Wednesday, September 16, 2026

Adakah keputihan perempuan najis?

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Perkara yang membuatkan hati rasa terkilan adalah apabila perasan, banyak orang perempuan mudah-mudah menangguhkan solat kerana proses untuk melaksanakan solat dilihat payah dan renyah.

Tidak pasti bermula dari siapa, seolah-olah masyarakat ditakut-takutkan untuk solat.

Rage bait sengaja menggerunkan.

“Orang perempuan solat berpuluh tahun, tetapi solat ditolak!”

“Keputihan orang perempuan itu najis! Rugi sahaja solat jika dalam keadaan najis!”
_________________________

Adakah keputihan perempuan najis?

Sehingga menyebabkan perempuan perlu memakai panty liner (yang hakikatnya ada kesan sampingan pada kesihatan faraj); kemudian pada setiap kali mahu solat, perempuan perlu terlebih dahulu beratur di tandas, menukar panty liner dan mencuci faraj; kemudian beratur pula di tempat mengambil wuduk, perlu mencuci mekap dan berwuduk; baru lah akhirnya dapat melaksanakan solat.

Hakikatnya keputihan bukan najis.

Iya.

Sekali lagi diulang, keputihan bukan najis.

Keputihan dibincangkan oleh para fuqaha’ di bawah isu ruthuubaat al-faraj; yang mana ia merangkumi air mazi dan selain air mazi.

Air mazi yang keluar akibat syahwat tetapi tidak sampai kepuasan seksual (air mani), terhukum najis, tanpa perlu mandi wajib. Ia perlu dibersih dan dihilangkan sebelum diperbaharui wuduk. Hukum air mazi bersandarkan kepada dalil sorih iaitu hadis riwayat al-Bukhari no 269.

Sebaliknya air putih biasa yang keluar dari faraj tanpa unsur syahwat, tiada dalil yang sorih menghukumnya sebagai apa.

Lalu, berbalik kepada ilmu biologi, yang mana cecair faraj adalah fitrah untuk menjaga kualiti pH faraj dari gangguan jangkitan kuman. Cecair faraj adalah proses faraj mencuci dirinya sendiri. Tidak perlu dihilangkan dari faraj, kerana ia bukan kecacatan atau kehinaan sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian penjual jamu.

Disebabkan hal tersebut, Imam al-Ramli (imam besar mazhab al-Syafii) membezakan hukum air putih mengikut tempat keluarnya:

1) cecair asal yang berperanan sebagai pelembap faraj; iaitu ruang faraj yang wajib dibilas dengan air semasa istinja’ atau dalam had yang masih dicapai zakar ketika bersetubuh, bersifat tidak najis.

2) cecair yang keluar dari rahim (rutubah al-jufiyah) atau melepasi had zakar dapat mencapai atau ruang dalam faraj yang tidak wajib dibasuh, bersifat najis.

Kebiasaan cecair yang ada di permukaan seluar dalam adalah cecair dari jenis pertama; iaitu cecair dari lembapan faraj. Melainkan terbukti ia adalah cecair yang datang dari rahim terutama apabila memiliki sifat-sifat yang telah dijangkiti kuman seperti bewarna dan berbau. Kerana asalnya rahim tidak merembeskan cecair kecuali dalam keadaan-keadana tertentu seperti dalam tempoh subur perempuan.

Justeru, 
Jangan risau dan jangan memberat-beratkan hukum.

Walaubagaimanapun, terdapat dua perkara dalam perbincangan air putih ini:

1) cecair asal faraj atau keputihan memang bukan bersifat najis, tetapi boleh menjadi najis sekiranya diyakini bercampur dengan air kencing, atau darah atau air mazi. Fuqaha’ meletakkan kategori ini dalam isu air wadi (yang juga tiada dalil sorih) tetapi melibatkan situasi yang mana ada keyakinan ia bercampur dengan air kencing seperti ketika ibu mengandung atau ketika mengangkat benda berat. Asalnya cecair tidak najis, tetapi disebabkan ia telah bercampur dengan rembesan air kencing yang tidak tertahan, maka ia berubah menjadi najis.

2) cecair asal faraj atau keputihan tidak membuatkan badan dan pakaian menjadi najis, tetapi ia membatalkan wuduk kerana sifatnya yang keluar dari qubul. Lalu, wuduk perlu diperbaharui tanpa perlu faraj dibasuh atau pakaian dalam ditukar. 

Namun ia bersifat membatalkan wuduk hanya sekiranya cecair memang keluar dalam keadaan melekat/ membasahi pakaian dalam. Cecair yang sedia ada pada lingkaran faraj tidak membatalkan wuduk. 

Bahkan, Ibn Hazm dan Sheikh al-‘Utsaimin berpendapat keputihan bukan sahaja tidak najis, ia juga tidak membatalkan wuduk kerana sifatnya bukan menyerupai sifat sesuatu yang keluar dari qubul yang membatalkan wuduk.

Sama seperti bagaimana para fuqaha’ membincangkan kentut faraj tidak membatalkan wuduk; kerana sifat kentut yang membatalkan wuduk adalah ia keluar dari lubang yang berkuncup, sebaliknya faraj bersifat lubang yang terbuka dan berlapis.
____________________

Lulusan agama di dalam negara terlalu banyak, namun dalam masa yang sama kita menyaksikan kerosakan dalam masyarakat semakin mengerikan.

Terlalu banyak perkara yang perlu kita muhasabahkan pada diri.

Barangkali niat kita baik, mahu memastikan masyarakat beribadah dengan baik dan ibadah mereka dipastikan agar diterima, walaubagaimanapun, ia perlu seiring dengan usaha agar jiwa mereka terlebih dahulu dekat untuk menjadi hamba. 

Barangkali kita terlalu ghairah bercerita tentang hukum itu dan ini, hingga kita terlepas pandang untuk menuntun umat agar memaknai keimanan kepada Allah dengan sebenar-benar keimanan.

Ceritakan lah kepada manusia tentang kenikmatan solat; kekhusyukan dalam ritualnya yang meletakkan kita terlalu hampir dengan Sang Maha Pencipta tanpa memerlukan kepada sehabuk perkara untuk menjadi perantara.

Hanya kita dan Allah yang Maha Mendengar dan yang Maha Halus.

Solat adalah pengisytiharaan kita di hadapan Sang Maha Pencipta dan Pemilik agung dunia dan seisinya, bahawa kita hanyalah hamba.

Serulah kepada solat sebanyak-banyak; kerana dengan menjadi hamba yang berulang-ulang kembali melutut sujud kepada Rabb yang Maha Melihat; akan membuatkan para hamba itu genentar untuk melakukan zina dan kemaksiatan.

Ingat kawan,
Tugas kita adalah lebih dahulu menyeru manusia agar berlari menuju Allah sebagai tempat kembali,
Bukan penghukum yang menterjemahkan ibadah sebagai sebuah ritual yang renyah dan penuh kesulitan.

Allahu a3lam

TaqabbalaAllahu minna waminkum,
Nurul Hasna’ Hazni
#siritentangwanita

Nota kaki:
- gambar merupakan petikan dari kitab Nihayah al-Muhtaj

No comments: