Monday, December 19, 2016

Jika tak suka.....

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Image result for divorce quotes
by ustazah Maznah Daud


Insyaa Allah hari ini, 19 Rabiul Awwal 1483 saya akan kongsikan hadis yang agak jarang didengar. Ia berligar di sekitar kisah cinta di zaman Nabi s.a.w. antara seorang wanita bernama Bareerah dan lelaki bernama Mughits. Pasti semua sahabat akan teruja menghayatinya.
عَنْ عَائشَةَ رضيَ اللَّهُ عَنْها قالَتْ: "خُيِّرَتْ بريرَةُ عَلى زَوْجِهَا حين عَتَقَتْ" مُتّفقٌ عَلَيْهِ
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ زَوْجَ بَرِيرَةَ كَانَ عَبْدًا يُقَالُ لَهُ مُغِيثٌ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَطُوفُ خَلْفَهَا يَبْكِي وَدُمُوعُهُ تَسِيلُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعبَّاسٍ يَا عَبَّاسُ أَلَا تَعْجَبُ مِنْ حُبِّ مُغِيثٍ بَرِيرَةَ وَمِنْ بُغْضِ بَرِيرَةَ مُغِيثًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ رَاجَعْتِهِ قَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَأْمُرُنِي قَالَ إِنَّمَا أَنَا أَشْفَعُ قَالَتْ لَا حَاجَةَ لِي فِيهِ
Kisah ini digabungkan daripada dua riwayat, daripada Aisyah r.anha dan daripada Ibn Abbas r.anhu.
Aisyah r.anha berkata: “Bareerah diberi pilih (sama ada mahu terus bersama dengan suami atau berpisah) selepas dia dimerdekakan.” Muttafaq ‘alaih.
Daripada Ibn Abbas r.anhu, bahawasanya suami Bareerah seorang hamba yang dikenali dengan nama Mughits, aku melihatnya berputar-putar mengekuri Bareerah, sedang air matanya meleleh membasahi janggutnya. Maka Nabi s.a.w. berkata kepada Abbas r.anhu: “Wahai Abbas, tidakkah engkau kagum melihat betapa cintanya Mughits kepada Bareerah dan betapa bencinya Bareerah kepada Mughits?”
Dan Nabi s.a.w. berkata kepada Bareerah: “Mahukah engkau kembali kepadanya?”
 Bareerah bertanya baginda: “Adakah tuan perintahkan saya supaya kembali kepadanya?”
Nabi s.a.w. menjawab: “Tidak. Aku hanya cuba merayu bagi pihaknya.”
Bareerah menjawab: “Saya tidak berhajat kepadanya!” Riwayat al-Bukhari dan lain-lain.
Bareerah r.anha asalnya seorang hamba. Dia dinikahkan oleh tuannya semasa dia masih hamba. Sebagai hamba, tentulah dia tidak ada pilihan kecuali patuh kepada apa yang diputuskan oleh tuannya. Apabila dia mendapat kebebasan, maka dia diberi hak untuk memilih apa yang dia inginkan dalam hidupnya termasuklah soal cinta dan emosinya.
Kisah ini memberikan gambaran yang sebenar tentang keagongan Islam dalam melayani hak kebebasan individu termasuklah golongan hamba dan wanita.
Seringkali masyarakat memomok-momokkan bahawa wanita sering dianak tirikan, wanita tidak diberikan hak keistimewaan seperti lelaki, wanita sering ditindas dan dipaksa menurut saja kehendak lelaki dan sebagai-sebagai.
Maka renungkanlah apa yang dipaparkan di dalam hadis ini. Seorang hamba wanita yang baru saja mendapat kembali hak kebebasan diri yang sepatutnya dijamin untuk setiap insan yang lahir ke dunia ini. Sejurus selepas hak kebebasan itu dikembalikan kepadanya, maka dia diberikah sepenuh-penuh kesempatan untuk menikmati haknya tanpa sekatan dan kongkongan dari sesiapa hatta insan yang paling mulia di dunia, Rasulullah s.a.w.!
Lihatlah apabila Rasulullah s.a.w. bertanya tidak mahukah dia kembali kepada suaminya? Beliau bertanya dengan penuh rasa izzah, adakah itu satu perintah? Sebagai muslimah dan mu’minah dia faham akan tuntutan agama, iaitu perintah Allah dan Rasul tidak boleh dibantah. Selogan orang beriman adalah sam’an (dengar) wa to’atan (taat).
Namun, sekali lagi prinsip Islam terserlah pada jawapan Nabi s.a.w. Baginda datang untuk mengajarkan prinsip-prinsip dan nilai agama yang unggul. Baginda tidak diutus untuk campur tangan atau mengendalikan perasaan dan emosi manusia, apa lagi memaksa mereka memilih sesuatu yang mereka tidak suka. Lantas Bareerah bertegas dengan keputusan yang telah dipilihnya sebagai pengajaran kepada kita bahawa Islam adalah agama yang membawa kebebasan yang hakiki. Batasan kebebasan kita adalah larangan Allah dan Rasul dan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip Islam atau yang membawa mafsadah atau mudarat kepada agama, manusia dan alam.
JOM sebarkan Islam yang suci dan penuh rahmah ini.

No comments: