1. Akar masalahnya bukan pada rasa ditolak semata-mata, tetapi pada kegagalan mengurus emosi selepas penolakan.
2. Bahaya bermula apabila “aku menyukainya” berubah menjadi “dia mesti memilih aku”. Apabila jawapannya tidak, penolakan dianggap sebagai penghinaan yang mesti dibalas.
3. Saudara-saudara Nabi Yusuf a.s. berasa kurang disayangi oleh ayah mereka. Perasaan itu dibiarkan berubah menjadi cemburu, perancangan sesama sendiri dan akhirnya percubaan mencederakan Yusuf (12:8–10).
4. Al-Quran tidak menghukum kewujudan emosi. Al-Quran mendedahkan bahaya apabila emosi diberikan kuasa menentukan tindakan (ja-ha-lah).
5. Hal yang sama terlihat dalam kisah isteri al-Aziz. Al-Quran tidak meromantikkannya sebagai kisah cinta. Dia mengunci pintu dan cuba mendapatkan Yusuf tanpa persetujuannya (12:23).
6. Apabila ditolak, dia mengejar Yusuf sehingga bajunya terkoyak dari belakang. Apabila perbuatannya terbongkar, Yusuf pula dituduh (12:25).
7. Kemudian penjara dijadikan ancaman jika Yusuf terus menolak kehendaknya (12:32). Ini bukan lagi cinta. Ini ialah keinginan yang berubah menjadi pemilikan, paksaan dan hukuman.
8. Surah Yusuf mengajar bahawa seseorang berhak berkata tidak. “Tidak” bukan cabaran supaya kita mengejar dengan lebih agresif. “Tidak” ialah sempadan yang mesti dihormati.
9. Nabi Yusuf a.s. tidak terus berada di dalam bilik untuk berunding dengan godaan yang semakin memuncak. Baginda berlari menuju pintu (12:25).
10. Ketika emosi berada pada tahap tertinggi, jangan teruskan pertengkaran, hantar mesej ancaman atau membuat keputusan besar. Keluar daripada ruang bahaya dan beri masa kepada otak untuk kembali berfikir.
11. Nabi Yusuf a.s. sanggup memilih penjara daripada memenuhi ajakan tersebut (12:33). Baginda sanggup menanggung kesusahan sekarang daripada memperoleh kepuasan segera yang akan merosakkan maruah, iman dan masa hadapannya.
12. Baginda juga memohon agar Allah menjauhkan tipu daya itu daripadanya (12:33–34). Remaja perlu diajar bahawa meminta bantuan daripada ibu bapa, guru, kaunselor atau orang dewasa yang dipercayai bukan tanda kelemahan.
13. Pemulihan turut memerlukan kebenaran dan pertanggungjawaban. Yusuf tidak mahu keluar dari penjara sehingga namanya dibersihkan (12:50–51).
14. Mangsa perlu dilindungi dan pelaku perlu dipertanggungjawabkan. Kemaafan tidak membatalkan keselamatan dan keadilan.
15. Surah ini tetap membuka pintu perubahan. Saudara-saudara Yusuf akhirnya mengakui bahawa mereka bersalah (12:91). Emosi boleh menjelaskan mengapa seseorang bertindak, tetapi tidak membenarkan tindakannya.
16. Inilah yang perlu diajar sejak kecil. Kamu boleh kecewa, tetapi kamu tidak boleh menyakiti. Kamu boleh cemburu, tetapi kamu tidak boleh mengawal. Kamu boleh patah hati, tetapi orang lain bukan milik kamu.
17. Surah Yusuf tidak menjanjikan bahawa manusia tidak akan ditolak. Surah ini mengajar bahawa apabila ditolak, kita masih boleh memilih siapa diri kita selepas itu. Yusuf memilih pintu, doa dan maruah. Saudara-saudaranya pada awalnya memilih cemburu dan keganasan.
18. Akhirnya, perbezaan bukan pada siapa yang sangat terluka, tetapi pada siapa yang membenarkan luka menentukan tindakannya.
Moga Allah menguatkan ibu bapa dan para pendidik agar terus membimbing anak-anak remaja dengan sabar, meskipun perubahan yang diharapkan masih belum kelihatan.
Syaari Ab Rahman
Penulis,
“Kompas Kehidupan Dari Surah Yusuf”
No comments:
Post a Comment