Berkata Imam Ibnul Qayyim Rhm, “Sesungguhnya cinta dunia itu adalah punca segala kesalahan dan kerosakan kepada agama. Ia berlaku dari beberapa sudut pandang.”
a. Mencintai dunia membawa maksud mengutamakan dunia dari tuntutan Allah SWT sedangkan dunia itu adalah hina di sisi Allah SWT. Di antara sebesar-besar dosa adalah mengutamakan apa yang dihina oleh Allah SWT
b. Sesungguhnya dunia itu dilaknat oleh Allah SWT melainkan mereka yang menggunakannya untuk mengingati Allah. Sesiapa yang suka apa dilaknat oleh Allah SWT, ia akan terdedah kepada fitnah dunia dan laknatnya
c. Apabila mencintai sesuatu, perkara tersebut akan menjadi matlamatnya. Dia akan menggunakan apa jua wasilah untuk mencapainya sedangkan kurniaan Allah SWT, sepatutnya digunakan untuk buat pahala.
d. Sesiapa yang mencintai makhluk, dia akan bekerja (berkorban) untuk mendapatkan redhanya. Ini bermakna, ia mengosongkan hatinya untuk Allah SWT dan mengisinya dengan cinta makhluk.
e. Mereka yang mencintai dunia, akan diazab dengan tiga azab yang dahsyat. Pertama diazab dengan berpenat-penat, bersusah-hati dan bergaduh untuk mendapatkannya. Kedua, diazab di dalam kubur kerana kezaliman yang telah dilakukan ketika di dunia. Ketiga, diazab di neraka.
f. Cinta dunia membuatkan pelakunya menjadi leka, berangan, bermimpi, tidak sedar diri. Menjual negeri nikmat kekal abadi dengan mendapatkan negeri sementara yang nikmatnya adalah fatamorgana sahaja.
Maksud laknat di dalam bahasa arab ialah *dihalau dan dijauhkan daripada kebaikan.* Maknanya Allah SWT jadikan hidupnya tidak dapat membuat pahala walaupun zahirnya seperti orang yang baik. Inilah adalah kerana hati tidak ikhlas membuat amal soleh kerana Allah... Amal amal baik yang dia lakukan adalah *kerana mahu mendapatkan habuan keduniaan.*
Tiada jalan untuk menghayati makna-makna ikhlas (hablum minanallah dan hablum minannas) kecuali dengan mentadabburkan Al-Quran dan sentiasa 'dekat' dengan Al-Quran
Oleh itu dekatkan dirimu kepada Allah (melalui Al-Quran), nescaya hatimu kamu akan jauh daripada dunia.
Orang yang hatinya dekat kepada dunia, hatinya akan ditimpa dengan kerunsingan. Dunia itu juga akan menipunya kerana Allah SWT telah berfirman
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
.
No comments:
Post a Comment