Saturday, October 4, 2025

Iktibar Dari nyamuk by ayat

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Mata baru hendak terlelap, tiba-tiba terdengar bunyi bingit. Tangan spontan menepis arah bunyi.

Pap!

“Nyamuk betina mencari rezeki malam-malam,” bisik hati.

Saya terus bangun dan sembur racun pembunuh nyamuk. Baru sedar ada benjolan merah di tangan, tanda dia berjaya juga menyedut tanpa saya sedari. Saat itu terlintas dalam fikiran, betapa hebatnya ciptaan Tuhan.

Nyamuk sebenarnya “pakar bius” ciptaan-Nya. Ia memiliki “teknologi” untuk mencari salur darah manusia, mencucuk tepat pada tempatnya, lalu menyuntik ubat bius agar manusia tidak merasa apa-apa ketika “pembedahan” kecil itu berlaku. Kita hanya sedar selepas terasa gatal dan nampak tanda merah. Pada saat itu, si nyamuk pun sudah selesai menjalankan tugasnya.

Jururawat pun kadang-kadang berkali-kali mencari salur darah tidak jumpa. Tetapi nyamuk sentiasa berjaya, tepat pada sasaran.

Mengapa?

Kerana yang menciptakan nyamuk dan salur darah manusia adalah Tuhan yang sama. Dialah Yang Maha Bijaksana, yang mengatur agar proses itu tidak membahayakan manusia, sekadar gatal pada kulit.

Mustahil Tuhan yang menciptakan manusia dan nyamuk itu berlainan. 

Mustahil. 

Sedangkan Android pun tak boleh guna produk Apple disebabkan "manufacturer" berbeza, apatah lagi alam semesta yang sangat kompleks ini. Pastilah Tuhan itu Satu, Esa, Tunggal. 

Kalau tidak, kita mungkin tak boleh berkongsi bumi & matahari yang sama. Tak compatible. 

Ya. 
Saya dan awak.
Juga diciptakan oleh Tuhan yang sama.
Kita diciptakan oleh Tuhan yang menciptakan bumi, langit & matahari.
Kita diciptakan oleh Tuhan yang menurunkan hujan penuh kasih sayang. 
Kita diciptakan oleh Tuhan yang menciptakan nyamuk. 
.
.
.

Dari nyamuk juga kita belajar sabar dan kecekalan. Nyamuk betina tetap mencari sumber makanan yang berisiko setiap kali. Kenapa tidak seperti nyamuk jantan yang makan buah-buahan, lebih mudah dan selamat?

Kerana Tuhan menentukan anak nyamuk datang daripada nyamuk betina. Maka ia memerlukan zat daripada darah untuk meneruskan kemandirian. Walaupun berisiko mati dibunuh setiap kali, nyamuk betina tetap taat memenuhi aturan Tuhan. Memenuhi tujuan penciptaannya.

Itulah kebijaksanaan Tuhan yang mengajak manusia berfikir.

Saat setiap makhluk taat walau berdepan risiko mati, sudahkah manusia memilih untuk taat dan memikul seruan jihad? Sedangkan itulah kematian paling mulia. Kematian yang hidup dan tidak mati. 

=====
> { وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمۡوَٰتَۢاۚ بَلۡ أَحۡيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمۡ يُرۡزَقُونَ }

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati. Bahkan mereka hidup secara istimewa di sisi Tuhan mereka, dengan mendapat rezeki.

[Surah Āli-ʿImrān:169]
=====

Refleksi diri:
Sudahkah saya bersiap, agar terpilih menjadi mereka yang mendapat kematian paling mulia?

Mula dengan jihad melawan nafsu. 
Jauhi dosa-dosa besar.

No comments: