Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
اللهم صل على محمد وآل محمد
by Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Hari ini saya berpesan kepada anak-anak murid saya, darihal beberapa perkara iaitu menggunakan rukhsah percampuran lelaki dan perempuan hanya dalam hal FORMAL bukan CASUAL.
FORMAL bermaksud di dalam kelas-kelas, wacana, kuliah yang berobjektifkan untuk mendapatkan ilmu, atau didalam mesyuarat atau perbincangan rasmi.
CASUAL bermaksud pertemuan-pertemuan yang santai, yang tidak ada keperluan untuk bercampur lelaki dan wanita seperti keluar makan-makan, meraikan sesuatu kemenangan, semeja di restoran-restoran, yang boleh saja di lakukan berasingan tanpa menjejaskan rasa syukur dan nikmat.
Dan ini juga membawa saya kepada satu trend iaitu 'trend group selfie'.
Saya maksudkan ber 'selfie' dalam keadaan bercampur lelaki perempuan yang tiada hubungan kekeluargaan. Ringkasnya, sesama rakan pelajar, atau rakan setugas.
Saya anggap ia suatu budaya kurang sihat, dan sudah tentu melanggar syariat Islam, kerana 'selfie' mengkehendaki pelaku-pelakunya berdiri serapat mungkin agar kesemua dapat di abadi di dalam lensa kamera, yang hanya di pegang sejauh tangan mendepa. Mungkin akan ada alat bantuan seperti monopod, tetapi selagi mana arahannya rapat-rapat, maka ia tetap melanggar batasan syariat.
Seharusnya teknologi dimaksimakan untuk mengurangkan keperluan percampuran sebegini. Apa salahnya menggunakan aplikasi 'photogrid' atau cantuman-cantuman foto, jika memang ada keperluan mendesak mengabadikan semua orang ditempat yang sama pada waktu yang sama? Jika benar-benar ada keperluanlah....
Prinsip yang sama juga terpakai dalam cara lama bergambar, namun impak 'selfie' lebih ketara dan lebih mudah menjadi budaya, hingga tidak mustahil akan hilang naluri malu berdiri rapat dengan sahabat berlainan jantina, semata-mata untuk wajah termuat di dalam foto.
Eloklah jika kita melihat kembali pesanan Allahyarham Sheikh Abd Karim Zaidan mengenai KEHARUSAN yang sebenar kerana asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan adalah haram, maka ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak.
Sheikh Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal Fi al-Ahkam al-Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan tersebut seperti di bawah.
1. Harus kerana terpaksa (dharurah)
Ikhtilat yang berlaku kerana terpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam Nawawi dengan katanya:
Berkata ahli mazhab Syafie: "Tidak ada perbezaan dalam pengharaman khulwah (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya. Dikecualikan daripada hukum ini keadan-keadaan dharurah, seperti jika seseorang lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada kumpulan manusia, maka harus ia menumpangkan wanita tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu hukum menumpangkannya adalah wajib tanpa khilaf. Antara contoh dharurah yang lain ialah seperti seorang lelaki ajnabi melarikan wanita dengan tujuan menyelamatkannya daripada diperkosa, jika itu adalah satu satu jalan untuk menyelamatkan wanita tersebut.
2. Harus kerana keperluan (hajat)
Ulama' berkata, hajat mengambil peranan dharurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.
Ulama' berkata, hajat mengambil peranan dharurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.
a) Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak.
Harus bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual beli, melakukan tawar menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan) dan memelihara adab adab pergaulan.
b) Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman.
Wanita harus menjadi hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di sisi az-Zahiriah dan Imam at-Tabari. Sudah termaklum kerja seperti ini mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa, tertuduh, saksi dan lain-lain.
c) Ikhtilat kerana menjadi saksi.
Islam mengharuskan wanita menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Seperti dinyatakan dalam ayat akhir surah al-Baqarah. Menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran dengan lelaki ajnabi.
d) Ikhtilat kerana amar makruf nahi mungkar.
Ibnu Hazmin telah menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla bahawa Umar al-Khattab RA telah melantik al-Syifa’ menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
e) Ikhtilat kerana melayan tetamu.
Harus bagi wanita melayan tetamu bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'i seperti tujuan memuliakan tetamu dan sebagainya walaupun ia terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam hadith Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk Baginda SAW.
f) Ikhtilat kerana memuliakan tetamu dan jika perlu makan bersamanya.
Harus bagi wanita makan bersama tetamu dan suami tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu atau tujuan lain yang syar'i. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa mereka makan bersama sama baginda. Ini bererti bahawa orang Ansar dan isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama, walaupun mereka tidak makan, kerana mengutamakan tetamu.
g) Ikhtilat dalam kenderaan awam.
Harus bagi wanita keluar rumah kerana menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan, walaupun terpaksa bercampur dengan lelaki ajnabi, seperti keluar untuk menziarahi dua ibu bapanya, membeli belah dan ke hospital, meski pun ia terpaksa menaiki kederaan awam yang menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki ajnabi, dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan oleh keperluan yang syar'ie.
h) Ikhtilat dalam kerja-kerja jihad.
Antara contoh pergaulan sewaktu jihad ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari menyebut dalam sahihnya daripada Ar-Rabei binti Muawwiz katanya:
"Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah."
"Kami bersama Nabi SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar jenazah yang terbunuh ke Madinah."
i) Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat.
Antara suasana yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu hari raya dan sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat Baginda berpusing mengarah wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah, bersama baginda ialah Bilal.
j) Ikhtilat dalam suasana yang telah menjadi adat kebiasaan.
Tersebut dalam kitab Muwatta' persoalan: "Adakah harus bagi wanita makan bersama hamba atau lelaki bukan muhramnya?" Berkata Malik: "Tidak ada halangan pada perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki tersebut." Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara. Dalam suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan selama terpelihara adab-adab Islamiah.
No comments:
Post a Comment