Monday, November 1, 2021

Sebaik-Baik Manusia (7)


Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang terbaik?

Satu daripada kriteria orang yang terbaik adalah orang yang paling baik kepada sahabat dan terbaik kepada jiran tetangganya. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏  خَيْرُ الأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ ‏

Daripada Abdullah bin Amr berkata, bersabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang terbaik di antara mereka terhadap sahabatnya. Dan sebaik-baik tetangga di sisi Allah adalah yang terbaik di antara mereka terhadap tetangganya. (HR Tirmizi No: 2070)

Sebagai makhluk sosial, setiap kita akan sentiasa berinteraksi sesama kita sama ada bersama sahabat mahupun jiran tetangga. Kehidupan bersahabat dan berjiran merupakan suatu keperluan hidup bermasyarakat. Sebagai Muslim, kita perlu berusaha menjadi sahabat dan jiran yang terbaik kepada orang lain.

Keberadaan kita di sisi sahabat amat dirasai kebaikan dan manfaatnya. Sebagai sahabat yang baik, kita akan sentiasa mengingatkan sahabat, menasihat dan menegur ketika mereka tersilap. Sebagai sahabat yang baik, kita akan segera menghulrkan bantuan dan pertolongan ketika mereka berduka dan berada dalam kesusahan.

Begitu juga sebagai jiran tetangga yang terbaik, kebaikan kita sebagai jiran amat dirasai dan diperlukan oleh jiran-jiran yang lain. Muslim yang terbaik adalah yang sentiasa berbuat kebaikan kepada jiran tetangga, memuliakan mereka dan menunaikan hak-hak mereka sebagai jiran.

Sebaik-baik Muslim adalah orang yang terbaik muamalahnya dengan sahabatnya juga terbaik muamalahnya dengan jiran tetangga. Kesemua mereka mendapat sentuhan kasih sayang dan kedamaian daripadanya.

Sebagai sahabat juga jiran terbaik, antara pra syarat menjadi orang yang sempurna iman ialah mesti mengasihi sahabat juga jirannya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Sabda Rasulullah SAW:

عَنِ انَّبِيِّ صَلَّى اللّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لاَ يُؤْمِنُ عَبْدٌ حَتَّى يُحِبُّ لِجَارِهِ اَوْ قَالَ لِاَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ 

Dari Nabi SAW baginda bersabda: Demi dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak beriman (dengan sempurna) seorang hamba sehingga ia mencintai jiran tetangga atau sahabatnya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri (Muttafaq ‘alaih).

Mengikut Imam Nawawi, hadis ini menyebutkan di antara ciri  kesempurnaan iman seseorang adalah ia mencintai jiran tetangganya juga sahabatnya seperti dia mengasihi akan dirinya sendiri.

Wajibnya memberi perhatian pada tetangga dan saudara sesama Muslim serta mencintai kebaikan untuk mereka seperti kita mencintai kebaikan untuk diri sendiri.

Hassan al Basri mengatakan, “Perbanyakkanlah bersahabat dengan orang-orang yang beriman dan yang bertakwa kepada Allah S.W.T, kerana sesungguhnya mereka akan dapat memberikan syafaat pada hari kiamat kelak.”

Ibnu al-Jauzi pernah berpesan kepada sahabat-sahabatnya sambil menangis, “Jika kalian tidak menemukan aku di syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah mengenai aku, ‘Wahai Rabb kami, hambamu fulan sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami mengenai Engkau. Maka masukkanlah dia bersama kami di syurga-Mu.”

Jadilah terbaik dengan menjadi orang yang terbaik kepada sahabat dan jiran tetangga.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: