Saturday, November 17, 2012

Sesuatu itu terhasil dari proses bukan saja-saja

Bismillahirrahmanirrahim. Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh


Bilakah peringkat umur terbaik...?

Salah satu didikan arwah abah yang terus melekat kepada diri saya dan adik beradik lelaki yang lain ialah didikan untuk bersolat subuh secara berjamaah di masjid.

Saya tidak boleh lupa apabila kami dikejutkan pada setiap pagi pada jam antara 5.15-5.30 pagi untuk ke massjid sejak saya berumur 8 tahun (darjah 2 sekolah rendah) pada ketika itu.

Tanpa jemu selama beberapa tahun di sepanjang persekolahan di sekolah rendah kami dikejutkan oleh samada arwah abah atau emak untuk ke masjid pada setiap hari. Bermula dengan perjalanan menggunakan motosikal di awal pagi yang dingin untuk bersolat subuh secara berjamaah, arwah abah juga akan menyalakan pelita di masjid kerana bekalan elektrik belum lagi sudi untuk berkunjung ke kampung kami (1974) sebelum melaungkan azan.

Selepas subuh, arwah abah akan mempastikan bahawa kami berusaha menghafaz beberapa ayat al qur'an daripada surah-surah pilihan sebelum bersiap untuk ke sekolah berjalan kaki.

Didikan ini telah menyebabkan bangun di awal pagi dan menjadi bilal di waktu subuh adalah rutin yang mudah yang telah diteruskan ketika saya belajar di sebuah sekolah berasrama penuh (MRSM Kuantan 1979-1983).

Amanah didikan arwah abah ini juga tetap saya jaga secara bersungguh-sungguh ketika belajar dan bekerja selama 11 tahun di Ireland & kemudiannya di UK miski pun cuaca dingin di musim sejuk memang sangat mencabar. Apatah lagi untuk meredahi salji ke 'Islamic Centre' bagi bersolat subuh secara berjamaah.

Sekarang adalah masanya, giliran saya pula untuk mewariskan disiplin ini kepada anak-anak saya yang remaja agar mereka juga memiliki bekalan yang secukupnya bagi mendepani cabaran hidup yang semakin mencabar di masa depan.

Saya dapati bahawa di musim cuti persekolahan inilah merupakan masa yang terbaik untuk melatih anak-anak remaja agar istiqamah dengan subuh berjamaah di surau atau di masjid. Kita perlu mendidik mereka untuk tidur awal selepas burwudhu dan kejutkan mereka dengan penuh kasih sayang menjelang waktu subuh.

Jangan khuatir, mereka adalah generasi muda yang memang aktif dan bertenaga untuk terus bergerak aktif di sepanjang hari dan juga di sepanjang percutian yang panjang ini. Pastikan bahawa cuti persekolahan kali ini adalah masa yang terbaik untuk kita mempersiakan mereka sebagai insan yang beragenda yang bakal mendokong perjuangan bagi memertabatkan agamaNya di muka bumi ini.

Selamat berjuang...
Dr Zainur Rashid Zainuddin

No comments: