Sunday, June 30, 2013

Buku Salah Faham Terhadap Islam

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
اللهم صل على محمد وآل محمد






Ramai cerdik pandai hari ini mengalami kekeliruan yang hebat terhadap agama. Apakah agama merupakan salah satu dari kenyataan hidup? Seandainya agama pernah menjadi kenyataan hidup di masa lampau, adakah ia masih tetap relevan di zaman moden ini? Sedangkan sains telah mengubahkan seluruh bidang hidup. Tiada tempat lagi untuk sesuatu yang lain melainkan sains dan hakikat yang diakui sains saja.

Apakah agama merupakan satu keperluan manusia? Adakah agama hanya merupakan satu kecenderungan individu semata-mata? Dengan kata lain siapa suka boleh beragama dan siapa tidak suka boleh jadi atheis saja kerana kedua-dua pendirian itu sama saja.

Golongan ini juga mengalami kekeliruan yang sama apabila berhadapan dengan agama Islam. Golongan pendakwah Islam selalu mengatakan kepada orang ramai bahawa Islam adalah satu agama yang unik. Islam bukan semata-mata sistem kepercayaan. Islam bukan semata-mata sistem untuk meluhurkan budi dan mengasuh manusia dengan adab yang terpuji. Selain itu, Islam adalah satu sistem ekonomi yang adil, satu sistem sosial yang seimbang, satu himpunan undang-undang madani yang mengandungi undang-undang jenayah dan undang-undang antarabangsa. Islam juga satu pimpinan fikrah dan satu tarbiyah jasmani. Keseluruhan ini adalah adalah tegak di atas asas akidah, akhlak dan pendidikan rohani.

Apa yang dikatakan itu telah membingungkan golongan ini. Bagi mereka Islam sudah mati dan matlamatnya telah tamat. Justeru itu, mereka terperanjat apabila pendakwah Islam mengatakan bahwa Islam bukanlah legasi zaman purba yang kini disimpan dalam muzium fikiran. Islam bukan peraturan dan kepercayaan kepercayaan tua. Malah Islam merupakan suatu sistem yang masih hidup hingga ke detik sekarang. Islam mempunyai cukup daya untuk hidup pada zaman akan datang. Daya untuk hidup yang tidak dipunyai oleh mana-mana sistem lain, termasuk sistem sosialisme dan komunisme.

Sampai di sini mereka semakin terperanjat, mereka tidak tersabar lagi dan terus memekik, “Adakah sistem yang telah menghalalkan perhambaan, feudalisme dan kapitalisme, adakah sistem yang menganggapkan nilai kaum wanita sama dengan separuh nilai lelaki dan mengurung mereka di dalam rumah, adakah sistem yang menjalankan hukuman rejam, kerat tangan dan sebat, adakah sistem yang membiarkan penganutnya hidup mengemis dan membahagikan mereka kepada berbagai-bágai kelas yang memeras satu sama lain, adakah sistem yang tidak memberi jaminan hidup yang lumayan kepada orang-orang yang berusaha, adakah sistem yang sedemikian boleh hidup di zaman moden ini apatah lagi di masa hadapan?

Adakah sistem yang seumpama itu mempunyai potensi untuk memasuki medan pertarungan yang maha hebat yang berlaku pada hari ini? Pertembungan antara berbagai-bagai sistem sosial dan ekonomi yang berlandaskan prinsip-prinsip ilmiah. Adakah sistem yang seumpama ini mempunyai potensi untuk berdiri tegak dalam pertarungan ini? Apakah sistem ini berpotensi untuk menentang dan berjuang menegakkan kebenaran?

Sebelum pergi lebih jauh, golongan ini harus lebih dahulu mengetahui dari manakah sumbernya mereka menerima pendapat pendangan yang mengelirukan dan meragukan ini. Supaya mereka jelas, sama ada pendapat yang mereka laungkan itu merupakan hasil pemikiran mereka sendiri atau mereka melaungkan pendapat itu sebagai pak turut yang memekik-mekik sesuatu yang tidak dimengertikan oleh mereka sendiri.

Sebenarnya pendapat yang mengelirukan dan meragukan ini bukanlah hasil dari usaha pemikiran mereka yang objektif. Sebagai buktinya marilah kita kembali beberapa langkah pada zaman silam untuk mengetahui secebis sejarah moden.

Pada zaman pertengahan, peperangan demi peperangan Salib (Crusade) yang dahsyat telah berlaku antara negera-negara di Eropah dan negara-negara Islam. Kemudian peperangan itu berhenti setelah melalui satu tempoh waktu yang panjang. Tetapi silap sama sekali sekiranya ada orang yang beranggapan bahwa Peperangan Salib itu telah tamat setakat itu sahaja. Seperti dakwaan oleh Lord Allenby ketika angkatan beliau selesai menakluk Jerusalem dalam perang dunia yang pertama, “Sekarang perang Salib telah tamat!”

Dalam dua abad yang lampau penjajahan Eropah mengancam dunia Islam. Inggeris memasuki negera Mesir pada tahun 1882 berikutan pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Khidiwi Taufiq. Beliau sanggup bekerjasama dengan penjajah untuk menghancurkan revolusi rakyat yang dipimpin oleh Urabi. Selepas itu Inggeris merasa perlu menjalankan satu polisi untuk memperkukuhkan kedudukannya di negera-negera Islam. Polici ini bagi menjamin keselamatan mereka dan ledakan semangat Islamiah yang mungkin tercetus pada suatu hari nanti.

Di sini biar kita memberi peluãng kepada Lord Gladstone Perdana Menteri lnggeris pada zaman Queen Victoria menerangkan polisi itu dengan jelas dan terus terang. Beliau mengangkat al-Quran dan berkata kepada para ahli Parlimen Inggeris, ‘Selama kitab ini berada di tangan orang Mesir, maka selama itulah kita tidak akan menikmati keamanan di negera itu.”

Oleh itu, yang menjadi sasaran polisi Inggeris ialah melemahkan ilmu umat Islam. Mereka mahu mengikis kesucian Islam dalam hati penganutnya. Mereka mahu memusnahkan imej Islam dalam fikiran dan hati kecil umat. Tujuan mereka agar umat Islam boleh keluar dari agama ini dan menjauhkan diri dari undang-undang dan peraturannya. Dengan langkah demikian penjajah-penjajah Inggeris dapat bertapak kukuh di negera itu.

Demikianlah polisi yang dilaksanakan Inggeris di Mesir. Selain itu Inggeris juga menyusun satu polisi pendidikan yang mengabaikan pengajian dan hakikat sebenar tentang agama Islam. Apa yang diajar di sekolah-sekolah hanya ibadat yang berupa ritual solat, zikir dan ucapan tasbih dan tariqah sufi. Mana kala pengajian al-Quran ditekankan kepada cara membaca Quran untuk mengambil berkat di samping pengajian akhlak diberi secara teori sahaja.

Para pelajar tidak pernah diajar tentang Islam sebagai satu sistem ekonomi dan sosial, Islam sebagai satu sistem pemerintahan atau sebagai satu sistem pendidikan dan pengajaran, Islam sebagai satu cara hidup dan pemimpin kehidupan. Apa yang diajar kepada mereka ialah keraguan dan kekeliruan fahaman terhadap Islam yang diatur oleh para orientalis dan pendokong perjuangan salib di Eropah.

Mereka melakukan demikian supaya umat Islam keliru dengan agama sendiri. Dengan itu politik penjajahan Inggeris yang keji itu boleh terlaksana tanpa tentangan. Sebagai pelajaran ganti mereka mengajar golongan belia Islam tentang keagungan Eropah. Belia Islam diajar bahwa sistem kemasyarakatan yang sebenar ialah sistem kemasyarakatan yang telah berjaya membangun negara-negara Eropah. Mereka diajar bahawa sistem ekonomi yang tulin ialah sistem ekonomi yang telah disusun oleh otak-otak orang Eropah. Mereka diajar bahawa perlembagaan pemerintahan yang paling baik ialah perlembagaan yang telah dihasil dan dikembangkan oleh pengalaman orang-orang Eropah. Mereka diajar bahawa hak-hak manusia itu adalah hasil deklarasi revolusi Perancis. Mereka diajar bahawa sistem demokrasi adalah diasas dan dimajukan oleh bahasa Inggeris dan tamaddun hari ini adalah dibatu asaskan oleh Empayar Rome.

Ringkasnya orang Inggeris menggambarkan negera Eropah ini kepada pelajar Islam sebagai satu-satunya negera raksaksa yang tiada tolok bandingnya. Mereka cuba menggambarkan negera Timur sebagai negara Awang Kenit yang kerdil yang tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri. Bahkan mereka menggambarkan negara-negara Islam ini selama-lamanya tunduk dan menumpang kemajuan negera Eropah.

Kesannya, politik yang dirancang oleh Inggeris telah membawa hasil yang baik. Generasi muda Mesir tidak lagi merasa mempunyai kewujudan dan identiti sendiri. Mereka seluruhnya telah diperhambakan Eropah. Jiwa mereka telah terbenam sedalam-dalamnya bertuhankan Eropah. Mereka tidak dapat melihat dengan mata hati sendiri. Mereka tidak dapat berfikir dengan akal fikiran sendiri. Mereka melihat mengikut apa yang dilihat oleh orang-orang Eropah dan mendokong fikiran yang dikehendaki oleh orang Eropah.

Golongan ini pada hari ini merupakan buah-buah hasil dari politik yang disusun oleh penjajah. Mereka tidak memahami Islam melainkan kefahaman dan gambaran yang menimbulkan keraguan. Bahkan mereka tidak memahami seluruh ajaran Islam kecuali mengikut apa yang diajar oleh guru mereka Eropah. Justeru itu, mereka turut menganjurkan fikrah yang sama seperti orang-orang Eropah supaya agama dipisahkan dari pemerintahan dan agama dipisahkan dari sains.

Akibat kejahilan dan kelalaian, mereka lupa bahwa agama yang telah ditinggalkan oleh Eropah itu suatu agama yang berlainan dari agama yang diperjuangkan oleh risalah Islam. Suasana yang melingkungi Eropah telah memaksakan mereka bertindak memusuhi dan memencilkan agama. Itu sebenarnya adalah suasana yang khusus bagi orang-orang Eropah di sana sahaja. Suasana itu tidak berlaku di negera-negera Islam di Timur, malah tidak mungkin berlaku di sini.

Justeru kerana itu, golongan ini menyeru kita agar mengenepikan agama dan memisahkan agama dari pentadbiran sosial, politik dan ekonomi negara. Mereka sebenarnya telah mengimpotkan pemikiran orang orang Eropah ini. Mereka mengulanginya seperti burung kakak tua apa yang diucapkan oleh orang-orang Eropah di negera-negera mereka.

Pergolakan telah terjadi di Eropah antara sains dan agama. Ini kerana kuasa gereja-gereja di sana yang berpegang kepada teori yang dikatakan ilmiah dan kalimah suci yang turun dari langit. Apabila sains teori dan amali mendedahkan kesilapan teori dan dogmatis yang dipegang oleh golongan gereja, tentu sekali orang ramai lebih mempercayai pendapat sains dan menolak pendapat gereja. Seterusnya tidak mempercayai agama yang diajar oleh para paderi itu.

Pergolakan ini semakin bertambah sengit. Keinginan untuk membebaskan diri semakin meluap-luap apabila gereja-gereja di Eropah mendakwa mereka mempunyai kuasa ketuhanan. Mereka bertindak menggunakan kuasa itu dengan sewenang wenangnya. Akibatnya kuasa gereja menjadi igauan yang menakutkan orang ramai sama ada siang atau malam. Masyarakat Eropah ketika itu berhadapan dengan berbagai-bagai pemerasan. Mereka dipaksa mematuhi perintah paderi, mempercayai perkara karut dan khurafat atas nama tuhan.

Ahli-ahli sains disiksa dan dibakar kerana kesalahan itu. Contohnya, mereka mengeluarkan pendapat bahawa bumi ini bulat. Akibatnya telah menimbulkan respon yang negatif dari pihak gereja. Bagi orang yang berfikiran dan berperasaan bebas, mereka merasakan satu kewajipan untuk menghancurkan kuasa gereja yang hina itu. Sekurang-kurangnya bagi mengawal kuasa itu daripada terus menindas dan mengongkong kehidupan dan pemikiran orang ramai. Justeru itu, usaha untuk memburukkan ajaran agama yang digaris oleh gereja dan usaha mencari titik kelemahan agama Kristian telah menjadi satu kewajipan suci yang didokong oleh segenap cerdik pandai yang bebas dari kuasa gereja.

Persoalannya, mengapa kita yang tinggal di negera-negera Islam turut sibuk seperti orang-orang Eropah ini? Mengapa kita harus memisahkan sains dan agama? Apakah perlu bagi kita mencetuskan satu pergolakan dan pertentangan sengit antara sains dan agama? Yang manakah hakikat ilmiah yang bersih dan motif nafsu yang di dapati bertentangan dengan agama dan prinsip kepercayaan agama? Bilakah ahli-ahli sains pernah disiksa dan diburu dalam pemerintahan Islam? Sejarah sendiri telah menyaksikan betapa ramainya tokoh-tokoh ilmu perubatan, ilmu astronomi, ilmu ukur, ilmu fizika dan ilmu kimia yang muncul di bawah naungan pemerintahan Islam. Mereka sebenarnya tidak pernah mengalami masalah pertembungan antara sains dan akidah. Begitu juga antara ahli sains dan pemerintah Islam. Tidak pernah berlaku sengketa dan pergaduhan sehingga membawa kepada tindakan pembakaran dan penyiksaan.

Apakah sebab yang telah mendorong golongan intelek Islam itu bertindak memisahkan agama dan sains, bertindak mencaci dan menyalahkan agama. Bahkan seruan mereka sama dengan lolongan dan teriakan orang yang mengidap demam panas. Sebabnya, tidak lain dan tidak bukan kerana mereka telah termakan racun penjajah tanpa disedari oleh mereka sendiri. Sebenarnya saya tidak maksudkan golongan intelek jenis ini ke dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini. Saya sedar mereka tidak akan pulang kepada kebenaran sehingga guru-guru yang menjadi ikutan mereka di Barat kembali kepada kebenaran. Itupun setelah mereka kecewa dengan tamadun mereka yang tidak percaya kepada Tuhan. Itupun setelah mereka menyedari bahawa tamadun yang tidak percayakan Tuhan itu bukanlah jalan yang selamat dan sejahtera. Ketika itu barulah mereka ingin kembali kepada satu sistem hidup yang mendokong kebendaan dan serentak dengan itu menjunjung prinsip rohaniah. Iaitu satu sistem yang merangkumi sistem berakidah dan kehidupan sekaligus.

Golongan yang ada di dalam perhitungan saya ketika menulis buku ini ialah golongan belia yang jujur, enlightened dan suka berfikir. Saya tujukan kepada golongan anak muda yang benar-benar mempunyai hasrat untuk mencari kebenaran. Tetapi mereka telah dihalangi oleh kefahaman yang mengelirukan mengenai Islam yang ditabur oleh penjajah. Kekeliruan yang tidak dapat ditolak oleh mereka. Ini kerana kuasa penjajah telah membutakan mata mereka dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kegelapan. Ini kerana hamba penjajah dan syaitan komunisme begitu hebat bekerja menyesatkan mereka sehingga mereka tidak dapat menemui jalan kebenaran, jalan kebebasan, kehormatan dan kebanggaan.

Kepada anak-anak muda yang jujur dan suka berfikir inilah saya persembahkan buku ini dan saya berharap semuga Allah memberi taufiq kepada saya dalam usaha saya menghapuskan kekeliruan yang berselerak dalam perjalanan mereka menuju kebenaran.

http://wanitaisma.net/v2/?p=6158

No comments: