Friday, August 1, 2025

PENGECUTNYA LELAKI SELINGKUH by ustaz ?(lupa)


Apa yang ada dalam hati lelaki jenis ini? Usia sudah menjangkau senja tetapi masih galak berhubung dengan isteri orang  melalui medsos. Bukan seorang, kekadang ramai wanita pada satu masa. 

Alasannya: untuk mengikat tali persahabatan. 

Lelaki senja ini  masih punya banyak waktu untuk perkara yang tidak ada faedahnya, bahkan berdosa. Bercakap, bergurau, bertanya itu dan ini kepada wanita yang telah bersuami bukan soal picisan.  

Bukan ada hal penting pun. Kononnya, hanya untuk berhubung semula dengan bekas kawan wanita di IPT, Sekolah Menengah,  sekolah rendah dahulu. Itu permulaannya sahaja. 

Mereka lupa ada ulama yang menyatakan makruh hukumnya bila usia melampaui 40 tahun tetapi bercakap banyak bercakap tentang dunia berbanding akhirat. 

Malah Imam Ghazali RHM menulis dalam kitabnya, Ya Ayyuhal Walad, "Siapa yang telah berumur 40 tahun sedangkan kejahatannya masih mengatasi kebaikannya, bersedialah masuk neraka." 

Mengapa? 

Justeru usia 40 tahun manusia sudah sampai puncak kematangan akal, perasaan dan fizikalnya. Seharusnya, ketika itu gambaran tentang hidup setelah mati sudah ada di ruang mata hatinya. 

Dia matang tentang soal akidah, syariat dan akhlak.

Lelaki-lelaki yang masih 'merenyeh' (loghat utara) dengan perempuan-perempuan isteri orang ini seolah-olah masih punya banyak masa untuk perkara dosa dan maksiat.

Apa jerat perasaannya mengena, mulalah lelaki ini 'mengayat' wanita-wanita yang  kurang menjaga maruah diri dan suaminya. Maka bermulalah siri 'chatting' yang akhirnya melanggar batas syarak.

Lelaki itulah sebenarnya menjadi 'Penthakbib' yakni mengacau keharmonian rumah tangga saudara muslimnya. 

Lelaki ini licik memainkan perasaan wanita dengan sifat 'caring',  cerita kejayaannya dan lain-lain kemahirannya. Dia rasa bangga dapat mencairkan hati isteri orang agar keluar daripada penjagaan suami sahnya. 

Dia lupa Rasulullah SAW telah bersabda, "Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami.."
Hadis riwayat Abu Daud (5170).

Perbuatan berhubung dengan wanita (secara bersemuka atau media sosial) yang telah bersuami tanpa keperluan, bergurau, memuji dan bertanyakan soal-soal peribadi agar terbentuk hubungan emosi adalah haram. 

Anehnya, apabila lelaki itu ditanya, apakah isterinya yang sah tidak marah?  

Dengan bersahaja dia menjawab, "isteri saya tahu tentang ini. Dia sporting orangnya." 

Sekalipun jika benar isterinya tidak marah, apakah suami wanita yang dihubungi siang malam itu juga tidak marah? 

Apakah dia tidak sedar perbuatannya itu boleh menghilangkan kepercayaan dalam rumah tangga orang lain?

Tanpa pertimbangan syariat dan adab (jika benar dia jahil agama)  sekalipun, hanya  dengan  pertimbangan hati nurani, tentu fitrah lelaki itu terdetik, "perbuatan aku ini tidak patut."

Dan apakah benar isteri lelaki tersebut tidak marah? Atau itu semua alasan sahaja. Apakah isterinya membaca setiap isi chatting antara suaminya dengan isteri orang yang 'dikacaunya' itu?

Apabila ada pihak menegur perbuatannya, tanpa rasa bersalah dia menjawab, "Saya hanya menghubunginya atas dasar kawan lama." 

Apabila ditanya lagi, "apakah dia tidak ada rasa bersalah kepada suami wanita isteri orang itu?" 

"Yang isterinya melayan sebab apa?" Jawabnya separuh menyindir. 

Ya, ada kebenarannya juga. Jika isteri orang itu tidak sama-sama 'gedik' dan lupa daratan, tentu dia menolaknya ajakan lelaki ajnabi untuk berhubung dalam hal bukan keperluan.  

Apabila diingatkan bahawa perbuatannya itu adalah berdosa, lelaki itu menjawab, "Bukannya kami bercinta pun. Berzina jauh sekali" 

Takhbib ini berlaku dalam bentuk yang sangat halus, seolah-olah hanya memberi “nasihat”, atau “mendengar luahan”. Tapi tujuannya tersirat dan kesan tidak langsungnya  boleh  mengikis  kepercayaan antara suami isteri. 

Sang isteri tanpa sedar telah,  bukan sahaja memasukkan 'orang tidak disukai oleh suami' ke dalam rumah' (seperti pesan Rasulullah SAW) malah memasukkan lelaki itu ke dalam emosi dan hatinya. Ini lebih parah. 

Perbuatan ini sangat dilarang syarak. 

Kita perlu sedar bahawa mengkhianati rumahtangga orang lain bukan sekadar melukai hati manusia, tetapi melanggar batas yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Al hasil, lelaki suami orang dan wanita isteri  orang itu bukan sahaja jahil tetapi degil bila diberitahu bahawa perbuatan mereka boleh 'menghampiri zina'. 

Bila diberitahu tentang hukumnya dalam Islam  dia tetap berpegang kepada alasan, hubungan itu hanya setakat bersahabat.Tidak salah. Bermati-matian mereka mempertahankannya.  

Pada hal sesiapa yang terlibat dalam takhbib, sama ada dengan niat memiliki pasangan orang, atau sekadar menimbulkan perasaan curiga sebenarnya sedang bermain dengan api dosa yang membawa kemurkaan Allah SWT. 

Ia bukan sekadar soal perasaan sahaja,  tetapi ini melibatkan amanah, maruah dan kesucian keturunan. 

Lebih parah lagi ada lelaki yang telah menjangkau usia 60 tahun pun turut1 terlibat. 

Dalam usia mencecah 'masa kecederaan' itupun dia masih 'bersemangat'  mencederakan imannya dan iman orang lain.

Hadis mengenai usia 60 tahun yang dimaksudkan adalah hadis yang menyatakan bahwa Allah SWT tidak lagi menerima alasan seseorang setelah mencapai usia 60 tahun.

Rasulullah SAW bersabda: 
"Allah tidak lagi menerima alasan dari seseorang setelah Dia menangguhkan umurnya hingga mencapai enam puluh tahun". Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari. 

Benarlah sabda Rasulullah SAW, yang banyak melalaikan manusia ialah nikmat kesihatan dan masa lapang. 

Lelaki 60'an punya banyak masa berbanding lelaki muda. Kehidupan mereka selalunya lebih stabil dari segi kewangan dan masa. 

Malangnya, masa lapang tidak digunakan untuk menyediakan bekalan untuk akhirat sebalik disia-siakan dengan perbuatan dosa.  

Jika dia seorang lelaki yang 'caring', sahabat setia dan lain-lain, fokus saja kepada isteri sendiri. Janganlah 'merayau-rayau' di alam maya mencari keseronokan dengan isteri orang. Caringlah dengan isteri sendiri. 

Satu persoalan menarik,  mengapa seorang isteri orang tidak mampu menghidu perbuatan onar lagi berdosa lelaki ajnabni ini? 

Satu sahaja wanita itu hilang rasa malunya. Malu itu dari iman. Iman itu rasa dilihat oleh Allah walaupun suami tidak melihatnya. Rahsia itu akan terbongkar jua tidak di dunia, pasti Di akhirat. 

Ketika menyebut tentang dua orang anak nabi Syuaib AS ketika menghampiri nabi Musa AS, Allah berfirman:

فَجَآءَتۡهُ إِحۡدَىٰهُمَا تَمۡشِي عَلَى ٱسۡتِحۡيَآءٖ قَالَتۡ إِنَّ أَبِي يَدۡعُوكَ لِيَجۡزِيَكَ أَجۡرَ مَا سَقَيۡتَ لَنَاۚ
Maksudnya: Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
(Al-Qasas: 25)

Begitulah Allah memperincikan sifat malu wanita beriman. Wanita beriman tersipu-sipu kerana malu bila berdepan dengan lelaki ajnabi. 

Tidak tergamak hatinya untuk bermesra dengan lelaki lain dengan kata-kata, tingkah laku atau sekadar bertukar gambar. 

Mereka sentiasa menjaga maruah diri, menghargai diri,  kepercayaan suami dan yakin Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. 

Lelaki yang tidak bertanggungjawab jawab, pengecut dan tidak ada rasa malu selalunya menghilangkan diri sebaik rahsianya terbongkar. 

Ada diantara mereka hanya 'test market' dan mempermainkan perasaan wanita. 

Ada terjadi, wanita yang yakin dengan cinta sejati (pentakhbib) menuntut cerai daripada suaminya dengan pelbagai alasan. 

Namun, apabila dia diceraikan... kekasihnya gelapnya tidak mengambilnya sebagai isteri yang sah (seperti yang dijanjikan) kerana 'takutkan' isteri yang sedia ada. 

Itulah pengecut. 
Itulah sikap tidak bertanggungjawab.  

Mereka lebih takutkan bini berbanding takutkan Allah. Mereka hanya ingin berseronok-seronok dengan melakukan dosa besar memporak perandakan rumahtangga orang lain. 

Bukan mudah untuk membina kepercayaan sekali ia dihancurkan. .Akhirnya, isteri orang itu merana - suami tidak ada lagi, anak-anak bertempiaran, nama baik dan maruah tercalar.

Apa terjadi kepada lelaki pentakhbib itu? Ya, mereka terus mencari mangsa di alam nyata dan maya.

Jangan tertipu wahai para isteri, lelaki ini  adakalanya berjubah agama tetapi berhati serigala!

No comments: