Saturday, September 1, 2012

Muka tension cepat tua.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh


Oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Ada orang terus kelihatan cantik setelah berusia. Apakah sebenarnya rahsia mereka? Cakap-cakap nakal selalu mengatakan mereka ini ‘membela’. Sebenarnya kata-kata demikian dikeluarkan oleh mereka yang dengki, meskipun kita tidak menafikan sememangnya ada ‘ilmu hitam’ untuk kelihatan muda sepanjang masa, sebab ada banyak lagi teknik untuk mengekalkan kemudaan.

            Siapapun tidak dapat menafikan, bersikap tenang dan gembira selalu adalah salah satu rahsia kelihatan muda. Ketenangan terpancar melalui air wajah yang okey biarpun dalam keadaan yang payah. Pernahkah anda melihat orang yang masih boleh bertenang tatkala ditimpa bencana? Ha, lihatlah wajah mereka, selalunya lambat dimakan tua. Berbanding dengan orang yang sentiasa kelam kabut, selalunya garis-garis banyak mengukir di wajah mereka.

            Satu lagi petua yang boleh diamalkan ialah aktif dalam hidup. Orang yang kerap berkurung sahaja di dalam rumah dan hidup dengan masalah yang sama bertahun-tahun akan kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya. Seorang agen saham pada suatu hari berkunjung ke pejabat saya. Dia seorang wanita yang saya jangkakan baru berusia sekitar 30-an, rupa-rupanya melepasi 40-an. Apabila saya tanyakan apa rahsia kemudaannya, lantas menjawab, “Banyakkan kerja.”

            Dahulu wanita ini bekerja makan gaji. Kerjanya mengikut waktu yang ditetapkan. Dia berasa tidak bahagia sekali. Akhirnya dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada urusniaga saham. Sekarang bukan sahaja dia telah berada pada kedudukan yang baik hingga selalu terpilih untuk melancong ke luar negara, malah wajahnya semakin anggun berbanding usianya yang sebenar.

            Satu lagi yang anda boleh lakukan ialah banyakkan membantu orang lain meskipun hanya dengan kata-kata yang baik. Sebenarnya apabila kita berkata sesuatu yang baik terhadap orang lain, ia adalah diri kita yang sebenar. Semulajadinya kita gemar untuk berkata-kata yang menyenangkan orang mendengarnya, inilah hakikat diri kita yang sebenarnya. Lihat wajah orang yang anda puji, bukankah cerah dan manis? Adakah orang memuji dengan wajah yang masam lagi kematu? Bukankah ia adalah gambaran dua wajah yang bertemu dan bersatu lantas membentuk environment yang menarik?

            Ketika Jamil Ahmad mendapat pengampunan lalu dibebaskan dari penjara pada tahun 2006, wajahnya kelihatan jauh lebih tua daripada umurnya yang sebenar. Bekas banduan antara yang paling lama dipenjarakan itu kini berusia 62 tahun. Dengan paras usia seperti itu, dia tetap sajak di samping isteri muda yang dikahwininya setelah bebas. Sekarang dia lebih sajak dengan dua orang anak yang masih kecil.

            Apa rahsia Jamil? Beliau aktifkan hidup memberi ceramah motivasi di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Kapasitinya sebagai banduan paling lama dipenjara rupa-rupanya ada nilai motivasi yang tinggi untuk dikongsikan dengan masyarakat.

            Menurut Jamil, dia tidak pernah menolak sekiranya ada jemputan memintanya untuk berkongsi pengalaman hidup di dalam tirai besi kerana beliau berasa ia menjadi satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

            “Cuba bayangkan masa muda saya dihabiskan di dalam penjara iaitu sejak saya berumur 26 tahun dan dibebaskan setelah dipenjara selama 30 tahun, 11 bulan dan sembilan hari,” katanya dalam wajah benar-benar insaf dan bertaubat atas segala kesilapannya yang lalu.

Setakat ini dia telah mendapat lebih 300 jemputan untuk memberikan ceramah motivasi kepada orang ramai terutama pelajar sekolah.

             Satu lagi contoh ialah Datuk Jamali Shadat, seorang pelawak tahun 70-an tetapi kekal lucu dengan wajahnya yang dahulu hingga hari ini. Kelebihan Jamali Sadat dengan teknik lawak ventrilokuisme; meniru suara orang dewasa dan kanak-kanak, serta sinonim dengan sketsa atuk dan cucu bernama Atan, menyebabkan persembahan Jamali masih lagi mendapat tepukan gemuruh dan itulah antara rahsia keawetan wajahnya.

            "Sejak kecil lagi, saya memang suka buat lawak. Lima tahun selepas menyertai Bakat TV, saya masih meneruskan kerja saya sebagai tukang kebun sekolah,” ujarnya.

            Nampakkah anda orang yang suka membuat orang lain gembira psikologinya akan menggembirakan diri sendiri. Meskipun telah menjadi selebriti ketika itu, Jamali Sadat terus dengan kerjanya sebagai tukang kebun sekolah dan kini telah pun bergelar jutawan apabila tanah-tanah di sekitar Sijangkang yang dibelinya dahulu dengan harga murah mencecah jutaan ringgit.

            Dari Anas bin Malik ra katanya, dia mendengar Rasulullah saw bersabda, ”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (ALLAH) rezekinya atau dipanjangkan (ALLAH) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).” - (Bukhari)





No comments: