Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
اللهم صل على محمد وآل محمد
Busana Muslimah sudah menjadi trend hari ini. Jubah dengan pelbagai fesyen dan fabrik, tudung dengan pelbagai corak, potongan dan cara pemakaiannya. Persoalannya ialah benarkah busana tersebut telah benar-benar menepati cara berpakaian menurut syariat Islam ? Adakah ia benar-benar Busana Muslimat dengan ertikata yang sebenar ?
Konsep yang mudah tentang menutup aurat sama ada lelaki atau perempuan ialah longgar, tidak fit, tidak nipis atau jarang dan tidak berlebih-lebihan..... Yang ramai lakukan, adakah menutup aurat atau sekadar membalut, membungkus atau packing aurat? Ini adalah kerana, tabarruj tetap boleh terjadi walaupun wanita itu menutup aurat.
PENCERAHAN :
Contohnya hari ini kita dapat lihat di khalayak ramai wanita yang bertudung tetapi berpakaian menampakkan bentuk tubuh atau sanggul, berfesyen hingga menjadi perhatian, memakai wangi-wangian atau solekan yang berlebihan. Ini semua dikira sebagai tabarruj.
Ibnu Manzur berkata, "Tabarruj ialah apabila seorang wanita mendedahkan kecantikan dan keelokannya kepada lelaki (yang bukan suaminya)". Firman Allah SWT dalam sebahagian Surah An-Nur :
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ...َ
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka..." (QS, An-Nur : 31)
Abul A’la al Maududi berkata : “Kalimat tabarruj yang dipergunakan di dalam Al-Quran yang ditujukan kepada kaum wanita, mengandungi pengertian :
1- Wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (bukan mahramnya)
2- Wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing. (rantai leher, kaki dll)
3- Wanita yang mempromosikan dirinya, kemanjaannya, gerak-gerinya dan keharumannya.
DALIL PENGHARAMAN TABARRUJ :
“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” (QS, Al-Ahzab : 33)
Sifat-sifat tabarruj di zaman jahiliyyah itu adalah seperti berikut:
a - Seorang wanita yang keluar dari rumah dan berjalan di antara lelaki.
b- Wanita yang berjalan berlenggak-lenggok dan penuh gaya, genit dan gedik (3G)
c- Wanita yang memakai wangian yang menggoda.
d- Wanita yang mengenakan pakaian yang dihiasi batu permata.
e- Wanita yang mengenakan kerudung namun anting-anting dan kalungnya tetap diperlihatkan.
f- Wanita yang berkerudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta.
Tabarruj juga boleh berlaku kepada orang lelaki, walaupun aurat mereka lebih ringan, tetapi masih ada yang menampakkan aurat. Contoh memakai baju dan seluar ketat sehingga kelihatan bentuk badan yang sasa atau bentuk punggung. Sengaja mencukur janggut, bersolek atau berdandan seperti wanita, atau berhias berlebih-lebihan kerana mahu kelihatan menonjol dan dikagumi.
Berpakaian dan peliharalah penampilan agar nampak bersih dan kemas secara sederhana. Banyak wang yang dibazirkan untuk tujuan kosmetik dan fesyen, seperti tidak yakin dengan kecantikan diri yang telah diberi oleh Allah SWT.
KESIMPULAN :
Islam tidak menentang kecantikan selagi mana ia tidak melampaui batas. Kepada suami atau isteri, silakan berhias secantiknya kepada pasangan masing-masing . Apabila terdedah kepada bukan mahram, tutupi keinginan tersebut. Cukuplah untuk berpakaian sopan menutup aurat, kemas dan bersih sekadarnya sahaja. Sebab kita nak cari redha Allah dan bukan redha manusia sahaja.
Wallahu a'lam - Doakan istiqamah Ust Kay.
[AAM, 02042014, KB]
No comments:
Post a Comment