Tuesday, August 9, 2016

NOTA RINGKAS : SOAL JAWAB SOLAT JAMA’ DAN QASAR



بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Sepanjang tiga kali Ahad yang lalu, saya telah mengulas perihal solat jama dan qasar di TV9. Berikut beberapa nota ringkas soal jawab sebagai perkongsian buat semua pembaca.
1. Jika ragu-ragu dengan destinasi, adakah jadi safar ?
Jawapan : TIDAK, hukum akan kekal iaitu bermuqim.
2. Jika ragu-ragu tempoh stay di destinasi sewaktu sedang musafir , hukum musafir atau muqim? Jawapan : Diiktiraf sebagai MUSAFIR kerana asal hukum bagi yang telah bermusafir adalah musafir sehingga pasti tempohnya.
3. Kerja driver setiap hari musafir, adakah boleh jama dan qasar ?
Jawapan : YA dapat rukhsah tersebut dan boleh jama’ dan qasar sewaktu perjalanannya yang tahu destinasi dengan tepat. Serta tidak menginap lebih dari 4 hari di destinasi.
4. Seseorang kerja di tempat yang jauh, setiap kali pergi akan melebihi jarak musafir, bagaimana?
Jawapan : Ye mendapat keringanan sebagai orang musafir sewaktu di dalam perjalanan tapi sebaik sahaja sampai di pejabat, tidak dianggap musafir kerana tempat kerja ibarat sudah menjadi kawasan muqim kerana setiap hari dan kekerapannya bertugas di sana, demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari.
5. Orang musafir ke satu tempat untuk suatu tugas, tapi tak pasti bila tamat, mungkin pendek dan mungkin panjang, apabila siap akan terus pulang. Bagaimana?
Jawapan : Ye boleh dianggap musafir, maksimum sehingga 18 hari menurut mazhab al-Syafie, berdasarkan hadis baginda Nabi berbuat demikian ketika di Mekkah.
6. Waktu zohor telah masuk, dia pun bergerak bermusafir dan berhenti mendirikan solat jama’ taqdim dan qasar, namun sampai ke destinasi 2 jam sebelum masuk waktu asar, bagaimana dengan status jama’ dan qasarnya?
Jawapan : Ye tetap sah dan tidak perlu diulangi solatnya.
7. Apabila sudah hampir masuk waktu, kita masih dalam kawasan, kemudian beberapa minit sebelum azan kita keluar, adakah wajib kena tamam?
Jawapan : Tidak wajib, masih boleh melakukan solat jama dan qasar.
8. Sudah naik flight dan ketika ingin melakukan solat qasar dan jama’ di dalam pesawat, pesawat itu tiba-tiba sedang terbang melintasi kampung kita, bolehkah qasar? Kes yang sama sekiranya bas melintas kampung kita.
Jawapan : Ye boleh kerana masih musafir dan lintasan itu bukan dianggap sampai ke destinasi tetapi sebahagian dari perjalanan kenderaan awam terbabit.
9. Bila orang bermusafir solat yang ingin solat qasar mendirikannya secara berjemaah di belakang orang bermukim, bagaimana?
Jawapan : Menurut majoriti mazhab, wajib solat tamam jika sempat mendapat satu rakaat atau lebih, berdasarkan hadis (إنما جعل الإمام ليؤتمّ به، فلا تختلفوا عليه ) namun jika tidak dapat walau satu rakaat, mazhab Maliki tidak mewajibkan tamam dan boleh qasar.
10. Jika jadi makmum kepada Imam yang tidak diketahui sedang musafir atau tidak (solat pula di kawasan perhentian seperti R&R atau surau stesyen bas, lapangan terbang etc), sedangkan kita bermusafir serta ingin solat qasar.
Jawapan : Kita diharuskan qasar atas dasar musafir.
11. Apa perlu buat lepas tu sekiranya ternyata imam solat penuh?
Jawapan : Berniat infirad (putus dari imam) dan lengkapkan tashhahud dan TIDAK beri salam seperti biasa dahulu. Kemudian harus terus duduk dalam posisi itu dan menunggu imam bagi mendapatkan salam bersama imam.
Ada juga pendapat yang membenarkan terus memberi salam dan menghabiskan solat.
12. Musafir hari jumaat, mestikah hanya sebelum fajar?
Jawapan : Sebelum fajar adalah harus dan beroleh semua keringan seorang musafir seperti jama’ dan qasar. Bermusafir selepas Fajar adalah makruh menurut mazhab Maliki, tetapi masih HARUS menurut majoriti mazhab. Manakala bermusafir sedikit sebelum masuk waktu jumaat contohnya selepas azan Jumaat adalah HARAM jika tiada dharurat.
13. Betulkah jika sampai destinasi terus habis status musafir dan tidak boleh jama qasar lagi? Jawapan : Jika sudah niat dari awal menetap lebih dari empat hari di destinasi (tidak termasuk hari sampai dan pulang), maka benar sejurus sampai sahaja di destinasi terus habis status musafir.
14. Jika bersafar tanpa destinasi jelas, dapatkah keringanan musafir?
Jawapan : Tidak dapat, antara syarat musafir yang melayakkan jama dan qasar adalah mesti ada destinasi tujuan tertentu dan boleh diketahui jaraknya.
15. Jika niat safar menuju satu destinasi yang tidak mencukupi jarak musafir, kemudian sewaktu dalam perjalanan, dia menukar niat untuk menyambung perjalanan ke satu destinasi lain selepas itu yang mencukupi jarak 88 KM, adakah dapat status safar ?
Jawapan : Niat dikira dari waktu berubahnya niat untuk ke destinasi selanjutnya, dan jika cukup jarak barulah dapat rukhshah musafir.
___________________________________
• Solat Qasar specifik untuk safar/musafir.
• Ia terpakai pada solat fardhu 4 rakaat ( zuhur, asar dan isyak ) dipendekkan menjadi 2 rakaat.
• Walaupun qasar adalah satu sedekah dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala :
والقصر أفضل من الإتمام لقوله صلى الله عليه وسلم: ("صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته") رواه مسلم
Dari hadis di atas, qasar lebih afdal bagi musafir, akan tetapi ia tetap amalan ikhtiyari ( pilihan ) individu terutama jika tiada apa-apa masalah/kesukaran dalam permusafiran. Ini kerana baginda Nabi telah diriwayatkan pernah menqasarkan dan pernah juga solat tamam sewaktu musafirnya.
• Manakala solat jama' pula tidak sekadar terikat dengan safar, bahkan ia boleh dilaksanakan kerana sebab-sebab lain :
1) kerana hujan -
إن من السنة إذا كان يوم مطير أن يجمع بين المغرب والعشاء – رواه الأثرم
Sesungguhnya merupakan sunnah bila hari hujan untuk menjama’ antara solat Maghrib dengan Isyak
2) Kerana sakit -
Menurut Imam Ahmad dan mazhab Hanbali boleh seseorang menjama’ solat kerana sakit. Dalilnya adalah hadis :
كان النبي ص جمع من غير خوف ولا مطر
Bahawa Rasulullah SAW menjama’ solat bukan kerana takut juga bukan kerana hujan.
3) Kerana haji -
Para jamaah haji disyariatkan untuk menjama` dan mengqasar solat zuhur dan Asar ketika berada di Arafah dan di Muzdalifah.
Dari Abi Ayyub al-Anshari ra. Bahawa Rasulullah SAW menjama` Maghrib dan Isya` di Muzdalifah pada haji wada`. (Al-Bukhari).
4) Kerana keperluan mendesak -
Allah SWT berfirman:
“Allah tidak menjadikan dalam agama ini kesulitan”. (QS. Al-Hajj: 78)
Dari Ibnu Abbas ra : " Baginda tidak ingin memberatkan ummatnya”. (Muslim 705)
Contoh : Doktor yang melakukan pembedahan dan seumpamanya. Demikian ijtihad mazhab Hanbali, disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah dan sebahagian ulama kontemporari
SYARAT JAMA' DAN QASAR :
1) Dalam perjalanan ( musafir ), jarak perjalanan lebih 2 marhalah iaitu 88KM.
2) Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah ( kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat ).
صَلَّيْتُ الظُّهْرَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ أَرْبَعًا وَبِذِي الْحُلَيْفَةِ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Aku menunaikan solat Zuhur bersama-sama Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam di Madinah 4 rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah 2 rakaat. (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
*Zulhulaifah terletak di luar kawasan bangunan Madinah.
3) Tidak berniat menetap selama 4 hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi. Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Minhaj al-Tolibin’, menurut beliau:
ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح
Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”
Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bharu selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir ( jamak & qasar ) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir.
4) Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat. Jika mengikuti imam yang bermukim, tidak perlu mengqasarkan solat tetapi boleh berniat jamak dengan solat fardu yang lain dan selepas itu boleh disusuli dengan mengqasarkan solat yang seterusnya.
Ini link video rakaman siaran tersebut

No comments: