Monday, September 7, 2026

Felda oh felda

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Berikut adalah senarai penyelewengan, kepincangan tadbir urus, serta jumlah kerugian utama Kumpulan FELDA berdasarkan dapatan rasmi Kertas Putih FELDA (2019) dan Laporan Audit Forensik Ernst & Young:

Gambaran Keseluruhan Kewangan

 * Kerugian Bersih Kumpulan (2017): RM4.9 bilion (berbanding keuntungan RM5.8 bilion pada 2012).

 * Penyusutan Rizab Tunai (2007–2017): Susut daripada RM2.4 bilion kepada RM400 juta.

 * Jumlah Liabiliti / Hutang (2017): RM14.4 bilion (merangkumi pinjaman bank/institusi kewangan sebanyak RM12.1 bilion).

 * Kemerosotan Nilai Aset Lapan Projek Audit Forensik: RM2.2 bilion daripada jumlah pelaburan asal RM4.4 bilion (penjejasan nilai mencecah 50%).
Kerugian & Penyelewengan Mengikut Projek / Pelaburan (Laporan Audit Forensik)

 1. PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), Indonesia

   * Jumlah Pelaburan Asal: USD505.4 juta (sekitar RM2.26 bilion dibiayai pinjaman GOVCO).

   * Bentuk Penyelewengan: Dibeli pada harga 95.86% lebih tinggi berbanding harga pasaran asal tanpa penilaian kredit yang wajar ke atas penjual.

   * Jumlah Penjejasan / Kerugian Nilai: RM1.576 bilion (direkodkan pada 2017).

 2. Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), Jalan Semarak

   * Nilaian Tanah: RM618 juta (nilaian komersial dianggarkan mencapai RM1.062 bilion).

   * Bentuk Penyelewengan: Hak milik 24 lot tanah FELDA dipindahkan kepada pemaju (Synergy Promenade) menggunakan Surat Kuasa Wakil (POA) tanpa pengetahuan/kelulusan Lembaga Pengarah FELDA.

   * Risiko Liabiliti Tambahan: FELDA terikat dengan komitmen perjanjian sewa ruang pejabat sekurang-kurangnya RM1.5 bilion untuk tempoh 20 tahun.

 3. Park City Grand Plaza Kensington (GPK Hotel), London

   * Jumlah Pelaburan / Pembayaran: GBP60 juta.

   * Bentuk Penyelewengan: Tiada Perjanjian Jual Beli (S&P) terus antara FIC dengan pemilik asal (harga asal tanah hanyalah GBP46 juta). Baki GBP14 juta dibayar melalui pembelian saham syarikat offshore (BVI) atas nama peribadi pengarah.

   * Jumlah Kerugian Nilai: Sekurang-kurangnya GBP34 juta (kira-kira RM203.39 juta) apabila nilai saksama merudum kepada GBP26 juta.

 4. Merdeka Palace Hotel & Suites, Kuching

   * Harga Pembelian Asal: RM160 juta.

   * Bentuk Penyelewengan: Dibeli melebihi harga pasaran tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA, di samping melibatkan kes rasuah suapan RM3.09 juta.

   * Jumlah Kerugian / Penjejasan Nilai: RM80 juta (Nilai saksama merosot kepada RM80 juta pada 2017).

 5. Dataran Aras Sdn Bhd (DASB), Sarawak

   * Kos Pembelian Asal: RM148.2 juta.

   * Bentuk Penyelewengan: Tanah tidak dapat dibangunkan kerana 54% merupakan Tanah Adat Bumiputera (NCR). Isu ini disorok daripada Lembaga Pengarah FELDA.

   * Jumlah Penjejasan Nilai: RM146 juta (direkodkan pada 2017).

 6. Felda Wellness Corporation Sdn Bhd (FWC)

   * Jumlah Suntikan Dana FELDA: RM102 juta.

   * Bentuk Penyelewengan: Suntikan dana dibuat tanpa kebenaran Lembaga Pengarah FELDA. Melabur RM24.1 juta ke atas syarikat luar negara tanpa kelulusan, penugasan vendor tanpa tender (RM119.6 juta), dan bayaran RM13.11 juta tanpa bukti perkhidmatan.

   * Jumlah Penjejasan Nilai / Liabiliti Bersih: RM191 juta (termasuk hutang tidak terbayar dan tuntutan mahkamah).

 7. Grand Plaza Serviced Apartments (GPSA), London

   * Jumlah Pelaburan Asal: GBP98 juta.
   * Bentuk Penyelewengan: Pengurusan membayar exclusivity fee GBP980 ribu tanpa kelulusan. Wujud perbezaan GBP14.3 juta daripada jumlah yang dibayar oleh FELDA berbanding hasil yang diterima pemilik asal. Operasi menanggung kerugian purata RM19.82 juta setahun.

 8. Felda House & Grand Felda House (DEX), Wembley

   * Jumlah Kos Pengambilalihan: GBP167.76 juta (kira-kira RM883 juta).

   * Bentuk Penyelewengan: Transaksi dibuat menerusi syarikat BVI (Treax Innovation Ltd) yang diasaskan atas nama peribadi dua bekas pengarah FIC tanpa kelulusan. Kos sebenar melonjak GBP4.76 juta berbanding jumlah yang diluluskan.

Dianggarkan 95% melayu 2-3% cina India dan yang lain bumiputera sabah sarawak.

Friday, September 4, 2026

Yoga Dan sejarahnya

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Hari ini yoga sudah  berada dalam dunia fitness dan wellness.

Kita nampak stretching.
Gerakan perlahan.
Tarik nafas.
Suasana tenang.

Dan ia dilihat sebagai satu  bentuk senaman.

Tetapi apabila sesuatu amalan dikatakan melibatkan bukan sahaja body, 
tetapi juga mind and soul, saya rasa seorang Muslim perlu bertanya lebih jauh.

“Soul” yang bagaimana?

Konsep spiritual yang mana?

Dan dari worldview mana ia datang?

.

Sebab itu sebelum membuat kesimpulan tentang yoga, 
saya cuba menelusuri dahulu latar belakangnya dan merujuk kupasan mereka yang mengkaji isu ini.

Antara yang saya dengar ialah kupasan Dr. Zakir Naik.

Dalam membincangkan yoga, 
beliau membawa kita melihat sesuatu yang mungkin tidak kelihatan apabila yoga hanya diperkenalkan sebagai “exercise”.

Beliau menerangkan bahawa yoga mempunyai akar yang panjang dalam tradisi keagamaan dan falsafah India.

Ia bukan bermula sebagai kelas stretching di studio fitness.

Beliau turut merujuk kepada teks dan tradisi Hindu seperti Veda, Upanishad dan Bhagavad Gita dalam menerangkan latar belakang yoga.

Malah perkataan “yoga” sendiri dibincangkan dalam kerangka penyatuan, manakala dalam tradisi tertentu yoga berkait dengan matlamat spiritual seperti moksha atau pembebasan.

Kemudian beliau membawa contoh yang lebih mudah kita nampak.

Surya Namaskar.

“Surya” merujuk kepada matahari dan “namaskar” membawa makna penghormatan atau salutation.

Apabila sesuatu gerakan mempunyai hubungan dengan ritual atau penghormatan keagamaan, persoalannya makin rumit.

Di sinilah isu akidah mula perlu diberikan perhatian.

.

Perkara ini membuatkan saya berfikir.

Berapa banyak perkara yang kita kenali hari ini hanya melalui packaging modennya?

Kita kenal yoga melalui studio.

Yoga mat.

Legging.

Breathing.

Flexibility.

Stress relief.

Mindfulness.

Kita mungkin tidak pernah diperkenalkan kepada sejarah yang berada di belakangnya.

Sedangkan apabila kita menelusuri lebih jauh, yoga mempunyai sejarah yang jauh lebih luas daripada kategori “senaman”.

.

Saya pernah melalui satu fasa kehidupan apabila perkara-perkara berlabel spiritualiti, healing dan wellness menjadi sangat menarik perhatian.

Pengalaman itu mengajar saya satu perkara.

Sesuatu worldview tidak semestinya datang kepada kita dengan membawa label “agama”.

Kadang-kadang ia masuk melalui bahasa yang sangat moden.

Healing.

Energy.

Inner peace.

Mindfulness.

Mind-body-soul.

Wellness.

Self-care.

Semuanya kedengaran neutral.

Tetapi apabila sesuatu amalan sudah menyentuh wilayah “soul”, saya rasa kita perlu lebih teliti.

Kerana sebagai Muslim, kita sudah mempunyai kerangka tentang jiwa, ketenangan dan hubungan manusia dengan Tuhan.

.

Tubuh memang perlukan movement.

Kita perlukan stretching.

Kita perlukan fleksibiliti.

Kita perlukan kekuatan.

Kadang-kadang kita juga perlukan pergerakan perlahan yang membantu tubuh menjadi lebih tenang.

Tetapi kita mempunyai banyak pilihan.

Mobility training.

Stretching.

Strength training.

Walking.

Swimming.

Pilates atau bentuk latihan fizikal lain yang perlu dinilai berdasarkan kandungannya masing-masing.

Dan apabila yang dicari sebenarnya ialah ketenangan jiwa, kita mempunyai dunia spiritual yang sangat kaya.

Solat.

Zikir.

Doa.

Tilawah.

Tafakkur.

Tadabbur.

Duduk selepas solat dan memberikan ruang kepada hati untuk kembali kepada Allah.

.

Sebab itu awareness ini penting.

Supaya kita menjadi Muslim yang tahu apa yang kita pilih.

Apabila sesuatu trend wellness datang, kita boleh bertanya:

Dari mana ia berasal?

Apa falsafah di belakangnya?

Adakah ia sekadar latihan tubuh?

Atau ada ritual, simbol, kepercayaan dan konsep spiritual yang turut dibawa bersamanya?

Kemudian rujuklah mereka yang mempunyai ilmu sebelum membuat keputusan.

Kerana kadang-kadang sesuatu kelihatan seperti pergerakan tubuh semata-mata.

Tetapi apabila sejarahnya dibuka,
kita baru memahami bahawa ada cerita yang jauh lebih panjang di belakangnya.

.

#yogadanislam
#kupasandrzakirnaik

Wednesday, August 26, 2026

Fatimah asad r.a

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

FATIMAH ASAD R.A MENJADI TEDUHAN KASIH RASULULLAH SAW SETELAH KEHILANGAN
Ustazah Hasanah binti Khairuddin
Pegawai Eksekutif Kanan ISMA
Disebalik sosok seorang Rasul yang teguh dan mulia, adanya seorang wanita mulia yang kasih sayangnya menjadi teduhan sewaktu Baginda SAW kehilangan tempat bergantung. Beliau adalah Fatimah binti Asad r.a, isteri kepada bapa saudara Rasulullah SAW; Abu Talib yang memelihara, mengasuh dan mendidik Baginda dengan sepenuh jiwa sejak ketiadaan Abdul Muttalib tatkala usia Rasulullah SAW baru meniti lapan atau sembilan tahun.

Kasih Ibu Tanpa Sempadan

Meskipun hidup susah dan serba kekurangan dengan jumlah anak yang ramai, Abu Talib dan Fatimah sentiasa berusaha sebaiknya untuk memberikan kecukupan kepada anak-anak mereka termasuk Rasulullah SAW. Fatimah dan Abu Talib tidak pernah membezakan kasih sayang yang diberikan kepada Rasulullah dengan anak-anaknya yang lain. Ada suatu ketika, keluarga Abu Talib menghadapi masa yang sukar dan kekurangan makanan, apabila tibanya waktu makan, Abu Talib dan Fatimah mengumpulkan anak-anak mereka dan juga Rasulullah SAW untuk menjamu selera bersama-sama. Fatimah sanggup menahan lapar dengan melebihkan bahagian makanan untuk anak-anak dan juga Rasulullah SAW berbanding makanan untuk dirinya sendiri. Rasulullah SAW yang menyedari hal tersebut, segera mengembalikan kembali bahagian lebihan itu kepada ibunya supaya semua dapat menikmati rezeki bersama-sama.

Ibu tokoh terbilang

Fatimah merupakan ibu yang hebat. Dengan segala kekurangan dan kesusahan kehidupan, Fatimah berusaha memberikan asuhan yang terbaik buat anak-anak dan juga Rasulullah SAW, sehingga terlahir tokoh-tokoh Islam terbilang dari rumahnya. Dari rahimnya lahir pemuda yang dijanjikan Syurga iaitu Saidina Ali bin Abi Talib r.a yang menjadi khalifah umat Islam yang ke empat. Dari rahimnya juga lahir seorang pejuang gagah digelar pemilik dua sayap iaitu Ja’far r.a yang gugur syahid di medan perang, dan dari rahimnya lahir Ummu Hani’ yang menjadi ulama’ wanita dan perawi hadis Rasulullah SWT yang hidup sehingga zaman pemerintahan Mu’awiyah, Ummu Hani’ menjadi perawi penting dalam peristiwa besar Isra’ dan Mikraj. Di rumah Fatimah binti Asad jugalah, mekar kasih sayang seorang ibu tempat Rasulullah SAW bernaung. Malah, Baginda SAW memanggilnya dengan panggilan agung; “ibu”.  

Pelindung Rasulullah SAW

Setelah Rasulullah SAW diangkat menjadi nabi dan rasul, Baginda SAW mendapat banyak tentangan dari kaumnya. Abu Talib dan Fatimah lah yang menjadi pelindung dan pembela Baginda SAW. Mereka sentiasa mempertahankan Rasulullah SAW daripada serangan dan ancaman kafir Quraisy walaupun ketika itu mereka tidak memeluk Islam.

Tidak lama selepas Abu Talib meninggal dunia, Fatimah melafazkan dua kalimah Syahadah dan memeluk Islam. Kemudian, beliau menjadi antara golongan terawal yang berhijrah ke Madinah bersama keluarganya. Begitu cekal hati Fatimah pergi berhijrah, meninggalkan tanah air tercinta semata-mata kerana kecintaannya kepada Islam dan Rasulullah SAW. Fatimah kekal menjadi pendokong dan penguat Rasulullah SAW ketika di Madinah. Rasulullah SAW juga sering menziarahi Fatimah di rumahnya.

Penghormatan terakhir seorang Rasul

Apabila Fatimah binti Asad r.a meninggal dunia, Rasulullah SAW sangat bersedih hati dan berduka cita. Baginda SAW masuk menemui Fatimah di perbaringan lalu duduk di sisi kepalanya seraya bersabda: 'Semoga Allah merahmati mu wahai ibuku. Engkau adalah ibuku selepas ibu kandungku; engkau mengenyangkan ku semasa engkau lapar, engkau memberi ku pakaian semasa engkau kekurangan, engkau menegah dirimu daripada menikmati kebaikan (makanan/kelazatan) dan memberi ku makan, dengan mengharapkan keredaan Allah dan negeri akhirat.'

Kemudian Baginda SAW memerintahkan agar jenazahnya dimandikan sebanyak tiga kali. Apabila sampai pada siraman air yang dicampur kapur barus, Rasulullah SAW menyiramnya sendiri dengan tangan Baginda SAW. Setelah itu, Rasulullah SAW menanggalkan bajunya lalu memakaikannya kepada jenazah tersebut dan mengkafaninya dengan kain burdah di atasnya.

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Usamah bin Zaid, Abu Ayyub al-Ansari, Umar bin al-Khattab, dan seorang hamba hitam untuk menggali kuburnya. Maka mereka pun menggali kuburnya, dan apabila sampai ke bahagian lahad, Rasulullah SAW menggalinya sendiri serta mengeluarkan tanahnya dengan tangan Baginda SAW.

Apabila selesai, Rasulullah SAW masuk dan berbaring di dalamnya, kemudian berdoa: 'Allah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Hidup tidak akan mati. Ampunilah ibuku Fatimah binti Asad, ajarkanlah kepadanya hujahnya (jawapan soalan kubur), dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya), demi hak Nabi-Mu dan para nabi sebelumku, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.'

Lalu Baginda bertakbir empat kali ke atasnya, kemudian Baginda bersama al-Abbas dan Abu Bakar as-Siddiq RA memasukkan jenazahnya ke dalam liang lahad.

Setelah selesai pengebumian tersebut, Saidina Umar yang menyaksikan kejadian tadi bertanyakan kepada Rasulullah SAW berkenaan tindakan baginda tadi. Rasulullah SAW menjawab: “Wahai Umar, sesungguhnya kedudukan wanita ini seperti ibu yang melahirkan ku. Dahulu Abu Talib bekerja keras untuk memberikan kami makan, dan dia mengumpulkan kami anak-anaknya untuk makan bersama. Di waktu itu, wanita ini melebihkan bahagian untuk kami, kemudian aku mengembalikannya semula.”

Rasulullah SAW berkata lagi: “Aku memakaikan pakaianku untuknya agar kelak dia diberi pakaian dari Syurga, dan aku berbaring di kuburnya agar dia diringankan dari azab kubur.”

Teladan Abadi Wanita Sepanjang Zaman

Kisah Fatimah binti Asad r.a memberikan pengajaran yang halus dan mendalam buat wanita. Beliau membuktikan bahawa kekuatan sebenar wanita tidak terletak pada kedudukan atau harta, melainkan pada keteguhan iman, keikhlasan jiwa dan kehebatannya mendidik generasi. Kesempitan hidup tidak menghalangi untuk memberikan didikan dan asuhan yang terbaik buat anak-anak di bawah asuhannya. Akhlak yang mulia dan sifat yang cekal dan qana’ah terhadap kehidupan yang serba kurang tidak menghalanginya untuk menjadi contoh teladan buat anak-anak dan orang-orang di sekelilingnya.

Daripada usahanya menabur kasih tanpa berbelah bahagi, lahir dari rumahnya tokoh-tokoh agung dalam sejarah Islam.

Semoga kisah ini menjadi pedoman, penguat jiwa dan inspirasi buat para wanita terutama ibu-ibu, bahawa setiap usaha, kasih sayang dan pengorbanan yang dicurahkan dalam membesarkan anak-anak dengan penuh ikhlas demi keredhaan Allah SWT tidak akan pernah sia-sia, dan yakinlah, Allah pasti membalasnya dengan kurniaan dan ganjaran yang tidak disangka-sangka