Sunday, February 22, 2015

6 SEBAB KENAPA MANUSIA LAMBATKAN TAUBAT!

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Setiap manusia dalam kehidupan pernah bersalah dan melakukan kesalahan. Kata bijak pandai mengatakan bahawa orang yang baik adalah bukan orang yang tak pernah bersalah, kerana tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan, akan tetapi orang yang baik adalah orang yang belajar dari kesalahan serta segera bertaubat di atas kesalahannya dan tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut pada masa yang akan datang. Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an Surah An-Nisa', ayat 17:
إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِن قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
"Sesungguhnya penerimaan taubat itu hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Dalam kehidupan seharian kita, ramai manusia yang masih lagi melambatkan dan melengahkan taubat kepada Allah SWT, padahal pelaksanaan taubat itu wajib di segerakan. Adapun faktor yang menyebabkan manusia suka melambatkan taubat kepada Allah SWT di antaranya adalah:
1. Menganggap Bahawa Allah SWT Maha Pengampun Dan Luas RahmatNya.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Pengampun Dosa-dosa hambaNya. Maka Ramai orang beranggapan bahawasanya rahmat dan kasih sayang Allah akan dapat mengampunkan dosa hambaNya. Maka dosa yang kita lakukan dapat diampunkan Allah walau apa sekalipun. Itu anggapan yang salah. Allah Maha Pengampun bukan sebab kita suka-suka berbuat dosa.
2. Nafsu Dan Syahwat Manusia Yang melekakan.
Manusia suka Melambatkan taubat kepada Allah SWT, kerana ramai yang memperturutkan hawa nafsu dan syahwat yang akhirnya nafsu dan syahwat manusia tersebut akan melalaikan diri daripada taubat kepada Allah SWT.
3. Tertipu Dengan Angan-angan Dan Harapan serta Tamak Terhadap Harta Benda.
Angan-angan dan harapan manusia serta kemewahan dunia menjadikan manusia tertipu dengan panjangnya angan-angan. Keinginan manusia untuk kaya raya, besarnya pangkat dan kedudukan serta Keinginan untuk menumpuk harta benda. Menjadikan manusia lupa untuk bertaubat kepada Allah SWT.
4. Perbuatan Dosa Dan Maksiat.
Kehidupan manusia yang selalu melakukan perbuatan dosa dan maksiat serta kemungkaran kepada Allah SWT menjadikan seseorang lalai untuk bertaubat kepada Allah SWT. Padahal semua apa yang dilakukannya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti pada hari kiamat.
5. Kelalaian Dan Kejahilan.
Kejahilan manusia dalam memahami hukum hakam Allah SWT menjadikan manusia tertipu dengan kejahilan tersebut yang seolah-olahnya diri tidak pernah melakukan dosa dan maksiat . Dan menganggap diri bersih dari dosa-dosa dalam kehidupannya.
6. Suka Memperkecilkan Dan Meremehkan Dosa.
Manusia yang melakukan dosa sukar untuk bertaubat kepada Allah SWT, kerana menganggap dosa-dosa yang dilakukannya hanya dosa kecil sahaja, akhirnya manusia merasa dosa kecil yang dilakukan mudah untuk bertaubat kepada Allah SWT.
Ya Allah janganlah Engkau sibukkan diri kami dan lalaikan kami dengan dunia dan segala isinya. Sehinggakan melupakan dosa dan kesalahan kami kepadaMu. Berikan kepada kami jalan petunjuk kebenaran. Mudah-mudahan kami menjadi hambaMu yang beriman dan bertaqwa. Aamiinn !!!!
Wallahu A'lam.

No comments: