Wednesday, August 20, 2014

(Hadis Tidak Sahih Kelebihan Ayat Kursi Dalam Masyarakat)

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد




(Hadis Tidak Sahih Kelebihan Ayat Kursi Dalam Masyarakat)
Soalan : Adakah Sahih Hadis-Hadis Di Bawah?
1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi bila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dalam lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.
3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, dia akan masuk syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah disekitarnya.
4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap shalat fardhu, Allah SWT menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur, setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi2, serta Allah melimpahkan rahmat padanya.
5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang, Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid..
7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan niscaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.
[Jawapan] :
1. Hadis yang sahih menyebut Allah akan menghantar penjaga sewaktu kita tidur tanpa menyebut dua malaikat.
2. Daif. Ia dihukum daif oleh Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Nataij al-Afkar (jld. 2, hlm.296) kerana terdapat seorang perawi bernama Hafs bin Umar al-Raqasyi yang tidak dikenali. Cuma terdapat riwayat lain yang bertaraf hasan tentang kelebihan membaca ayat Kursi selepas solat. Ia dihukum hasan oleh Syeikh al-Huweini dan Syeikh Syarif Hatim al-Auni.
3. Hadis palsu kerana terdapat perawi yang bernama Nahsyal dan Habbah al-'Urani. Beliau adalah pendusta. Dihukum palsu oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Maudhu'at al-Kubra (jld. 1, hlm. 243) dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah (hlm. 298).
4. Ibn al-Jauzi menghukum hadis ini sebagai palsu kerana hadis ini sanadnya terdapat perawi-perawi yang tidak dikenali dan terdapat seorang pencuri sanad yang mencuri hadis ini dari sanad yang palsu. (Lihat: al-Maudhuat al-Kubra, jld. 1, hlm. 243-244) Tanda hadis palsu jelas pada hadis ini kerana seseorang tidak akan dapat menandingi pahala seorang nabi pun dalam ibadat. Bagaimana mungkin dia boleh menandingi pahala para nabi? Kata Ibn al-Qayyim ketika mengkritik hadis yang menyatakan sesiapa solat Dhuha dapat pahala 70 orang nabi:
وكأن هذا الكذاب الخبيث لم يعلم أن غير النبي لو صلى عمر نوح عليه السلام لم يعط ثواب نبي واحد
Maksudnya: Seolah-olah pendusta yang keji ini (iaitu pencipta hadis palsu) tidak tahu bahawa seseorang selain nabi jika solat selama umur Nabi Nuh sekalipun TIDAK AKAN DIGANJARI DENGAN PAHALA SEORANG NABI. (Lihat: al-Manar al-Munif, hlm. 50)
5. Saya tidak menjumpai asal untuk hadis ini, ia juga tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis. Saya mempunyai kecenderungan yang kuat untuk menyatakan bahawa ia palsu.
6. Hadis riwayat Ibn al-Sunni dan al-Hakim al-Tirmizi dan ia daif kerana sebab berikut:
i. Ia didaifkan oleh al-Muttaqi al-Hindi dalam Kanz al-'Ummal (jld. 1, hlm. 893)) kerana sanadnya Mu'dhal (terputus)
ii. Seorang perawi bernama Abu al-Taqi dan beliau daif.
iii. Daud bin Ibrahim al-Zuhli tidak dikenali.
iii. Ismail bin Ayyasy. Beliau daif jika meriwayatkan hadis dari guru selain orang-orang Syam. (Lihat: al-Silsilah al-Sahihah, jld. 2, hlm. 663)
7. Saya tidak menjumpai asal hadis ini dengan lafaz tersebut. Sebaliknya Ibn al-Sunni meriwayatkan hadis dengan lafaz yang hampir serupa dalam kitabnya 'Amal al-Yaum wa al-Lailah (no hadis: 344):
حدثني جعفر بن أحمد بن بهمرد ثنا معمر بن سهل ثنا عامر بن مدرك ثنا خلاد عن أبي حمزة عن زياد بن علاقة عن أبي قتادة الأنصاري رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: من قرأ آية الكرسي وخواتيم سورة البقرة عند الكرب أعانه الله عز وجل
Maksudnya: Sesiapa yang membaca ayat Kursi dan penutup bagi surah al-Baqarah sewaktu kesusahan/kesedihan maka Allah akan memberinya bantuan.
Hadis ini daif. Ia dihukum daif oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Nataij al-Afkar (jld. 4, hlm. 90) kerana 2 sebab:
1. Ziyad bin 'Ilaqah tidak pernah mendengar apa-apa hadis dari Abu Qatadah. Maka sanad hadis ini terputus.
2. Dalam sanad ini terdapat perawi yang tidak dikenali. Cuma Ibn Hajar tidak mejelaskan siapa perawi tersebut.
Saya mendapati guru kepada Ibn al-Sunni iaitu Jaafar bin Ahmad ini yang dimaksudkan oleh Ibn Hajar. Juga terdapat sebab yang ketiga iaitu Amir bin Mudrik merupakan perawi daif.
Kesimpulannya hadis ini daif. Cuma jika seseorang membaca al-Quran kemudian bertawassul dengannya dalam kesusahan supaya Allah memberi pertolongan kepadanya ia tidak menjadi kesalahan kerana bertawassul dengan amal soleh adalah perkara yang dibenarkan oleh Syara'.
Wallahua'lam
19 Ogos 2014
Sweileh, Jordan
p/s :Walaubagaimanapun tidak dinafikan ada hadis sahih tentang kelebihan ayat kursi.

No comments: