Thursday, November 23, 2023

Apa itu BQ

Bila buat posting sebut BQ, adalah newbie tanya pasal BQ ni apa? Apa beza dengan sebutharga dan invois?

1. Dokumen Perniagaan 

- Sebutharga adalah dokumen marketing yang diberikan kepada bakal pelanggan dengan maksud untuk menawarkan pelanggan satu perkhidmatan pada satu harga.

- Invois adalah dokumen kewangan yang diberikan kepada pelanggan dengan maksud untuk menuntut bayaran bagi satu perkhidmatan pada harga yang telah dipersetujui.

- BQ adalah singkatan kepada Bills of Quantities adalah satu dokumen projek yang digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam projek untuk mengukur skop kerja dan mengkuantitikanya pada kadar harga.

2. Kebiasaanya BQ disediakan oleh Perunding Binaan yang dikenali sebagai Quantity Surveyor atau QS.

Pengukuran skop kerja dan kuantiti kerja disukat dari pelan bangunan.

3. Bergantung kepada jenis kontrak. Ada projek di mana pelanggan akan melantik QS bagi membangunkan BQ untuk kontraktor mengisi harga mereka. 

Apabila BQ ini diberikan kepada 10 kontraktor, perbandingan harga boleh dilakukan secara apple to apple. 

Ini adalah kaedah terbaik. Ia dilakukan apabila pelanggan melantik perunding binaan utama iaitu arkitek dari hari pertama.

4. Ada projek di mana pelanggan akan memberi kontraktor pelan lukisan dan meminta kontraktor sendiri bangunkan BQ lengkap dengan harga mereka. 

Apabila cara ini dilaksanakan, pelanggan akan menerima pelbagai cadangan skop kerja pada harga yang berdasarkan skop kerja berbeza.

Perbandingan secara adil tidak dapat dilaksanakan. Ada risiko di mana kontraktor gagal mengukur kerja dengan tepat.

Kaedah ini dilakukan apabila pelanggan sudah mendapat pelan bangunan yang diluluskan dan hanya melantik kontraktor untuk kerja membina.

5. Ada projek di mana pelanggan akan meminta kontraktor keluarkan pelan lukisan dan bangunkan sendiri BQ dengan harga mereka. 

Apabila cara ini dilaksanakan, pelanggan akan menerima pelbagai cadangan reka bentuk berbeza pada skop kerja dan harga yang berbeza.

Perbandingan hanya akan dilakukan terhadap reka bentuk terbaik yang menepati cita rasa pelanggan.

Kaedah ini dilakukan apabila pelanggan melantik kontraktor dari hari pertama untuk membangunkan reka bentuk, pelan lantai, pelan bumbung dsbnya, mendapatkan kelulusan membina dari PBT dan membina hingga siap.

Kaedah ini sangat berisiko tinggi dan mendedahkan pelanggan kepada ancaman kontraktor lari atau berhenti kerana banyak isu dan pertikaian gagal diselesaikan dengan baik.

6. BQ yang baik mengandungi 5 perkara penting.

a- Skop Kerja Awalan atau Preliminaries yang mengkaedahkan tanggungjawab kontraktor sebelum memulakan kerja binaan. Ini termasuklah kerja menyediakan tapak serta kerja-kerja dokumentasi yang lain.

b- Spesifikasi kerja yang menyatakan kaedah kerja menggunakan bahan yang ditetapkan, dilaksanakan oleh pekerja yang ditetapkan kompentensinya. 

c- Ukuran skop kerja tersebut dalam standard metrik cth kps, mps, bil, nos dsbnya, harga seunit dan jumlah harga untuk kerja yang dispesifikasikan itu.

d- Wang Kos Prima yang akan digunakan untuk membayar kerja-kerja yang dilakukan oleh sub-kontraktor lantikan pelanggan yang akan diselia oleh kontraktor.

e- Wang Provisional yang akan digunakan untuk membayar kerja-kerja yang ketika BQ disediakan, kerja-kerja tersebut tidak dapat dikenalpasti kaedah perlaksanaanya dan ukurannya.

7. Kebiasaanya kontraktor akan menggunakan BQ sebagai sebutharga juga.

Ada juga kontraktor mengeluarkan sebutharga pada jumlah harga keseluruhan BQ, dan meletakkan BQ sebagai Lampiran pada sebutharganya.

Kontraktor juga akan mengeluarkan invois berdasarkan kerja yang dilaksanakan mengikut pengukuran harga dalam BQ.

8. Jumlah BQ bukanlah jumlah tetap yang boleh dituntut oleh kontraktor.

Kontraktor hanya boleh menuntut bayaran mengikut ukuran kerja yang dilaksanakan.

Contoh, sekiranya dalam BQ, kontraktor perlu memasang 20 unit kipas pada harga RM200 seunit, dengan jumlah harga RM4k.

Tapi sekiranya kontraktor hanya melaksanakan pemasangan kipas 15 unit, maka kontraktor hanya boleh menuntut 15@ RM200 = RM3k sahaja.

Bolehkah kontraktor menghantar invois membuat tuntutan  RM4,200 sekiranya memasang 21 unit? Atau berapakah harga yang perlu kontraktor tuntut sekiranya selepas memasang 20 unit kipas seperti tercatat dalam BQ, tiba-tiba pelanggan suruh buka semula dan ganti brand kipas yang lain pula?

Hah itu posting lain. Posting VO pula. 

Maka, ingat masa bila guna sebutharga, bila nak guna invois dan bila nak guna BQ.

🪄
Mahanom Mohammad

No comments: