersiapkan kita untuk lebih bersedia pada usia 40 tahun.
Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, dan seluruh kehidupanya.
Berusaha untuk beramal soleh,
Perbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya.
Kerana akhirnya kita semua mahu berkumpul bersama di syurga. Jadi kita perlu persiapkan diri kita dan seluruh keluarga kita.
Dan orang yang kurang bijak, tetap leka dan mengabaikan panggilan Allah. Masih tetap leka dengan keseronokan dunia, dan tidak merasakan hidup ini sementara.
Cuba refleksi diri kita, siapa sebenarnya diri kita sebelum memasuki atau siapa diri kita pada usia 40 tahun.
Bagaimana kehidupan kita? Bagaimana dengan zuriat kita? Adakah kehidupan kita lebih baik atau sebaliknya?
Sudah sampai masanya untuk kita semua buat satu perubahan yang drastik.
Nabi SAW pernah bersabda:
الدُّنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ
Maksudnya: “Dunia ini adalah ladang (tempat bercucuk tanam) bagi akhirat”.
Dunia ini hanyalah tempat persingahan. Kita transit sekejap sahaja. Tempat inilah kita semua perlu berlumba untuk persiapkan diri kita dengan semua bekalan untuk akhirat nanti.
Walau dunia ini bersifat sementara, ramai yang masih tertipu dengan keindahan dunia yang penuh dengan permainan yang sia-sia.
Jika dunia ini hanya sekadar berhibur semata, alangkah ruginya kehidupan kita. Keseronokkan di dunia langsung tidak sama dan menandingi keindahan di syurga.
Firman Allah SWT,
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
Surah al An’am: 32
Kita tidak tahu bila Allah akan jemput semula kita. Tak ada siapa pun tahu bila tarikh kematian kita.
Yang kita mampu lakukan berusaha untuk persiapkan diri kita.
“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari.
Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”
Surah Yunus : 45
Semoga kita semua berusaha untuk tidak terus hidup dalam kejahilan.
What is haram will always be forbidden even if the whole world engages in it.
Syahirah Omar.
No comments:
Post a Comment