Kuliah Ustaz Syaari Ab Rahman dari Tadabbur Centre
Surah Al-Musabbihat, surah yang dimulakan dengan tasbih. Ada 7 surah-surah Al-Musabbihat di dalam Al-Quran; Al-Isra' (17), Al-Hadid (57), Al-Hasyr (59), Al-Saff (61), Al-Jumuah (62), Al-Taghabun (64) dan Al-A'la (87).
Dengan situasi sekarang, dapat dilihat ramai yang semakin cakna dengan Filistin. Ada laungan-laungan yang kita semakin familiar antaranya " Khaibar Khaibar Ya Yahud, Jaysu Muhammad Saufa Ya'ud" yang sebenarnya menjadi laungan semangat bagi mereka di sana. Khaibar yang menjadi kubu akhir Yahudi yang akhirnya ditumpaskan oleh tentera muslimin. Sikap Yahudi yang suka membuat kacau dan memecahbelahkan telah bermula sejak sekian lama, di zaman Rasulullah lihatlah bagaimana perangai Yahudi Bani Qainuqa, Bani Nadhir, Bani Khuraizah ini hingga akhirnya mereka diusir keluar oleh Rasulullah SAW dari Madinah, dan mereka lari ke Khaibar. "Tentera Muhammad akan datang". Ya ini yang diyakini yang membuatkan mereka tetap teguh berjuang. Akan datang pasti tiba kemunculan tentera-tentera yang benar-benar beriman, yang benar mengikut spesifikasi seperti apa yang diterangkan di dalam Surah Muhammad berjuang dan membawa kemenangan buat Filistin.
"From the river to the sea, Palestine will be free!" Dari Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean, itulah wilayah Filistin. Dan pasti Islam akan menguasai sepenuhnya suatu hari nanti. Ambik tahu peta asal negara ini, bukan apa yang dipersembahkan sekarang. Ajarkan kepada anak-anak dalam membina semangat dan jati diri dalam diri mereka untuk berjuang bersama.
Dan akhirnya ungkapan paling agung "Allahuakbar!" Tiap kali melaungkannya, perbetulkanlah niat kita dalam memperjuangkan Filistin. Ini bukan perjuangan bermusim, bukan sekadar menyambut sekali setahun saat isra' mikraj atau apabila berlakunya sesuatu di sana, ini adalah perjuangan panjang buat kita. Perjuangan untuk mengembalikan kawasan solat di mana Nabi mengangkat takbir bersama roh para anbiya.
Allahuakbar!
====================================
Surah-surah Al-Musabbihat dimulakan dengan tasbih. Tasbih dari kata akar 'sabaha' ุณุจุญ membawa maksud bergerak menjauhi satu titik, yang membawa maksud menjauhkan Allah dari sebarang kekurangan.
Surah-surah ini diturunkan saat Nabi menghadapi musibah dalam sesuatu peristiwa.
Al-Isra' - menghadapi kesedihan, tahun dukacita
Al-Hadid - selepas para sahabat berhijrah, menghadapi kesukitan memulakan kehidupan di tempat baru
Al-Hasyr - ketakutan menggempur kubu Bani Nadhir
Al-Saff - selepas tragedi berdarah Uhud, memikirkan bagaimana nasib orang Islam
Al-Jumuah - saat Nabi berkhitbah ada yang yang meninggalkan untuk urusan jual beli
Al-Taghabun - Isteri-isteri (sahabiah) yang telah berhijrah teringat akan suami yang masih kafir di Makkah
Al-A'la - penentangan dasyat kepada Nabi di Makkah
Kesemua surah ini menceritakan musibah-musibah yang berlaku, dan setiap surah ini dimulakan dengan tasbih. Ini mengajar kita saat-saat menghadapi musibah, perbanyakkan bertasbih untuk kita menjauhkan Allah dari sebarang sifat kekurangan, untuk kita terus kekal bersangka baik pada Allah.
Ambil contoh kisah Nabi-Nabi di dalam Al-Quran yang menjadi model Nabi yang banyak bertasbih.
Nabi Harun – (Surah Taha,20: 29-34) Nabi Musa perlukan Nabi Harun untuk membantu menyokongnya dalam usaha dakwah kepada Firaun, agar Nabi Musa bertenang hadapi Firaun, tidak gopoh. Tenangkan saudaranya dengan percaya Allah ada rencana terbaik walaupun musuh di depan mata.
Nabi Daud (Surah Sad,38:17-20)– tidak tinggalkan tasbih bersama gunung dan burung. Nabi Daud pemerintah Filistin. Untuk kembalikan Filistin ke tangan orang soleh seperti Nabi Daud, perlu ada 2 unsur; tasbih dan besi.
Nabi Yunus (Al-Anbiya’,21:87) – zikir di dalam perut ikan. Kesilapan atas kezaliman diri sendiri, bukan menyalahkan Allah. Tidak berkata buruk tentang tuhan. Perbanyakkan tasbih, akan datangkan kemenangan- kaumnya beriman
Nabi Zakaria (Maryam, 19:4, Al-Anbiya’,21:89-90) – Penantian yang panjang untuk mendapat rezeki. Rezeki Anak. Begitulah dengan Filistin, perjuangan ini panjang, sudah 75 tahun sejak 1948 tapi belum ada tanda-tanda kemenangan. Namun jangan sekali-kali kita mengatakan Allah tidak mendengar doa kita semua. Jangan berkata buruk pada Allah apabila musibah melanda.
Kepelbagaian kata tasbih dari 7 surah ini, dimulai dengan masdar (subhana) surah Al-Isra', fiil madhi (sabbaha) surah Al-Hadid - Al-Saff, fiil mudhori' (yusabbihu) Al-Jumuah- Al-Taghabun dan fiil amar (sabbih) surah Al-A'la
Telah bertasbih – sedang bertasbih – akan bertasbih – bertasbihlah
mengajak kita untuk merasakan setiap saat 24 jam yang ada untuk kita mengucapkan tasbih, yang bukan sekadar di lidah tetapi cara kita berfikir dan bagaimana kita melihat kehidupan ini dalam mengesakan Allah dan menjauhkanNya dari segala kekurangan. Jangan sekali-kali bersangka buruk pada saat ketika susah, ketika senang, ketika sakit, ketika sihat, ketika dalam apa jua keadaan.
=======================================
Dengan apa yang berlaku di Filistin, Ghazzah terutamanya sekarang, Al-Quran sentiasa tersedia untuk kita memahami apa yang telah Allah sampaikan di dalam Al-Quran dan melihat setiap peristiwa yang telah terhidang di hadapan kita untuk kita renung, hayati, aplikasi dan jadikan ia pelan bertindak untuk diri kita sendiri terutamanya.
➡️ SURAH AL-ISRA’ – KEJELASAN WAWASAN
- ketua kepada Surah Al-Musabbihat. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan surah Bani Israil ini ( dan Surah Az-Zumar) setiap malam.
- Di dalam surah ini ada senarai semak yang mesti diberi perhatian oleh pemimpin kerajaan Madinah (Nabi SAW). Terkandung apa yang mesti dilakukan untuk ummat, apa yang sudah dibuat, apa yang belum dibuat. Ke mana hala tuju untuk dibawa kepada ummat. ( antaranya berbuat baik kepada ibu bapa, jangan berjalan dengan sombong di muka bumi, tahajjud, quran sebagai syifa).
- Peristiwa isra’ dan mikraj – pertengahan usia kenabian. Surah Al-Isra’- pertengahan mushaf.
- Berlaku perpindahan – dari titik lemah kepada kuat, hina kepada mulia.
- Kenapa disebut masjidil haram sedangkan sudah tahu Nabi SAW sememangnya dari Makkah, dan ke destinasi yang dituju Masjidil Aqsa?
- Allah sedang berbicara tentang WAWASAN untuk memerdekakan dua tanah suci itu. Saat berlakunya peristiwa isra’ mikraj, Masjidil Haram belum lagi benar-benar menjadi masjid sentiasa diganggu oleh musyrikin. Lihat pula Masjidil Aqsa sekarang, adanya persamaan situasi yang dihadapi ( sejak zaman Nabi lagi sehinggalah Sayyidina Umar membuka Baitul Maqdis)
- Di dalam hadith sahih, dalam perjalanan Isra’ Nabi SAW ada berhenti di Taibah (Madinah) – wawasan untuk memerdekakan 2 masjid yang dicemari oleh syirik dari Madinah.
- Penyebutan Masjidil Haram adalah wawasan untuk membuka Makkah, membebaskan dari ratusan berhala dan bebas dari Quraisy yang merasakan merekalah keturunan Ibrahim yang layak menjaga tanah. Begitulah juga yahudi yang berasakan merekalah yang layak menjaga tanah Filistin asbab dari keturunan hebat mereka. 8H Makkah telah merdeka.
- ‘ila’ membawa pengertian yang jauh. ‘Aqsa’ yang amat jauh. Bila jauh kita rasakan mustahil untuk sampai. Tapi tidak bagi Allah. Walaupun jauh, teguhkan tasbih. Jangan sekali-kali merasakan Allah tidak mampu membantu, kerana pertolongan Allah itu sangat dekat.
- Saat Nabi sampai di Masjidil Aqsa, tiada kompleks kerana telah dimusnahkan oleh kerajaan Rom yang menghalang rumah-rumah ibadat yang berpandukan ajaran para anbiya’.
- Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa adalah wawasan. Ia belum dibuka saat Nabi SAW melalui peritiwa Isra’ Mikraj, dan pasti dengan pertolongan Allah ia akan merdeka.
- Ketibaan Nabi SAW adalah untuk kita umat waktu ini meyakini jika kita ikut Nabi sehingga Nabi mampu membebaskan Masjidil Haram, begitu jugalah Allah akan bantu bebaskan Masjidil Aqsa dari penjajahan.
- Ayat 4- Bani Israil akan membuat 2 kerosakan. Kerosakan pertama kaitan dengan masjid pertama, Masjidil Haram. Kerosakan kedua masjid kedua.
- Ayat 5- kerosakan pertama belum terjadi sewaktu Nabi SAW menerima Surah Al-Isra’
- Ayat 6 – menurut ulama kontemporari, situasi kerosakan itu sedang berlaku sekarang. Bani Israil diberi pelbagai kelebihan, umat Nabi SAW jatuh ke bawah. Mereka mendapat kekuasaan, ekonomi, military dan disokong negara-negara sekutu.
- Ayat 7- berita gembira untuk kerosakan kedua.
- Ingat pengajaran dari surah Al-Kahfi, Nabi Musa tak berjaya, tetapi kemenangan datang sewaktu Nabi Yusha’. Ramai pejuang-pejuang Filistin yang tidak sempat melihat kemenangan, binalah seramainya Yusha’, lahirkan seramai pemuda-pemuda yang beriman yang akhir nanti akan bangun untuk memberikan kemenangan buat Filistin.
- Key point- KEJELASAN WAWASAN ; gambaran besar, visi yang jelas, senarai semak pelan bertindak
➡️ SURAH AL-HADID – KEMAJUAN SAINS DAN TEKNOLOGI
- Al-Hadid = Besi. Unsur dalam tanah. Perlu explore untuk dapatkan manfaatnya.
- Cungkil apa sahaja bakat, kemahiran, kepakaran yang ada dan infaqkan fisabilillah.
- Jangan bakhil – tema surah ini.
- Umat kini perlu ada kemajuan sains dan teknologi, raikan para saintis, gembeleng tenaga professional
➡️ SURAH AL-HASYR – KETAKUTAN PIHAK MUSUH
- Surah yang berakhir dengan paling banyak nama Allah. Orang mukmin apabila sebut nama Allah, akan rasa takut dan tunduk serta taqwa. Orang mukmin apabila baca Quran, bukan sekadar baca tetapi akan tadabburi, juga akan alami yang sama.
- Kisah ketakutan Yahudi Bani Nadhir yang dikumpulkan, takut akan menerima hukuman dari Nabi SAW.
- Allah campak ketakutan kepada pihak musuh
- Orang mukmin tidak takut kepada mati, kerana nampak apa yang orang tiada Allah dalam hidupnya tidak nampak.
- Yahudi sejak dulu dan sampai bila-bila adalah kaum yang pengecut dan sangat takut, hati mereka berpecah-belah.
- Nabi tebang pokok yang diperlukan oleh Bani Nadhir untuk timbulkan ketakutan kepada mereka.
➡️ SURAH AL-SAFF – KETAATAN & KETENTERAAN
- Nabi Musa sedih dengan Bani Israil (Ayat 5) (kisah ini dihuraikan dalam surah Al-Maidah ayat 20-26 ketika Nabi Musa nak memasuki dan membebaskan Filistin dari jababirah)
- Bani Israil membesarkan agenda musuh, takut dan pengecut.
- Tiada ketaatan dari Bani Israil- Tema Surah : KETAATAN
- Surah berakhir dengan kisah hawariyyun yang menyatakan ketaatan kepada Nabi Isa (ayat 14)
- Ketenteraan: paling susah untuk taat apabila diarah ke medan perang.
- Surah ini turun selepas Perang Uhud. Tidak taat kepada arahan Nabi SAW yang membawa kepada kekalahan.
➡️ SURAH AL-JUMUAH – KOMITMEN KEPADA AGAMA DAN TEGURAN PARA ULAMA
- Surah Al-Jumuah selepas Surah Al-Saff. Jika benar-benar memelihara saf, umat akan kekal bersama tidak akan berpisah.
- Al-Jumuah: perhimpunan. Tidak boleh dipisahkan dengan Al-Saff. Umat tidak boleh dicerai-beraikan
- Kisah tentang Nabi SAW berkhutbah. Pentingnya khutbah hingga menggantikan 2 rakaat zuhur. Khutbah: amar maaruf nahi mungkar
- Untuk bebaskan Filistin, perlu adanya tegur menegur. Para ulama menjalankan tugas, khatib mainkan peranan sewaktu khutbah
- Nabi Daud dan Nabi Isa laknat Bani Israil yang kafir kerana meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar.
- Duduk dalam majlis orang-orang soleh
➡️ SURAH AL-TAGHABUN – KEYAKINAN KEPADA HARI PEMBALASAN
- Kata akar ‘ghabana’ – sesuatu yang disangka kecil, rupanya besar. Disangka murah, rupanya mahal.
- Ramai yang menyangka apa yang dibuat di dunia itu murah, tetapi rupanya di akhirat mahal
- Taghabun- hari diperlihatkan segala dosa. Perkara yang disangka kecil menjadi besar di sisi Allah.
- Surah akhir tasbih Madaniah
- Keyakinan kepada hari pembalasan ; supayan dalam peperangan tidak akan berperang atas nama balas dendam. Memafkan dan menyerahkan kepada Tuhan, tidak mampu dibuat melainkan dengan adanya keyakinan kepada hari pembalasan.
- Kekuatan mereka di Filistin sekarang, ada hari pembalasan. Yang melakukan kekejaman takkan terlepas dari hukuman Allah.
- Ayat 13- kepada Allah jualah orang-orang beriman berserah diri.
➡️ SURAH AL-A’LA – KERJA DAKWAH
- Surah Al-Musabbihat bermula dengan Bani Israil melakukan kerosakan. ‘’uluwwan kabira’- sombong, nak jadi tuhan, tentukan siapa yang boleh hidup siapa yang boleh mati.
- Yang berlagak tuhan akan dihancurkan oleh Yang Maha Tinggi; Al-A’la
- Tema: Bila Allah sudah bagi kemenangan, jangan tinggalkan tujuan sebenar kemenangan iaitu untuk menjalankan KERJA DAKWAH.
- Selamatkan mereka dengan hujjah, dakwah
- Ayat 19; suhufi Ibrahim wa musa- Ibrahim Berjaya memecahkan berhala, sudahkah kita menjalankan kerja untuk menghancurkan kepercayaan manusia kepada tuhan-tuhan selain Allah?
- Musa : berhala bukan hanya patung, ada berhala dalam tubuh iaitu hawa nafsu. Sudahkah kita menjalankan kerja menghancurkan tuhan hawa nafsu yang menjadi tuhan dalam diri?
=======================================
7 surah ini, moga kita dapat hadam dan jadikan panduan untuk muhasabah diri, dan jadikan sebagai checklist dalam pelan tindakan. Nak dapatkan kemenangan ia bukan satu jalan yang mudah. Namun, ia tidak mustahil kerana semuanya telah tersedia di dalam Al-Quran. Tinggal sahaja kita untuk laksanakan. Ia bukan tentang siapa-siapa, ia tentang diri kita sendiri. Usaha untuk jadi yang lebih baik, didik anak-anak sehabis baik berpandu acuan Al-Quran dan Sunnah, umat akan kembali kuat, kemenangan pasti akan tiba. Untuk para ibu, ayuh kita mengambil semangat Ummu Nidal (Khansa’ Filistin), ambik semangat Al-Khansa’ Binti Amr. Bagaimana teguhnya mereka membimbing anak-anak hingga akhirnya semua syahid di jalan Allah.
Jadikan apa yang sedang terjadi di sana sebagai pengajaran. Hatta yang bukan muslim pun kagum dengan kekuatan penduduk di sana. Mereka tertanya-tanya formula apa yang digunapakai oleh mereka di sana sehingga mereka tetap teguh berada di tanah itu dan terus berjuang. Sungguh, jika dilihat di satu sudut, bukan mereka yang patut dikasihani, tapi kasihanlah pada diri kita sendiri. Mereka telah bersedia, bila-bila masa bersedia untuk syahid dan menghadap Allah, tetapi kita? Yang bukan islam semakin terbuka mata dan hati untuk membuka Al-Quran, kita sepatutnya lebih lagi memahami apa yang sampaikan kepada kita sebagai panduan menjalani kehidupan, tidak terbuai dan leka dengan nikmat dunia yang ghurur.
Lahawlawala quwwata illa billah
Hasbunallah wa nikmal wakil
No comments:
Post a Comment