Wednesday, July 1, 2015

BUKA RUANG UNTUK DIRI DITEGUR

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد



Para ulama' Salaf yang terdahulu amat gembira jika ada orang yang menegur dan menunjukkan kesilapan mereka. Tetapi manusia pada hari ini adalah sebaliknya.
Sayyidina Umar al-Khattab RA berkata: 
رحم الله امرأ أهدى إلينا عيوبنا
"Semoga Allah SWT merahmati orang yang memberitahu kepada kita akan keburukan kita."
Beliau pernah bertanya kepada Salman al-Farsi RA untuk meyatakan keburukan dirinya. Salman menjawab: "Aku ada mendengar kamu makan dengan dua jenis lauk dalam satu hidangan (yang mana salah satunya cuma buah zaitun). Kamu juga mempunyai dua helai pakaian, satu untuk siang dan sehelai lagi untuk malam."
Umar bertanya lagi: "Ada apa-apa lagi yang lain?"
Salman berkata: "Tidak ada lagi."
Umar berkata: "Dua perkara ini pun sudah cukup untuk menunjukkan kekurangan diriku."
Beliau RA juga pernah bertanya kepada Huzaifah al-Yamani (Pemegang Rahsia Rasulullah SAW): "Adakah aku ini termasuk dari kalangan orang munafiq?"
Masya' Allah, begitu sekali peribadi Umar RA, patutlah syaitan pun lari darinya!!!
Begitulah sepatutnya seorang mukmin, semakin tinggi martabat dan kehebatan seseorang, semakin tinggi rasa kekurangan dan rendah dirinya, bukanlah sebaliknya. Tidak suka ditegur walaupun dalam perkara yang haq dan benar, menunjukkan tanda lemahnya iman seseorang itu.
Terlalu sedikit sahabat yang tidak cuba mengampu atau menutup kesilapan sahabatnya, ataupun yang tidak dengki terhadap sahabatnya.
Imam asy-Syafei berkata:
"Mata yang menyukai seseorang akan menjadi kabur apabila melihat keburukannya,
tetapi mata yang membenci seseorang akan membongkar segala keburukannya!"
Benar sekali, musuh yang menunjukkan keburukan kamu (supaya kita dapat berubah dan membaikinya) adalah lebih baik daripada sahabat yang mengampu dan tidak cuba membetulkan kesalahan kamu.
Cara Muhasabah Dan Memperbaiki Diri:
1. Cari guru yang pastii mursyid (boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar, bukan yang mengajar kita untuk mengutuk dan memburukkan orang).
2. Cari kawan yang benar dan jujur.
3. Kenali kelemahan diri melalui pandangan musuh.
4. Bergaul dengan masyarakat untuk melihat keburukan yang berlaku untuk dijadikan tauladan dan sempadan.
‪#‎UAM‬, 15 Ramadhan 1436H - 2 Julai 2015.
Diadaptasi dari Kuliah Abu Anas Madani, Syarah Kitab "Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin" di KL Pada 20
Sya'ban 1436H.

No comments: