Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Pernah suatu hari saya minum pagi bersama seorang teman. Dia adalah pengusaha sebuah kantin. Perniagaan makanan itu dikongsi bersama sepupunya. Sambil menghirup air saya memulakan bicara:
“Najib (bukan nama sebenar), apa khabar perniagaan awak dengan sepupu awak?”
Jawapan Najib sangat mengejutkan saya:
“Saya dah tak berniaga dengan sepupu saya lagi Ustaz. Kami dah pecah kongsi. Banyak sangat yang saya tak setuju dengannya. Banyak sangat yang kelabu dalam urusniaga kami. Duit syarikat diambil tanpa audit. Selepas kami pecah kongsi, nama saya diburukkannya. Dia kata saya tidak membayar hutangnya yang berjumlah RM 50 ribu. Memang dahulu ketika sama menubuhkan syarikat, kami berjanji untuk menyuntik modal sebanyak RM 70 ribu setiap seorang. Dia menyuntik sebanyak jumlah itu tapi saya tak mampu dan hanya membayar RM 20 ribu sahaja. Pun begitu, kami sudah bersetuju dengan nilai modal saya dan dia memegang saham paling banyak. Semasa bersama dahulu tak pernah pula dia ungkit baki RM 50 ribu itu, tapi setelah pecah kongsi dijajanya serata dunia saya tak membayarnya hutang itu.”
Mendengar kisah ini mengingatkan saya sepotong firman Allah yang menyebut betapa sukarnya mencari rakan kongsi yang amanah. Oleh itu, saya selalu berpesan kepada murid dewasa saya yang berkongsi syarikat dengan beberapa rakan kongsi agar sentiasa membaca dan memasak kemas pesan nabi Dawud AS dalam ayat ini ke daam hati mereka:
قَالَ لَقَدْ ظَلَمَكَ بِسُؤَالِ نَعْجَتِكَ إِلَى نِعَاجِهِ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَقَلِيلٌ مَا هُمْ
Ertinya: Nabi Daud berkata: " Sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan) kepada kambingnya; dan sesungguhnya kebanyakan dari orang yang bergaul dan berhubungan (dalam perkongsian atau syarikat), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!" (Sad [38.24]).
Seterusnya saya melanjutkan soalan kepada teman saya itu:
“Semasa mula berniaga dan menubuhkan syarikat dahulu ada tak Najib buat catatan atau perjanjian yang jelas?”
Najib menjawab dalam nada kesal:
“Tak ada Ustaz! Saya dan sepupu saya ini seperti adik beradik. Semenjak kecil kami susah dan senang bersama. Itulah sebabnya saya tidak membuat apa-apa catatan. Tak sangka begini pula kesudahannya. Sampai sekarang saya dan dia seakan bermusuh dalam diam.”
Allah adalah Tuhan yang Maha Pengasih kepada hambaNya. Antara bukti kasihnya Allah kepada kita adalah Dia menyediakan panduan dalam urusan hutang dan harta. Allah tahu benar, manusia boleh menjadi jahat dan kedok apabila melibatkan harta. Atas sebab inilah Allah mewartakan agar sebarang urusan hutang dan harta perlu direkodkan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu (al-Baqarah[2:282]).
Beriman kepada Allah dan al-Quran bukan hanya slogan mainan mulut tapi perlu direalisasikan dalam aspek kehidupan. Apabila berpegang dengan al-Quran, bukan orang lain yang menangguk untung tapi kita sendiri. Kisah di atas cukup untuk menjadi bukti mudah. Ayuh semua! Kita kembali ke dalam rangkulan mesra al-Quran agar hidup lebih diberkati.
No comments:
Post a Comment