Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah telah menceritakan kisah yang ajaib mengenai kisah keislaman seorang lelaki daripada Bani Sulaim yang bernama "Rashid".
Marilah kita sama-sama membaca kisah ajaib tersebut di samping berkenalan dengan tokoh sahabat yang mungkin agak jarang dikenali.
Ghawi bin 'Abdil 'Uzza al-Sulami adalah nama asal (sebelum ditukar oleh Nabi ﷺ) kepada salah seorang sahabat daripada Bani Sulaim. Sebelum memeluk Islam, Ghawi mempunyai sebuah berhala untuk disembah sebagaimana yang tersebar luas di kalangan bangsa Arab di zaman itu.
Pada suatu hari, Ghawi melihat dua ekor musang sedang kencing di atas kepala berhala yang disembahnya itu. Kejadian itu ternyata memberi kesan yang besar kepada Ghawi.
Beliau pun spontan bersenandung:
أرب يبول الثعلبان برأسه ** لقد ذل من بالت عليه الثعالب
“Adakah tuhan itu (sesuatu) yang kepalanya dikencing oleh musang? ** Sungguh, memang hina sesuatu yang telah dikencing oleh musang.”
(Ungkapan ini kemudiannya menjadi permisalan bagi orang Arab untuk menggambarkan seseorang yang hina dan rendah martabatnya)
Lalu Ghawi bertindak mematahkan dan menghancurkan berhala yang disembahnya selama ini.
Kemudian beliau datang kepada Nabi ﷺ dan memeluk Islam di hadapan baginda.
Baginda bertanya kepada Ghawi: “Siapa namamu?”
“Namaku Ghawi bin 'Abdil Uzza.”
“Bahkan kamu ialah Rashid bin 'Abd Rabbih,” kata baginda.
Antara kebiasaan Nabi ﷺ, baginda akan menukar nama yang mempunyai maksud tidak baik kepada nama yang lebih elok dan bermaksud baik. Maka kisah ini adalah salah satunya.
Rashid bin 'Abd Rabbih kemudiannya lebih dikenali dengan nama yang diberikan oleh Nabi ﷺ kepadanya. Rashid dan kaumnya, Bani Sulaim telah turut serta dalam Fath Makkah dan perang-perang seterusnya bersama Nabi ﷺ.
[Admin Ibn Hisham]
No comments:
Post a Comment