Sunday, July 24, 2011

Risiko kahwin wanita terlebih cantik- Dr Tuan Iskandar

Bismillahirrahmanirrahim


 Apakah anda cantik? Anda merasakan diri anda cantik? Atau ada sesiapa pernah memberitahu bahawa anda seorang yang cantik? Sebenarnya hakikat cantik adalah subjektif dan ia tidak pernah sama antara seseorang dengan seseorang yang lain. Berpeganglah pada kenyataan bahawa semua orang adalah cantik. Oleh itu, yakinlah anda ada pengaruh terhadap psikologi setiap lelaki yang melihat anda.

Menurut kajian saintis Universiti Valencia, dengan hanya lima minit bersama dengan seorang wanita jelita boleh meningkatkan paras kortisol, hormon stres tubuh. Kortisol dihasilkan oleh tubuh di bawah tekanan fizikal dan psikologi dan dikaitkan dengan penyakit jantung.

Kortisol boleh memberi kesan positif jika dosnya kecil, tetapi jika parasnya meningkat begitu tinggi, ia boleh memburukkan kesihatan seperti menyebabkan sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan mati pucuk.

Jadi, bagaimana dengan lelaki yang berkahwin dengan wanita cantik? Setiap hari dia berdampingan dengan wanita berkenaan, tidakkah kortisolnya meningkat mendadak, saban hari dan saban masa?

Sesuatu itu setelah menjadi hak milik, perasaan mengagumi selalunya berkurang. Jadi, selamatlah nampaknya. Lihat sahaja kereta yang kita miliki. Mereka yang memandu Proton Saga selalu terliur melihat mereka yang memandu BMW, tetapi si pemilik BMW itu sudah tidak begitu kisah dengan keretanya lagi, lebih-lebih jika sudah agak lama. Tambah tiada ‘bisa’ sekiranya kereta itu meskipun terkategori sebagai kereta mewah tetapi bermasalah.

Perasaan bangga ke tahap maksimum ini adalah ketika pertama kali memiliki. Katalah sebulan dua atau setahun dua, selepas itu perasaan untuk bertukar kereta akan datang balik. Sebab itulah anda lihat kereta baru sentiasa ada di atas jalan padahal kereta asal yang mereka miliki masih boleh digunakan.

Lebih cepat sakit jantung

Lelaki yang berkahwin dengan wanita cantik akan berbangga dengan kecantikan isterinya tetapi akan memendam rasa apabila isterinya itu cepat mesra dengan lelaki-lelaki yang lain, termasuklah si penjual roti dan si penjual ikan. Dia lebih mengalami tekanan perasaan apabila ada lelaki yang terbeliak memandang isterinya dan mula menggoda. Kortisolnya akan bertambah naik sepanjang masa. Dia akan mengalami lebih tekanan apabila isterinya sudah tidak cantik lagi disebabkan anjakan usia. Orang sudah tidak ‘terliur’ lagi memandang isterinya dan ini pun memberikan tekanan.

Apa yang boleh disimpulkan berpandukan hasil kajian ini dan juga psikologi lelaki secara umum, berkahwin wanita terlebih cantik boleh menyebabkan proses mendapat sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan mati pucuk lebih cepat berbanding berkahwin wanita yang biasa-biasa. Keadaan juga sama pada wanita yang berkahwin dengan lelaki terlalu kacak. Saya bawakan isu ini kerana ramai sungguh orang yang mahu berbicara tentangnya. Sesetengahnya menghantar terus ke e-mel saya official@drtuah.com, sesetengahnya meletakkan di ruangan forum di www.drtuah.com/forum.html dan sesetengahnya meletakkan terus ke discussion board saya di www.facebook.com (drtuah), saya simpulkan daripada semua posting, persoalan ‘aku kurang cantik adalah satu kemalangan hidup’, adalah apa disembunyikan oleh semua pengirim.

Sebagaimana yang saya tegaskan tadi, kecantikan itu bukanlah semestinya tuah, tidak mustahil ia adalah malang. Demikian juga memiliki isteri atau suami cantik atau kacak itu bukanlah semestinya untung kadang-kadang rugi.

Apa yang terbaik menerima diri seadanya, jika orang mengatakan kita cantik syukurlah nikmat itu dan jadikan ia alasan untuk cenderung menambah iman dan andainya orang mengatakan kita tidak cantik, ketahuilah bahawa Allah yang mencipta dan setiap ciptaan Allah itu tiada yang tidak cantik. Jalani hidup anda dengan tenang dan damai, terima diri seadanya dan akuilah nikmat Allah sentiasa bersama anda, mengitari diri anda dari dulu, kini dan selamanya.

2 comments:

lowprof said...

nabi muhammad suka yg bersederhana..

emirhasnan said...

cantik itu subjektif.

:)