Seorang ibu tunggal, Gail, sudah tidak tahan dengan segala kerja rumah yang perlu dibuat sendiri.
Selepas berpisah dan tinggal bertiga bersama 2 orang anak remaja lelaki, dia terpaksa bekerja untuk mencari pendapatan sendiri dan apabila balik saja ke rumah dia tidak dapat memejamkan mata melihat rumah yang tunggang langgang tanpa dikemas.
Sudah lama dia mahu menyuruh 2 anak lelakinya membantu, tetapi setiap kali disuruh, macam-macam alasan diberi.
Paling kerap, banyak kerja sekolah yang perlu disiapkan. Gail tahu itu cuma alasan, kerana setiap kali masuk ke bilik mereka, ada pula masa untuk bermain 'game'.
Dilema Gail, lebih kurang dilema kebanyakan ibu yang 'terpaksa' memanjakan anak.
Ada sesetengah ibu, tidak pernah mengajak anak membantu kerja rumah kerana mahu mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran akademik. Mahu mereka mendapat keputusan yang bagus.
Niat asalnya, tidak mahu anak merugikan masa dengan membuat kerja-kerja dapur, mengemas rumah.
Zaman sekarang, memang ada ibu bapa yang melayan anak begitu.
Remaja nanti, apabila mereka hanya 'pandang' dan tidak peduli kita tertonggek-tonggek, tunggang terbalik bersilat di dapur, baru tertanya-tanya kenapa susah sangat untuk minta bantuan anak.
Selepas hadir satu kelas parenting, Gail nekad, dia perlu ubah sesuatu yang sudah 'membarah' dalam rumahnya.
Dia memanggil kedua-dua anak lelakinya. Seperti diduga, apabila dimohon secara terhormat untuk membantu kerja-kerja mengemas rumah, masing-masing cepat memberi alasan.
Gail tidak menunggu lama, dia mula mempraktikkan ilmu.
Pertama, dia meluahkan perasaan dan emosi yang dirasainya apabila terpaksa mengemas rumah berseorangan.
Dia tidak 'menyerang' anak-anaknya dengan bebelan atau kenapa mereka perlu membantu. Dia tidak menuduh dan menempelak peribadi anaknya.
Apa yang dibuat, hanya menceritakan apa yang dia 'rasa'. Penat. Tidak larat. Sakit badan. Alangkah baiknya jika ada pembantu. Seronoknya jika dapat buat bersama. Bagusnya jika setiap orang berperanan. Begitu.
Selesai itu, Gail, mengambil sehelai kertas dan berbincang bersama anaknya, apa kerja-kerja yang wujud dalam rumah yang boleh dibuat bersama.
Terhasil satu senarai panjang. Dari membasuh baju hinggalah membasuh pinggan. Dia menunjukkan pada anaknya, bayangkan, ini yang selama ini, mama buat berseorangan. Mereka hanya diam.
Sekarang, "Setiap seorang, pilih 3 sahaja kerja yang kamu rasa, kamu boleh bantu mama."
Mereka mula mencebek dan menolak-nolak antara satu sama lain. "Jangan risau, 3 kerja itu, kamu boleh tukar-tukar antara satu sama lain setiap berakhir hujung minggu. Yang penting, setiap minggu, 3 kerja mesti ada dalam tanggungjawab kamu."
Walaupun, mereka meradang. Tetapi keputusan telah dibuat.
Sekarang, setiap seorang sudah ada 3 tugas. 6 tugas telah diserahkan Gail pada anak-anak lelakinya, dan tinggal selebihnya untuk dia. Itu sudah cukup meringankan.
Senarai tugas itu disepitkan bawah fridge magnet di pintu peti sejuk. Mudah untuk mereka lihat setiap kali waktu makan di dapur. Mudah juga untuk mengingatkan mereka pada waktu makan.
Heh! itu baru langkah awal. Tidak semuanya berjalan seperti dirancang. Itu sudah dijangka Gail. Perkara yang belum menjadi rutin, pasti ada daya penolakan dari dalam. Tak mengapa, perlu masa.
Dua, tiga hari pertama, mereka akur mengikut jadual. Masuk hari seterusnya, mereka buat-buat lupa juga.
Terbuka habis semua buku teks dalam bilik, konon banyak kerja sekolah dan sedang sibuk menyiapkannya.
Taktik begitu, mudah sangat bagi Gail. Diintai betul-betul, elok di sebalik buku teks yang terbuka, ada henfon yang dipegang.
Tetapi Gail sudah ada cara, apabila anaknya ke dapur untuk minum, dia menunjuk senarai tugas yang tertampal di peti sejuk.
Mereka akan mengangguk lemah dan mula mengerjakannya selepas itu. Gail tidak perlu berkata sepatah pun.
Dia terkenang kata-kata guru dalam kelas parenting, "Anak remaja tidak suka disuruh-suruh. Anak lelaki pula, tidak suka dibebel panjang-panjang. Arahan pada mereka perlu spesifik. Satu kerja pada satu masa."
Gail tersenyum. Rupanya ada cara. Hanya dia yang tidak tahu sebelum ini.
ammar kamilin
No comments:
Post a Comment