Wednesday, April 30, 2014

JAWAPAN MENGENAI SOLAT KHAS BULAN REJAB

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد





by DR Maza


Orangramai bertanya saya mengenai Solat Raghaib, iaitu solat sunat khas yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab.
Untuk menjawab perkara ini saya memetik di sini hadis Nabi s.a.w dan beberapa ulasan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الْأَيَّامِ إِلَّا أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ
Daripada Abi Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa. (Riwayat Muslim).
Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H): “Pada hadith ini larangan yang nyata mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada dengan malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid’ah yang dinamakan solat al-Raghaib. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid’ah yang munkar daripada jenis bid’ah yang sesat dan jahil. Padanya kemunkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga begitu banyak dalam memburukkan dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukan dan kebatilannya dan kesesatan pembuatnya”. (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 3/211. Beirut: Dar al-Khair).
Al-Nawawi juga pernah berkata: “bid’ah yang buruk lagi sangat munkar…jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din”.( Petikan daripada ‘Ali Hasan ‘Ali, Kitab al-Ihya fi Mizan al-‘Ulama, m.s. 21.).
Demikian al-Imam al-Sayuti (meninggal 910H) berkata: “Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadis yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya adalah palsu dengan sepakat ulama. Mereka menamakan solat Raghaib”. Katanya juga: “Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid’ah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk…”( Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ m.s 52. Beirut: Dar al-Fikr )

No comments: