Monday, August 11, 2014

Tertinggal tahiyyat awal- apa nak buat?

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد






Q&A fekah
Bab: Solat
Tertinggal tahiyyat awal
Soalan: Apa yang perlu saya buat jika saya terlupa untuk duduk tahiyyat awal, saya langsung bangun dan membaca fatihah? Perlukah saya duduk kembali?
Jawapan: Tak perlu duduk kembali. Duduk tahiyyat awal merupakan sunat Ab'adh. Iaitu sunat yg jika tertinggal solatnya masih sah. Hanya perlu dilakukan sujud sahwi.
Jika seseorang terlupa duduk dan membaca tahiyyat awal, maka hendaklah dia terus berdiri, membaca fatihah dan meneruskan solat hingga akhir. Sebelum memberi salam hendaklah dia sujud sahwi untuk menampung kecacatan solatnya tadi.
Namun, jika ia teringat pada waktu ia hendak bangun, ada 2 keadaan:
1. Bangun sebelum melepasi tahap ruku'. Maka ia boleh duduk kembali dan menyempurnakan tahiyyat awal. Tidak perlu sujud sahwi.
2. Bangun yang telah melewati keadaan ruku'. Hendaklah dia meneruskan berdiri, membaca fatihah dan meneruskan solat hingga akhir. Sujud sahwi sebelum memberi salam. Jika ia duduk kembali maka boleh menyebabkan batal solatnya.
Soalan: Baru-baru ini kami solat maghrib berjemaah dan imam tertinggal duduk tahiyyat. Imam terus berdiri dan membaca fatihah. Kami makmum terus duduk tahiyat dan ada dikalangan kami menegur imam ketika imam telahpun membaca fatihah. Adakah tindakan kami betul?
Jawapan: Tindakan makmum itu salah. Sepatutnya, Jika imam terlupa duduk tahiyyat awal maka makmum hendaklah terus mengikut imam berdiri, membaca fatihah dan meneruskan solat hingga akhir. Yakni dengan meninggalkan duduk tahiyyat. Imam perlu sujud sahwi di akhir solat sebelum memberi salam. Makmum perlu mengikut imam untuk sujud sahwi walaupun kesilapan itu hanya pada pihak imam.
Kaedahnya begini:
- Jika imam terlupa perkara sunat (hai-at atau ab'adh) maka makmum wajib mengikut imam dengan meninggalkan perkara sunat tersebut.
- Jika imam terlupa perkara rukun, maka makmum tidak boleh lagi mengikut imam. Makmum perlu menegur imam untuk memperbetulkan solatnya. Namun, jika imam masih meneruskan solatnya yang salah itu, makmum wajib memisahkan dirinya (mufaraqah). Tindakan makmum yang masih mengikut imam yang terlupa perkara rukun, boleh menyebabkan batal solatnya.
Wallahu a'lam
Ustaz Jafri Abu Bakar

No comments: