Usai baca Yang Berhutang 2.0, terus teringat transkrip lama surah Yusuf oleh Ustaz Nouman Ali Khan, yang saya taip tahun 2016 dulu.
Ada ya, sesetengah hamba Allah yang jadi sebahagian daripada perancangan besar Allah SWT. Ujian yang menimpa individu tertentu, tujuannya untuk menyelamatkan kelompok manusia yang lebih besar.
Jemput baca, agak panjang juga.
----
"Surah Yusuf sangat unik, kerana keseluruhan surah hanya berkisar tentang satu cerita sahaja. Surah lain mengandungi pelbagai cerita; tidak dengan yang ini. Dari mula hingga akhir, ceritanya adalah tentang Yusuf a.s dan adik beradiknya - mengikut kronologi pula tu.
Ada riwayat yang sangat menarik tentang surah ini.
Seorang lelaki datang bertemu Rasulullah ﷺ dan bertanya baginda; ayat apa yang patut dibaca? Lalu baginda menjawab, surah yang bermula dengan الۤرۚ.
Kenapa Rasulullah ﷺ cadangkan begitu?
Lelaki ini mengadu akan dirinya yang sudah semakin tua, namun hati dan lidahnya sungguh keras dan zalim terhadap manusia lain. Hatinya sudah tidak sensitif dan lunak.
Penting untuk kita tahu kisah di sebalik ini, supaya kita lebih faham bahawa; SURAH YUSUF MEMPUNYAI IMPAK YANG SANGAT BESAR UNTUK MELEMBUTKAN HATI ORANG YANG MEMBACANYA.
Setiap kali saya menggali surah ini, setiap kali itu juga saya 'terjumpa' ilmu baru yang tersirat. Sesuatu yang tak pernah saya terfikir pun.
Misalnya, tentang cara Allah SWT menggambarkan keunggulan diri-Nya. Unik, tetapi sangat unggul.
Kita mulakan dengan gambaran keseluruhan surah.
Kisah seorang budak lelaki yang sangat disayangi ayah dan menyebabkan adik beradik yang lain cemburu. Kesan perasaan sedemikian memaksa mereka membuat perancangan menculik adik mereka sendiri, lalu dicampakkan ke dalam perigi.
Dari situ, anak tersebut dikeluarkan oleh rombongan pedagang yang singgah lantas mereka menjualnya untuk dijadikan hamba. Di tengah² cerita, dia menjadi pembantu di istana orang kaya Mesir.
Kisah ini sungguh menganggu jiwa. Kalau adalah berita sebegini di kaca televisyen, sudah tentu kita tak sanggup mendengarnya. Anak yang terpisah daripada ayah tersayang, dan terpaksa pula menjadi abdi di usia yang sangat muda. Beratnya emosi ayah, tak dapat nak dibayangkan.
Namun Allah SWT menyebut;
...وَٱللَّهُ غَالِبٌ عَلَىٰۤ أَمۡرِهِۦ
"Dan Allah berkuasa terhadap urusannya .." (Yusuf, 12:21); satu-satunya tempat di dalam al-Quran yang mana Allah SWT menyebut sifat-Nya sebegini.
ALLAH SWT MENDOMINASI DAN MENGUASAI SEGALA URUSAN.
Apa yang berlaku kepada Yusuf a.s, Dia-lah yang menjaga dan mengawal kesemuanya.
Terus kita rasa hendak bertanya.
DI MANAKAH TUHAN SEMASA SEORANG KANAK KANAK TAK BERDAYA DICULIK, DIBUANG KE PERIGI LALU DIJUAL PULA?
Di mana Tuhan itu ketika kanak kanak malang yang membesar menjadi remaja kacak, difitnah dan dihumban ke dalam penjara untuk kesalahan orang lain?
Namun Allah SWT menyebut diri-Nya,"Ghalib", Tuhan yang kuasa-Nya melangkaui segala.
Kemudian Allah SWT seimbangkan pula dengan mengatakan; Allah itu Maha Lembut dan 'subtle' dalam apa juga yang dilakukan-Nya.
Allah SWT amat² berkuasa, namun CARA DIA MENGENDALIKAN DAN MEYELESAIKAN SESUATU URUSAN, SEOLAH-OLAH DIA TIDAK ADA.
Itu yang dimaksudkan dengan 'subtle'. Latif dalam bahasa Arab bukan sahaja bermaksud lembut, tetapi juga kita tak perasan pun akan kehadiran campur tangan Tuhan dalam sesuatu urusan. Tahu tahu dah selesai sahaja dengan elok. (Patutlah orang rekomen amalan zikir "Ya Latif")
Perancangan-Nya sentiasa berjalan dengan tersusun dan penuh misteri tanpa kita mengetahuinya.
Kita pun rajin nak tanya lagi.
Bagaimana nak tahu dan faham Allah SWT sedang menghulurkan bantuan, andai semuanya rahsia belaka? Di sinilah Allah SWT memperkenalkan dua lagi nama-Nya.
"Alimun Hakim". Kuasa yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana. Ya lah. Kekadang ada sesetengah manusia yang berkuasa, tapi tak bijak pula.
Allah SWT itu Tuhan yang Menguasai, Menyelesaikan urusan, dan Maha Bijaksana.
Allah SWT tahu pertemuan semula Yusuf a.s dan adik beradiknya. Allah SWT tahu kisah ini akan menjadi mesej berharga untuk Rasul terakhir yang akan dihantar ke dunia.
Kisah Yusuf a.s yang dibuang adik beradiknya ini, diturunkan kepada Rasulullah ﷺ di kala Baginda dibuang kaumnya semasa di Mekah. Tenanglah Baginda apabila menerima khabar cerita sedih yang berakhir dengan bahagia.
Berbalik pada kisah surah Yusuf.
Siapakah dalam cerita ini yang paling menanggung seksa agaknya? Ya. Ayah Yusuf a.s, Nabi Yaakub a.s..
Di awal cerita semasa Yusuf a.s. menceritakan tentang mimpinya, Nabi Yaakub a.s. berbunga- bunga hati mendengarnya, lantas baginda menyebut Allah itu "Alimun Hakim".
Hatinya penuh dengan harapan terhadap anak kesayangan.
Tiba tiba anak itu hilang. Hendak menambah duka cerita lagi, anaknya Bunyamin pula ditangkap setelah beberapa lama sewaktu mereka sedang kesempitan hidup.
Namun apa kata Nabi Yaakub a.s.? Tetaplah baginda menyebut; Allah itu "Alimun Hakim". Baginda sedih dan pilu, namun baginda yakin Allah Maha Tahu tentang apa yang sedang dilakukan-Nya. Diserahkan penyerahan diri sepenuhnya kepada Tuhan atas keyakinan itu.
Cuba fikir sekejap. Andainya Yusuf a.s. tidak dipenjarakan, apakah yang akan terjadi?
Kemarau besar akan berlaku, dan Mesir langsung tidak akan bersedia menghadapi keadaan itu. Bukankah kemarau tersebut dapat dikendalikan dengan baik hasil daripada cadangan Yusuf a.s yang sedang di dalam penjara?
Ratusan ribu manusia akan mati kelaparan, jika Yusuf a.s. tidak lalui perjalanan hidup sedemikian. Adik beradik Yusuf juga sama, akan mati juga kerana kemarau itu.
Kemudian Nabi Yusuf a.s. membawa keluarganya untuk tinggal bersama di Mesir, dan bermulalah era keturunan Israil di Mesir, yang bersambung dengan saga Nabi Musa a.s. pula."
Allahuakbar.
Ustaz Nouman Ali Khan
No comments:
Post a Comment