Sunday, October 13, 2013

Siapa cakap jadi mak tu senang?

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد

sumber -um dcck



Dengarlah luahan hati ibu

SETELAH membaca kisah minggu lalu ''Kasih ibu membawa berkat'' dan sebelumnya, maka saya terpanggil untuk memberikan pandangan sebagai ibu. Kerana hanya ibu saja yang layak memberikan pandangan apabila ada perbalahan kurang enak timbul dalam kalangan anak-anak. Kerana kesannya melibatkan hilangnya kemesraan dan rasa hormat kepada ibu bapa.''
Itu pandangan Hajah Shimah ketika menghubungi penulis yang berakhir dengan perbualan panjang lebar antara kami baru-baru ini. ''Anak-anak ada pandangan mereka sendiri. Sebagai ibu kegagalan hubungan baik antara anak-anak boleh mengeruhkan keadaan dalam dan luar keluarga, yang melibatkan para menantu, besan-besan dan cucu-cucu. Akibat kesannya amat mendalam hingga boleh timbul rasa saling membenci.
''Untuk tidak membuang masa, elok saya berterus terang supaya anak-anak faham perasaan ibu mereka, jangan asyik memikirkan masalah mereka sahaja. Saya ada empat anak, sulung lelaki, kedua perempuan ketiga lelaki, keempat perempuan. Selang bunga kata orang tua. murah rezeki.
''Memang ada kebenarannya, murah rezeki saya dan anak-anak, mereka bekerja dan tiga orang sudah pun berkahwin, kecuali yang keempat masih sambung belajar. Memang mulanya semua baik tetapi keadaan berubah bila anak ketiga saya Emee berhenti kerja kerana syarikat melakukan buang pekerja. Ketika itu dia ada dua orang anak sementara pendapatan isterinya tidaklah banyak.
''Kerana kekangan kewangan Emee mula meminjam duit saya. Saya bantu, tetapi saya nasihatkan dia carilah kerja. Nak cari kerja bukan senang. Selepas enam bulan menganggur dia mengadu kereta nak kena tarik. Emee minta bantuan, supaya kereta tak ditarik. Sebab kalau kena tarik, macam mana isterinya nak pergi kerja dan macam nak hantar anak-anaknya ke rumah penjaga?
''Sebagai ibu saya bersimpati dengan keadaan hidup Emee. Akhirnya saya suruh dia pindah duduk rumah saya boleh saya bantu jaga anak-anaknya, dan dia boleh jimat tak perlu bayar penjaga anaknya. Tetapi kakak dan abangnya mula rasa tak senang hati. Mereka mempersoalkan kenapa saya kena jaga cucu. Mereka mahu Emee belajar hidup susah, jangan susahkan emak.
''Mereka juga mempersoalkan sejak kecil Emee suka menyusahkan hidup saya suka berbelanja besar dan sentiasa menagih duit saya dan ayahnya. Mereka sependapat mendakwa Emee malas bekerja, kerana malas belajar dia tak pandai akhirnya tak dapat kerja yang elok-elok untuk tampung kehidupannya. Mereka lupa rezeki dari Allah.
''Saya tak nafikan dakwaan mereka, tapi saya tak setuju seratus peratus. Sebab setandan pisang tak semuanya elok, dan ada yang kecil ada besar, sama seperti manusia. Ada antara anak kita pandai sekolah, ada juga yang bijak dalam bidang kemahiran lain.
''Memang Emee tak pandai sekolah seperti kakak dan abangnya. Tetapi Emee tempat saya minta bantuan betulkan pagar rumah yang nak roboh, tolong cat rumah, mesin rumput, betulkan reban ayam boleh dikatakan semua kerja-kerja kasar dalam dan luar rumah, saya tak perlu upah orang. Bila Emee tinggal dengan saya bertambah senang hidup saya. Tetapi mereka kata tak payah suruh Emee, upahkan saja orang lain. Emee buat kerja semua nak minta duit saya. Itu tuduhan mereka.
''Saya serba salah. Cakap memang senang, satu mentol lampu rosak nak panggil orang betulkan ke? Mahukah orang datang betulkan dengan upah sedikit? Pernah berlaku dua minggu ruang tamu rumah saya bergelap kerana orang tak datang betulkan lampu. Tapi lepas saya beritahu Emee, besok dia datang betulkan. Dia serba tahu, bukan seperti abangnya harap orang membantu.
''Sebagai emak kita tahu di mana kekurangan dan kelebihan anak-anak kita. Jadi kalau emak sayangkan anaknya bukan bermakna dia hanya pilih anak yang pandai sekolah dan bagi banyak duit sahaja, sebaliknya emak ambil kira cara anak melayan kehendak dan menawan hati kita yang anak-anak lain tak boleh lakukan seperti apa yang Emee buat.
''Sebagai contoh, kalau saya nak suruh abangnya mesin rumput, memang tak akan jadi, dia cuma tahu panggil dan upah orang mesin rumput. Atau bagi duit suruh saya upahkan orang. Sebaliknya Emee dia memang tak ada duit tapi dia ada tenaga dan tahu bagaimana nak mesin rumput. Bermakna kedua-dua mereka ada kelebihan tersendiri, hanya ibu tahu kelebihan anaknya.
''Tapi abangnya tak setuju, kalau suruh Emee tak perlu bagi upah sebab sebagai anak dia wajib tolong emaknya. Itu kata mereka. Memang betul, tapi salahkah kalau saya upahkan Emee ?
''Lebih penting, sejak Emee sekeluarga duduk dengan saya, saya rasa lebih selamat. Tapi kakak Emee kata kalau saya sunyi duduk di rumahnya, di bandar yang tak pernah sunyi. Masalahnya takkan saya nak tinggalkan rumah saya?
'' Sebab saya lebih selesa duduk di rumah sendiri, berbanding di rumah anak.
''Kata kakaknya lagi, kalau saya asyik melayan kerenah Emee dan anak-anaknya, maka saya akan cepat jatuh sakit sebab kena buat banyak kerja, memasak, berkemas rumah dan uruskan anak-anak Emee. Sebenarnya anak-anak Emee dah bersekolah mereka tau urus diri sendiri, tak perlu dibelai. Masak?! Kalau Emee tak duduk rumah saya pun saya tetap kena masak biarpun sedikit. Jadi tak banyak bezanya, saya tetap perlu ke dapur. Sama ada Emee tinggal dengan saya tau tidak.
''Saya pernah beritahu kakak Emee sebenarnya hati saya gembira bila Emee sekeluarga duduk di rumah saya. Saya terhibur, kerana ada tempat kalau nak berbual, nak berbincang, nak bercerita dan nak bergurau senda dengan cucu-cucu.
''Bab inilah yang mereka tak faham kenapa saya gembira tinggal ramai-ramai berbanding tinggal sendirian. Sebaliknya, mereka sindir Emee mereka kata Emee macam pokok api-api, berkembang biak dan hidup subur di pokok tumpang, bila pokok api-api merebak besar ia akan matikan pokok tumpang itu. Demikian anggapan buruk mereka terhadap Emee.
''Sedihnya bila Emee terus tinggal dengan saya sudah lebih dua tahun sekarang kedua kakak dan abang Emee mula kurangkan sumbangan mereka kepada saya setiap bulan.
''Namun saya bersyukur saya masih ada sedikit pencen kerajaan dari arwah suami saya. Bagaimana pun saya nasihatkan Emee supaya bekerja, tak kira kerja apa sekalipun asalkan halal. Kepada anak-anak di luar sana nasihat saya, emak tidak pernah membezakan kasih sayang kepada anak-anaknya, kerana ibu tahu menilai kebolehan, kemampuan setiap anaknya, dan setiap ibu mereka ingin membantu semua anak-anaknya.'' Demikian cerita Hajah Shimah panjang lebar.

No comments: