Suatu hari Khalifah Umar RA didatangi dua pemuda yang membawa bersamanya seorang pemuda yang diikat. Pemuda tersebut meminta agar Saidina Umar menegakkan keadilan dengan menghukum qisas pemuda tersebut kerana telah membunuh ayahnya.
Umar berkata, "Bertakwalah kepada Allah, benarkah engkau membunuh ayah mereka wahai anak muda?"
Pemuda itu tunduk sugul dan berkata, "Benar, wahai Amirul Mukminin."
"Ceritakanlah kepada kami kejadiannya," tegas Umar.
Pemuda itu bercerita, "Aku datang dari pedalaman yang jauh, kaumku mengamanahkan aku untuk suatu urusan di kota ini. Apabila sampai aku ikat untaku pada sepohon kurma lalu aku tinggalkannya. Apabila kembali, aku terkejut melihat seorang lelaki tua sedang menyembelih untaku. Rupa-rupanya untaku terlepas dan merosakkan kebun miliknya. Aku sangat marah lalu ku bunuh lelaki tua itu. Ternyata ia adalah ayah kepada kedua pemuda ini."
"Wahai, Amirul Mukminin, kau telah mendengar ceritanya, kami boleh mendatangkan saksi untuk itu, tegakkanlah had Allah atasnya!" tegas kedua pemuda tersebut. Umar berkata: "Sesungguhnya yang kalian tuntut ini adalah pemuda soleh lagi baik budinya. Dia membunuh ayah kalian kerana kesilapan kemarahannya. Bolehkah kalian berdua memaafkannya dan aku akan membayarkan diyat atas kematian ayahmu," lanjut Umar.
"Maaf Amirul Mukminin, kami tidak redha".
Pemuda pembunuh berkata, "Wahai Amirul Mukminin, tegakkanlah hukum Allah, laksanakanlah qisas ke atasku. Aku redha dengan ketentuan Allah," ujarnya. "Namun, izinkan aku menyelesaikan dulu urusan kaumku. Berilah aku tangguh 3 hari. Aku akan kembali untuk diqisas."
"Mana boleh begitu!" ujar kedua-dua pemuda.
"Adakah kamu tidak mempunyai keluarga atau kerabat dan kenalan untuk menguruskan urusanmu?" tanya Umar.
"Tiada, Amirul Mukminin. Apa pendapatmu jika aku mati membawa hutang tanggungjawab kaumku bersamaku?" kata pemuda tersebut.
"Baik, aku akan memberimu waktu tiga hari. Tapi perlu ada penjamin, kata Umar. Dia tidak ada sesiapa yang mengenali di situ. Hanya Allahlah penjaminku" tegasnya.
Tiba-tiba Salman al-Farisi bersuara: "Jadikan aku penjaminnya wahai Amirul Mukminin", walaupun dia tidak mengenali pemuda tersebut.
Akhirnya dengan berat hati Umar mengizinkan Salman menjadi penjamin dan membenarkan pemuda itu menguruskan urusannya.
Hari ketiga pun tiba. Orang ramai yang berkumpul mula meragui kedatangan si pemuda. Matahari hampir terbenam, orang ramai berkumpul menunggu. Umar mundar-mandir menunjukkan kegelisahannya. Kedua-dua pemuda yang menjadi pengadu kecewa kerana keingkaran janji si pemuda.
Akhirnya tiba waktunya untuk dijalankan hukuman, Salman dengan tenang dan penuh tawakal berjalan menuju ke tempat hukuman dijalankan, seperti Salman akan dikorbankan.
Tiba-tiba di kejauhan kelihatan seseorang berlari terhuyung-hayang, jatuh, bangkit, kembali jatuh, lalu bangkit kembali.
"Itu dia!" teriak Umar. "Dia datang menepati janjinya!"
Dengan tercungap-cungap, si pemuda berkata: "Maafkan aku..tidakku sangka, urusan terhadap kaumku mengambil banyak waktu. Ku pacu tungganganku tanpa henti, hingga ia keletihan di gurun. Terpaksa ku tinggalkan dan aku berlari dari sana".
"Demi Allah," ujar Umar, "Mengapa kau susah payah kembali? Padahal kau boleh saja menghilang?"
"Agar jangan ada yang mengatakan, di kalangan muslim, tidak ada lagi pahlawan yang menepati janji”. Jawab si pemuda.
"Lalu kau Salman, mengapa sanggup kau menjamin orang yang baru saja kau kenal?"
"Agar jangan sampai dikatakan, di kalangan muslim, tidak ada lagi rasa saling percaya dan mahu menanggung beban saudaranya," Salman menjawab.
Hadirin menahan air mata terharu dengan kejadian itu.
Tiba-tiba kedua pemuda berteriak, "Saksikanlah wahai kaum Muslimin, bahawa kami telah memaafkan saudara kami ini."
Lantas Umar bertanya: "Apa maksud kamu?”
"Agar jangan sampai dikatakan, di kalangan muslimin tidak ada lagi orang yang mahu memberi maaf dan sayang kepada saudaranya," ujar kedua pemuda tersebut.
"Allahu Akbar!" teriak hadirin terharu.
#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
No comments:
Post a Comment