Thursday, May 15, 2014

Tatacara sujud

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
اللهم صل على محمد وآل محمد

By :Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri



Sabda Nabi SAW,
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ
Maksudnya: “Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, dengan dahi (sambil Baginda menunjukkan tangannya ke bahagian atas hidung), dengan dua tangan, dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.”
Riwayat al-Bukhari (779) dan Muslim (490)
Dahi adalah anggota wajib sujud. Menekankan dahi di tempat sujud itu sehingga sekiranya kapas atau seumpamanya yang diletakkan di bawah dahi tertindih dan meningggalkan kesan sujud yang jelas di atasnya.
Hukum sujud pada dahi ketika sembahyang adalah wajib tanpa perselisihan ulama dan lebih awla (baik) jika seseorang itu sujud pada keseluruhan dahi tersebut. Ini kerana yang dituntut ketika sujud itu ialah menyentuh sebahagian dahi seseorang yang sembahyang itu ke atas tempat sujudnya. Namun jika kurang daripada itu, maka itu adalah memadai dan hukumnya adalah makruh (karahah tanzih).
Inilah pendapat Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm dan juga pendapat para ulama Syafie. Maksud karahah tanzih itu ialah perkara yang dituntut oleh syarak meninggalkannya, akan tetapi tuntutan itu tidak sampai ke tahap wajib. Jika dilakukan juga perkara tersebut, maka hukumnya tidak berdosa hanya khilaf al-awala’ (menyalahi yang utama).
Oleh kerana itu, jika dia sujud pada jabin, iaitu tepi dahi atau pipi atau pelipis, iaitu bahagian antara mata dengan telinga atau pada atas kepala atau pada hidungnya sahaja dan dia tidak meletakkan sebahagian apa pun daripada dahinya pada tempat sujud, maka perbuatan sujudnya itu adalah tidak memadai. Beginilah juga yang dinaskan dalam kitab al-Umm.
Di samping itu, tidak memadai perbuatan sujud itu dengan hanya sekadar menyentuh atau meletakkan dahi ke atas tempat sujud. Bahkan wajib ditetapkan seketika dahi pada tempat sujud dan diberikan sedikit tekanan berat daripada kepala dan tengkuk pada dahi tersebut.

No comments: