Wednesday, September 17, 2014

Tatacara menegur

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد



Dari wall Dato' Ust Tuan Ibrahim Tuan Man;
Wahai anakku,
Sebelum menegur, tanyalah diri apakah niat menegur engkau. Jika niatnya adalah untuk menjaga ego sendiri, batalkan niat menegur tersebut. Jika niatmu adalah untuk menghukum pihak yang tidak bersetuju dengan kamu, batalkanlah niat menegur itu. Jika niatmu adalah untuk memalukan orang, lagilah perlu dibatalkan niat kamu. Jikalau niatmu adalah untuk menunjukkan sendiri lebih pandai, batalkan niatmu. Jikalau niatmu untuk merendahkan pihak lawan, batalkanlah juga niatmu. Jikalau niatmu untuk lawan, untuk menunjukkan kebodohan, batalkan niatmu. Jikalau engkau tidak pasti kebenaran dalam teguran yang engkau niatkan itu, tangguhkan dulu teguran kamu.
Wahai anakku,
Bukan tidak boleh membuat teguran. Tapi buatlah teguran yang bersifat membina. Buatlah teguran yang bersifat mendidik dan menginsafkan. Buatlah teguran yang memberi harapan. Buatlah teguran selepas mendapat kebenaran dan perspektif yang betul. Sesungguhnya buatlah teguran demi tanggungjawabmu kepada Allah dan bukannya kerana manusia dan maruahmu.
Wahai anakku,
Jagalah maruah pihak yang hendak ditegur. Tegurlah pada isu yang ada di tangan. Jangan sesekali engkau cuba membangkitkan perkara yang lepas-lepas kerana ia akan merosakkan teguran yang diniatkan baik oleh engkau.
Wahai anakku,
Semasa membuat teguran, ingatlah manusia ini tidaklah sempurna walaupun sempurna ciptaan Allah. Ingatlah manusia depanmu itu pernah juga berbuat baik dan berkata-kata yang baik. Buatlah teguran tanpa buruk sangka pada manusia di depanmu. Buangkan segala buruk sangka pada manusia di depanmu. Tunjukkan belas kasihan-mu. Tunjukkan sifat penyayangmu. Tutupilah egomu. Dan jagalah kata-katamu dan ayat-ayatmu.
Wahai anakku,
Jangan pula engkau ingat hanya kau yang layak menegur orang dan orang yang ditegurmu itu mesti akur dan terima teguranmu. Jangan engkau ingat mereka akan membisu menerima segala teguran kamu tanpa dijawab. Jangan engkau ingat engkau sahaja betul dalam teguranmu. Bersedialah berlawan dengan hujah. Jika engkau kasar
dalam bahasa teguranmu, bersedialah menerima balik kekasaran yang serupa atau lebih buruk.
Wahai anakku,
Menegur itu mudah. Menerima teguran itu payah. Engkau memahami perkara itu di dalam jiwa tapi akibat bisikan syaitan dan egomu kamu sering terlupa yang menerima teguranmu itu juga seorang manusia ciptaan Allah.
Bisikan syaitan menyebabkanmu merasakan diri lebih tinggi ketika menegur. Egomu menyebabkan kamu terasa diserang tanpa sebab ketika ditegur sebelum menilai teguran yang diterima samada benar mahupun palsu.
Wahai anakku,
Beradablah ketika menegur. Dan bersabarlah ketika ditegur kerana engkau akan saling memainkan watak ini dalam hidup kamu. Pentingkan membimbing dan memberi harapan daripada mencari salah dan menghukum dalam teguranmu. Dan pentingkan kebenaran dan nilai bersyukur ketika ditegur kerana ada yang sanggup memberi pandangan untuk membaiki diri.

 
Post a Comment