Wednesday, July 1, 2015

Jawapan dari Allah

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Bismillah hirRahmanir Rahim
Ketika kita memohon petunjuk dan kekuatan daripada Allah, jawapan Allah itu bukan seperti jawapan manusia.
Allah mengurniakan ilham dalam hati kita hingga kita faham. Kemudian fikiran kita diaturkan Allah dengan menghasilkan idea-idea yang bernas. Digerakkan diri kita seluruhnya beserta segala aturan yang menjadikan perjalanan dalam penyelesaian juga tersusun cantik.
Digerakkan Allah manusia keliling datang membantu. Terasa masa sangat cukup. Terasa kerja menjadi mudah. Ada semangat dan kekuatan.
Ketika kita memohon dimurahkan rezeki, Allah tidak menjatuhkan duit dari langit. Tidak mengeluarkan emas permata naik dari dalam tanah. Tidak terhidang segala makanan yang lazat dengan tiba-tiba.
Tetapi Allah menggerakkan kita dengan pelbagai cara. Diberikan kita ilham agar mampu melakukan kerja dengan kemahiran yang kita ada. Ada peluang yang datang untuk kita mendapatkan rezeki.
Seluruh makhluknya digerakkan dalam satu sistem yang sangat komplek tetapi sempurna aturannya atas kehendak Allah.
NAMUN....
Di ketika perjalanan menjadi mudah, hambaNya sering kembali terlupa kepadaNya ketika bergerak dalam aturanNya. Kesedaran kepadaNya hilang di saat melaksanakan tugas dan kerja.
Akhirnya sangat malang ketika diri "claim" bahawa kejayaan semua ini hasil daripada fikiran aku. Hasil daripada kerja kerasku. Hasil daripada idea-ideaku. Hasil daripada kepandaian dan kemahiranku.
Allahurabbi....
"Ya Allah, lindungi kami daripada menjadi hambaMu yang sering melupakanMu dan jadikan kami hambaMu yang menyedariMu SETIAP SAAT HIDUP INI dalam keadaan apa sekalipun, ketika berbaring. ketika duduk, ketika berdiri ya Allah."
Fuad Latip
28 Jan 2015

No comments: