Sunday, May 29, 2011

Berkenalan dengan insuran

Bismillahirrahmanirrahim

Susunan MOHD FITRI AZIZ MOHD YUSOF (asal usul)




Secara am insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli untuk mewujudkan satu tabungan atau dana kewangan bersama yang khusus bagi tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah.

Amalan seumpama ini selaras dengan tuntutan Islam kerana dengan kerjasama ini ia dilihat dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan seperti dan apa yang tersirat dalam konsep insuran adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud hadis yang bermaksud:

"Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan dan perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia." (Riwayat Ibnu Majah)

Konsep insuran sudah lama dipraktikkan, namun cuma cara pelaksanaannya berbeza, malah ketika zaman Jahiliah ia adalah antara beberapa bentuk amalan kerjasama di kalangan puak atau suku kaum Arab sebagai strategi membantu sesama mereka apabila ada golongan atau ahli yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan sebagainya. Ia kini diperakui bahawa insuran telah berkembang sebagai salah satu daripada amalan Islam.

Walau bagaimanapun pada ketika ini kebanyakan ulama umumnya sepakat mengatakan bahawa operasi insuran dalam bentuk sekarang tidak menepati hukum syarak.

Jika konsep insuran diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang didapati bercanggah dengan kehendak syarak?

Misalnya, Jawatankuasa Fatwa, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana dijalankan oleh syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah suatu muamalat yang ‘fasid’ kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik. Jadi hukumnya menurut Islam adalah HARAM.

Selain itu, Akademi Feqah Islam (Majmak Fiqh) yang anggotanya terdiri daripada ulama dari seluruh dunia Islam termasuk Malaysia dan diasaskan di bawah Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22 hingga 28 Disember 1995, memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insuran, bahawa kontrak perniagaan insuran yang disediakan oleh syarikat insuran mengandungi unsur yang membawa kepada fasid. Yang demikian, menurut Majmak Fiqh, ia HARAM di sisi syarak.

Daripada kedua-dua keputusan, ini jelas menunjukkan ulama sependapat bahawa kedua-dua jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan syariah. Oleh itu, ulama memutuskan perniagaan insuran yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang tidak menepati hukum syarak kerana polisi insuran adalah kontrak atau akad jual beli.

Di bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insuran yang menjual polisi insuran yang menyediakan faedah perlindungan sama ada untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri.

Jual beli dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan akad tersebut.

Dalam kontrak jual beli insuran, salah satu rukun yang tidak sempurna ialah yang berkaitan dengan mu`qadalaih (apa yang diakadkan). Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas dan tidak mengandungi unsur `gharar`. Jika rukun ini tidak dipenuhi, maka akad jual beli menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah s.a.w mengikut sabda baginda yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w melarang jual beli secara baling batu dan jual beli gharar." (Riwayat Muslim)

Sehubungan itu, ulama menjelaskan gharar dalam salah satu daripada tiga sebab berikut:

• Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang);

• Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli; dan

• Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau lain-lain.

Dalam konteks ini, ulama berpendapat perkara ketiga di atas menunjukkan ada unsur gharar dalam konteks jual beli insuran. Dalam setiap urusan, Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan dan unsur gharar telah menafikan kedua-dua prinsip ini. Oleh hal yang demikian itu mana-mana kontrak jual beli yang mengandungi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalah jual beli gharar.

Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak memenuhi kewajipan, tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan kebaikan kepada akad atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi pembeli yang menyumbangkan wang.

No comments: