Monday, February 10, 2014

Something larger ahead

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد

oleh  :muhamadnaim.hajihashim

Usah bersedih, apa yang Allah sembunyikan lebih besar!

Seorang lelaki keluar bermusafir bersama seorang anaknya ke sebuah bandar. 
Jauhnya, dua hari perjalanan.

Mereka membawa seekor keldai bagi membawa barangan mereka. Menjadi kebiasaan lelaki ini, mengucapkan “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam perjalanan, sebelah kaki keldai mereka, patah.

Lantas, seperti biasa, lelaki ini melantunkan kata-kata “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Justeru, si lelaki dan anaknya, masing-masing terpaksa memikul barangan mereka, dan meneruskan perjalanan.

Selepas beberapa ketika berjalan, sebelah kaki lelaki tersebut pula yang patah.

Dia sudah tidak mampu memikul apa-apa lagi.

Dia kini terpaksa berjalan sambil mengheret kakinya yang patah, sambil berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Lantas, si anak tiada pilihan. Dia terpaksa memikul barangan yang dipikul oleh ayahnya, beserta memapah ayahnya sekali, lalu bertolak meneruskan perjalanan.Di tengah jalan, seekor ular mematuk si anak, menyebabkannya terjatuh kesakitan.

Si lelaki tetap juga dengan kebiasaannya, terus berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam keadaan ini, si anak sudah hilang sabar.

Dia terus melenting, sambil menengking, “adakah sesuatu yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita sekarang!?”.

Keldai yang membawa barangan mereka, kakinya patah. Selepas itu, kaki ayahnya pula yang patah, menyebabkan si anak terpaksa memikul barangan dan memapah ayahnya sekali.Sekarang, dia pula yang dipatuk ular, sehingga terjatuh dan menahan kesakitan bisa ular.

Adakah sesuatu yang lebih besar dan menyeksakan daripada semua ini?

Setelah si anak sembuh, mereka berdua meneruskan perjalanan, dan akhirnya sampai di bandar yang dituju.

Setibanya di bandar tersebut, mereka berdua sangat terkejut.

Mereka mendapati, bandar itu musnah sama sekali disebabkan gempa bumi yang melanda. Gempa itu membunuh semua penghuninya.

Lantas, si lelaki memandang ke arah anaknya seraya berkata:

“lihatlah wahai anak ku, andai kita tidak ditimpa musibah dalam perjalanan kita tadi, sudah tentu kita akan tiba di bandar ini semasa gempa sedang berlaku. Dan, sudah tentu akan menimpa kita, apa yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita semasa perjalanan tadi. Sudah tentu kita sudah musnah!”.

Usahlah bersedih...

Cukuplah sifatNya yang Maha Pengasih, Maha Mengetahui sebagai penyejuk jiwa dan pengulit resah tatkala ditimpa musibah.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya..

No comments: