Saturday, May 18, 2013

Kisah Mashitah situkang sikat

بسم الله الرحمن الرحيم
 Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد




NABI TERHIDU BAU WANGI

 ~~ Ketika Malam Isra', Rasulullah s.a.w Telah Mencium Bau Yang Sangat Wangi Yang Merupakan Bau Wanita Tukang Sikat Puteri Fir'aun ~~

 Diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: " Ketika malam diisra'kan, aku mencium bau yang sangat wangi, lalu aku bertanya: 'Wahai Jibril, bau apakah ini?.' Jibril menjawab: 'Ini adalah bau wangi tukang sikat anak perempuan Fir'aun dan anak lelaki tukang sikat itu.' Aku bertanya: 'Bagaimanakah boleh berlaku demikian?' Jibril menjawab: 'Ketika dia menyikat rambut Puteri Fir'aun tiba-tiba penyikatnya terjatuh. Wanita itu telah mengambilnya kembali dengan membaca Bismillah (dengan nama Allah).'

 Anak perempuan Fir'aun berkata: 'Hai, dengan nama bapakku.' wanita tukang sikat menjawab: 'Tidak, Allah ialah Tuhanku dan Tuhanmu demikian juga Tuhan ayahmu.' Puteri Fir'aun bertanya: 'Kalau begitu kamu beriman kepada Tuhan selain ayahku?' Wanita tukang sikat itu menjawab: 'Ya.' Puteri Fir'aun berkata: 'Akan aku beritahu hal ini pada ayahku.' wanita tukang sikat menjawab: 'Silakan!'

 Kemudian Puteri fir'aun memberitahu kejadian ini kepada ayahnya dan akhirnya wanita tukang sikat dipanggil Fir'aun, dan disoal siasat. 'Betulkah kamu mempunyai Tuhan selain aku?' Wanita tukang sikat menjawab: 'Ya, Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah.' Fir'aun lalu memerintahkan untuk disediakan periuk besar daripada tembaga untuk dipanaskan. Satu persatu anak wanita tukang sikat itu mula dilemparkan ke dalam periuk yang mendidih.

 Beberapa saat kemudian, wanita tukang sikat mengajukan permohonan kepada Fir'aun, dengan berkata: 'Ada satu permintaan daripadaku.' Fir'aun menjawab: 'Apa permintaanmu?' Wanita tukang sikat menjawab: 'Aku ingin tulang tubuhku dan tulang-tulang anak lelakiku kelak dibungkus di dalam satu kain untuk dikuburkan.' Fir'aun menjawab: 'Akan aku penuhi permintaanmu.'

 Apabila semua anak lelaki tukang sikat itu telah dilemparkan ke dalam periuk mendidih, tibalah giliran anak yang masih menyusu. Pada saat itu wanita tukang sikat kelihatan ragu-ragu, tiba-tiba bayi yang masih menyusu itu berkata: 'wahai ibuku, campakkanlah diri ibu ke dalam periuk yang mendidih itu, kerana sesungguhnya SEKSA DUNIA INI JAUH LEBIH RINGAN DIBANDING SEKSA AKHIRAT.'"

 (Riwayat Ahmad, 3/309;Ibn Hibban, 2892, 2893; al-Thabrani dalam al-Khabir, 12279.)

 Dipetik dari kitab 101 Kisah & Pengajaran daripada Al-Quran, Al-Hadis & Hayatus Sahabah karangan Ustaz Zahazan Mohamed.

No comments: